Najib Terperangkap Dengan Janji Sendiri....!!!

on Apr 12, 2011



Undur-kekal Taib: BN kini diheret PR


Walaupun belum sampai ke tahap untuk menggulingkan kerajaan Barisan Nasional di Sarawak, namun Pakatan Rakyat sekurang-kurangnya berjaya untuk mengheret Barisan Nasional ke dalam gelanggangnya pada pusingan awal PRN Sarawak 2011. 

Sentimen "Undur Taib" semakin memuncak di kawasan bandar majoriti Cina, sehingga BN mulai tertekan dalam suasana sedemikian.

Ramai yang akan bersetuju bahawa suasana di bandar-bandar utama Sarawak kini tidak berbeza dengan suasana PRU ke-12 pada tahun 2008, yang akhirnya mencetuskan "tsunami politik" untuk menafikan majoriti dua pertiga BN, selain empat kerajaan negeri beralih tangan kepada pembangkang (tidak termasuk Kelantan yang pada asalnya di bawah PAS).

Antara persamaannya yang mungkin paling menakutkan BN adalah wang dermaan yang dikutip dari khalayak ramai yang menghadiri ceramah politik - sehingga mencatat puluhan ribu ringgit Malaysia - dibaca sebagai tanda rakyat komited kepada agenda perubahan.

Najib akhirnya memberi jaminan bahawa Taib Mahmud akan berundur selepas PRN Sarawak, tanpa menyebut tarikh mahupun menamakan penggantinya. 

Pengumuman sedemikian tidak memberi jaminan yang lebih daripada pengumuman sebelum terbubarnya DUN Sarawak, selain mengulanginya buat kali kedua.

Jaminan yang mengundang malapetaka

Pakatan Rakyat, terutamanya DAP semestinya mengambil kesempatan untuk mengasak agar BN membuat pengumuman terperinci, termasuk jadual waktu Taib Mahmud mengundur, penggantinya dan sebagainya. 

Malah, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution menunjukkan satu keratan akhbar pada 7 November 1995 yang memetik Taib Mahmud bahawa beliau akan berundur dalam masa lima tahun. 

Kesemua ini cukup untuk menyanggah jaminan daripada Najib dan Taib Mahmud.

Walau bagaimanapun, langkah Najib untuk mengulangi jaminan yang sama semalam - walaupun berniat untuk meredakan ketidakpuasan rakyat, tetapi mungkin mengundang malapetaka di sebaliknya. 

Pertama, beliau menafikan bahawa Taib Mahmud adalah liabiliti, atau beban kepada BN. 

Selagi Najib enggan mengakui masalah yang ada pada Taib, maka pembangkang mempunyai alasan yang cukup untuk mempertikaikan keikhlasan Najib.

Keduanya, pengumuman Najib boleh ditafsir sebagai "campur tangan dari Semenanjung", sentimen yang cuba diwujudkan sepanjang kempen BN Sarawak untuk menangkis serangan PR.

Sentimen inilah yang dipermainkan supaya rakyat menolak parti politik dari Semenanjung. 

Namun, senjata ini sekarang mungkin makan tuannya kerana Najib dari Semenanjung dilihat bersuara untuk menentukan kekal-undur Ketua Menteri Sarawak.

Pergolakan kuasa dalaman

Lebih ketara, pengumuman ini semestinya menempangkan Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri, dan membuka lembaran baru pergolakan kuasa dalam PBB sendiri. 

Keadaannya mungkin sikit berbeza, namun ada persamaannya jikalau dibandingkan dengan Gerakan di Pulau Pinang pada tahun 2008. 

Setelah Presiden Gerakan Koh Tsu Koon berundur dari jawatan KM Pulau Pinang untuk bertanding di kawasan parlimen, tanpa menamakan penggantinya, maka berlakulah pergelutan dalaman antara beberapa orang calon yang melihat dirinya layak untuk menyandang jawatan KM.

Kesudahannya seperti yang disaksikan, Gerakan kehilangan kuasa kerajaan negeri di Pulau Pinang. Senario ini mungkin sukar diulangi di bumi kenyalang, namun ia sudah memadai seandainya BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Sarawak. 

Dan seandainya SUPP (yang berperanan seperti MCA di Semenanjung) mengalami kekalahan yang besar, maka ia merupakan tamparan sengit kepada slogan 1Malaysia oleh Najib Razak.

Lanskap politik kemudiannya...

Jikalau keputusan PRN Sarawak 2011 menyaksikan pengundi Cina tetap memihak pembangkang, maka senario ini bakal meletakkan Najib dalam keadaan dilema. 

Mencurahkan lebih usaha untuk memikat hati pengundi Cina, atau mengambil langkah drastik untuk "menghukum" pengundi Cina yang tidak menyokong BN - semestinya akan menjadi perbalahan pendapat dalam UMNO dan BN sendiri. 

Silap selangkah Najib dalam membuat keputusan bakal meletakkan tanda noktah pada tempoh jawatan PM-nya.

Justeru itu, apa yang boleh dilakukan oleh Najib dan regimnya sekarang adalah menabur "gula". 

Peruntukan demi peruntukan ditabur untuk memastikan kemenangan BN dalam PRN Sarawak, pertarungan yang bakal mempengaruhi semangat BN untuk menghadapi PRU ke-13.

Namun demikian, Najib semestinya sedar bahawa pendekatan sedemikian tidak boleh dikekalkan selama-lamanya. 

Sebelum PRU ke-12, BN menang dalam PRK Machap dan Ijok, setelah menabur "gula pilihan raya" yang bernilai puluhan juta ringgit. Akhirnya kemenangan itu terbukti hanyalah pembohongan yang dibeli dengan wang ringgit.

Demikianlah dilema yang dihadapi Najib Razak, atau lebih tepat sebenarnya, kebuntuan yang dihadapi Barisan Nasional sekarang.


0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List