Bekas naib presiden Keadilan Mustaffa Kamil Ayub yang tewas dalam pemilihan parti mendedahkan, bukan sahaja ada cubaan menariknya menyertai parti Datuk Zaid Ibrahim, malah Tan Sri Muhyiddin Yassin juga melakukannya.
"Kali ini betul orang Datuk Zaid cuba menarik saja, termasuk (timbalan pengerusi BN) Muhyiddin Yassin. Tetapi saya kata saya tidak akan keluar. "Saya tetap dengan Keadilan, parti masa depan untuk saya, untuk Melayu, Cina, India, Kadazan dan masa depan kita," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan terakhir sebagai naib presiden dalam Kongres Keadilan ke-7 di Petaling Jaya.
Menurut Mustaffa, selepas 12 tahun bersama Keadilan, beliau pernah menang dan kalah tetapi tidak pernah meninggalkan parti. "Dulu saya setiausaha politik Muhyiddin Yassin. Kemudian saya tinggalkan Muhyiddin demi sertai reformasi Anwar Ibrahim. "Dan saya tidak pernah menyesal (melakukannya)," katanya disambut tepukan gemuruh perwakilan.
Bukan parti puji-pujian
Semalam, Mustaffa Kamil yang tewas teruk merebut jawatan timbalan presiden di tangan Azmin Ali memberitahu Malaysiakini beliau komited dengan Keadilan walaupun terdapat percubaan menariknya menyertai parti yang akan ditubuhkan Zaid.
Mustaffa juga masih kritikal kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) yang didakwanya memulang beban pembuktian aduan kepada pengadu dan berharap aduannya terus disiasat.
Bagaimanapun, hari ini, Mustaffa Kamil berucap dengan nada yang berbeza apabila menunjukkan sikap 'jiwa besar' dengan menerima keputusan pemilihan dan akur pada kelebihan Azmin. "Saya akur, setiap kita adalah pemimpin. Saya akur, ada kelebihan pada saudara Azmin yang sama-sama kita pilih," katanya yang menyebabkan kira-kira 1,000 perwakilan dalam Dewan Sivik MBPJ - tempat persidangan - bangun memberikan tepukan.
Sambil berkata menang dan kalah sebagai perkara biasa, Mustaffa Kamil sekali lagi menjelaskan kritikannya sebelum ini dibuat kerana sayangkan parti. "Akhirnya kita parti reformasi, bukan parti puji pujian semata-mata. Pemimpin boleh ditegur dan menegur. "Inilah maknanya politik baru dan budaya baru," katanya yang menggunakan slogan "politik nilai" dalam kempennya sebelum ini.
0 comments:
Post a Comment