Bantah roboh tadika, surau

on Oct 31, 2010

BUKIT KATIL - Kerajaan Negeri diberi peringatan supaya menjaga sensitiviti masyarakat terhadap isu merobohkan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) dan surau di Bukit Katil untuk tujuan pembinaan jalan raya, di sini. 

Berikutan itu, Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri, Kamarudin Sidek berkata, beliau mahu kerajaan mempertimbangkan semula hasrat pengambilan tanah terbabit sekali gus menyelamatkan sekolah Pasti dan surau yang dibangunkan sebelum ini atas sumbangan dan amanah orang ramai. 

Menurutnya, antara ikhtiar dijalankan, pihaknya cuba mencadangkan laluan lain yang tidak membabitkan binaan tersedia dan tanpa menjejaskan sensitiviti masyarakat. 

“Malangnya, cadangan ini tidak diendahkan kerajaan dan tetap mahu mengambil laluan melibat Pasti, surau dan bangunan kedai. 

“Bagi kami, ini adalah perkara yang sudah dirancang dan seolah-olah mempunyai agenda tersembunyi untuk menghapuskan bangunan Pasti dan surau yang telah lama dibina, sedangkan laluan dirancang membabitkan lencongan dan sudah pasti membabitkan kos yang besar,” katanya. 

Terdahulu, Kamarudin turut menyertai kira-kira 70 kanak-kanak dan guru Pasti berkenaan yang mengadakan perhimpunan di hadapan bangunan terbabit sebagai membantah hasrat Kerajaan Negeri itu. 

:Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Menghalang Pengambilan Tanah dan Perobohan Surau di Bukit Katil, Yusof Wahab dan Guru Besar Pasti berkenaan, Md Yassin Abd Ghani. 

Md Yassin berkata, Pasti berkenaan telah dibangu-nkan sejak lebih 15 tahun lalu dan mendidik ribuan kanak-kanak ke arah pembentukan sahsiah sempurna mengikut Islam. 

“Tidak dinafikan wakaf ini dahulu diwakafkan untuk tujuan didirikan sekolah mendidik anak bangsa supaya lebih berakhlak mulia. 

“Sekalipun, kos untuk membina sekolah ini mencecah RM110,000 dan semuanya adalah hasil sumbangan orang ramai yang bertujuan mendidik anak bangsa,” katanya. 

Sementara itu, turut menyatakan bantahan Poay Tiong yang meragui hasrat Kerajaan Negeri itu. 

“Kalau Kerajaan Negeri boleh keluarkan peruntukan berjumlah RM500 juta untuk bina Sekolah Harapan yang bertujuan memulihkan kembali akhlak remaja terlanjur, mengapa hendak robohkan Pasti di sini. 

“Hanya semata-mata hendak membuat jalan, mengapa sanggup korbankan sekolah ini yang ternyata niatnya juga sama untuk mendidik anak bangsa ke arah akhlak terpuji. Masalahnya, bukan tiada alternatif lain. 

“Ini kerana, terdapat laluan lain, mengapa mahu robohkan pasti dan surau ini. Secara tidak langsung, jelas menunjukkan Kerajaan Negeri ada muslihat tersendiri,” katanya. 

Dalam pada itu, Yusof Wahab yang menerajui Jawatankuasa Bertindak Menghalang Pengambilan Tanah dan Perobohan Surau berkata, setakat ini tiada sebarang rundingan dengan tuan tanah diaturkan pihak Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan kemelut berkenaan. 

“Pihak kami, tiada ikhtiar lain selain daripada bermohon kepada Allah SWT supaya Kerajaan Negeri menarik balik niatnya untuk merobohkan Pasti dan surau di sini,” katanya.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List