PAS Siap Siaga Hadapi Pilihanraya Kecil Dun Galas

on Sep 29, 2010

KUALA LUMPUR 28 Sept - Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata PAS telah pun bersedia untuk menghadapi pilihanraya kecil bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas dan yakin parti itu dapat mempertahankan kerusi di kawasan tersebut berikutan kematian penyandangnya, Che Hashim Sulaima semalam. 

Keyakinan itu katanya berdasarkan persediaan rapi yang dibuat parti itu bagi menghadapi pilihanraya umum bahkan PAS menurut beliau juga telah bersedia untuk piliharaya kecil Dun Galas. 

"Saya ingin menyatakan bahawa parti (PAS) telahpun membuat persiapan awal bukan sekadar untuk menghadapi pilihanraya kecil Galas tetapi parti telahpun mempersiapkan untuk menghadapi pilihanraya umum. 

"Kita (PAS) tidak punya masalah untuk hadapi piliharanya kecil di Galas ini dan kita membuat persiapan dan persediaan yang terbaik untuk piliharaya kawasan ini," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS di ibu negara dekat sini tengahari tadi. 

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga berkata bahawa PAS tidak akan memandang rendah terhadap kebolehan parti lawan. 

"Saya rasa itu cabaran besar bagi PAS untuk mempertahankan kerusi ini dan saya tidak memandang rendah dan meremehkan kekuatan pihak lawan. 

"Tetapi apa yang penting parti mesti berada dalam kedudukan yang cukup kuat untuk bertarung bagi mempertahankan kerusi Dun Galas ini," kata beliau. 

Berikutan itu, menurut Salahuddin lagi, PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat pada 3 Oktober ini bagi membincangkan persediaan berhubung pilihanraya kecil bagi Dun berkenaan. 
 
"Saya yakin dan percaya bahawa antara agenda penting adalah bagi membincangkan tentang persiapan pilihanraya kecil di Galas berikutan kematian Adunnya semalam iaitu Che Hashim," katanya.   

Allahyarham Che Hashim meninggal dunia di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru semalam akibat kanser usus.

Pada pilihan raya umum 2008, Che Hashim berjaya merampas Dun Galas daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 646 undi. 

Beliau mendapat 4,399 undi menewaskan penyandang dari BN, Saufi Deraman yang mendapat 3,753 undi.

Galas merupakan Dun yang terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang selain Dun Nenggiri dan Paloh.

Semalam, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar dipetik berkata, pilihan raya kecil bagi Dun Galas perlu diadakan berikutan dengan kematian Che Hashim.

Manakala, mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil Dun berkenaan akan diadakan sebaik sahaja menerima notis rasmi daripada Speaker Dun Kelantan mengenai kekosongan kerusi tersebut.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List