SAYANG SARAWAK...

on Apr 12, 2011

Banyak juga dapat pelajaran dari politik Sarawak.




PM Najib cuba mengelak menjawab soalan bila Taib Mahmud akan berundur. Beliau hanya menyatakan perancangan peralihan kuasa itu memang ada tetapi akan diberitahu kemudian apabila waktu yang sesuai sampai. Bila kah waktu yang sesuai itu akan tiba tidak siapa yang tahu. 


Dalam tulisan saya sebelum ini saya ada mengatakan yang penantian untuk Taib berhenti ini ibarat menunggu hari kiamat. Kiamat akan pasti tiba tetapi belum tentu bila masanya. Taib pula memberitahu yang beliau akan turun dalam ‘beberapa tahun’ lagi dan meminta anak-anak muda bersabar.



Dari banyak-banyak isu yang ada di hadapan mata, isu bila Taib akan bersara adalah isu yang paling hangat. Isu lain sudah tenggelam dan semua pihak khususnya yang membangkang telah mendesak Taib supaya berhenti serta merta. Isu pilihanraya di Sarawak ini sudah menjadi kronik kerana tidak ada siapa yang mahukan Taib lagi. Rata-rata rakyat mahukan Taib berhenti secara terhormat untuk menyelamatkan BN dari terhempas berkecai.



Sekarang ini seluruh pemimpin tertinggi UMNO dari Semenanjung berada di Sarawak, untuk menyambung mana yang putus dan menampal mana yang koyak. Saya khuatir kehadziran ramai pemimpin UMNO di Sarawak ibarat tikus membaiki labu. Keadaan yang berlaku di Sarawak adalah di sebabkan sikap ‘arrogant’ pemimpin-pemimpin BN sendiri.



Seluruh ahli jemaah kabinet negara berada di Sarawak untuk membantu BN dan situasi kritikal ini tidak pernah di alami oleh Sarawak selama ini. Perasaan takut menghadapi kekalahan amat di rasakan. Walk-about yang di lakukan oleh Najib dan pemimpin lain jelas tidak berkesan lagi kerana denyutan nadi rakyat Sarawak yang inginkan perubahan. 



Sekarang tidak boleh di pastikan lagi samada wang yang berbillion untuk di gunakan bagi memancing undi itu dapat mengekang perasaan inginkan perubahan itu. Satu persoalannya sekarang; apa kah pelajaran yang kita perolehi dari apa yang sedang berlaku di Sarawak ini?



Pertamanya, ialah pemimpin tidak dibenarkan lagi berkuasa terlalu lama. Taib telah duduk di puncak kuasa selama 3 dekad sehingga beliau telah sampai ketahap seorang yang buta mata hatinya. Taib sedang begitu berang kerana desakan terhadap beliau untuk meletakan jawatan datang dari senua pihak termasuk di kalangan pimpinan PBB sendiri secara senyap-senyap.



Dalam tempoh 24 jam selepas Najib mengatakan yang proses peralihan kuasa akan datang, Taib telah mengeluarkan kenyataan yang beliau akan meletakan jawatan dalam masa beberapa tahun lagi.



Jika ‘beberapa tahun’ yang dimaksudkannya itu ialah 5 tahun, ianya bermakna yang beliau akan hanya berhenti semasa pilihanraya 2016. Kedua-dua kenyataan dari Najib dan Taib itu tidak ada kepastian tentang bila peralihan kuasa itu akan berlaku. Ini membosankan rakyat yang mendengarnya. 



Kita pasti boleh belajar dari keterlanjuran Taib mentadbir negeri sebegitu lama telah membina satu sikap berani melakukan rasuah dan salah guna kuasa secara terang-terangan. Bagi Taib yang penting beliau berkuasa dan apa sahaja yang di lakukan oleh ahli kabinetnya tidak menjadi apa kepada beliau. Malahan di mana-mana negara sekali pun jika pucuk pimpinannya berkuasa terlalu lama, undang-undang dan etika tidak lagi menjadi penghalang kepada mereka untuk melakukan apa-apa kesalahan.



Kita juga mendapat pelajaran yang wang dan harta yang bertimbun itu juga boleh membutakan mata hati pucuk pimpinan. Taib memang mempunyai imej sebagai seorang yang kaya raya dengan harta yang bertimbun-tyimbun. Dengan wang itu lah beliau boleh mempengaruhi keadaan sehinggakan pucuk pimpinan yang sepatutnya bertanggungjawab kepada rakyat pun tidak berani untuk mengambil tindakan terhadap Taib.



Sokongan dan dukongan dari pucuk pimpinan pun boleh diperolehi dengan harta yang bertimbun itu. Setakat ini sekuat mana pun badan penguat kuasa tidak berani melakukan penyiasatan ke atas Taib. Misalnya MACC tidak mengambil masa yang lama untuk menyiasat kes Teo Beng Hock, tetapi sehingga hari ini perlakuan Taib dan kabinetnya tidak pun di dekati oleh Suruhanjaya ini. Kepada Taib segala-galanya dia yang punya.



DAP dan PAS mendapat banyak pelajaran dari apa yang berlaku di Sarawak serta negeri-negeri lain yang rasuah menjadi perkara dan fenomena biasa. Mereka memanfaatkan apa yang berlaku di negeri-negeri yang rasuah berluas luasa dengan memperbetulkan mereka sendiri. Mereka lebih serius dan menjaga kerajaan-kerajaan negeri yang mereka tadbir dengan lebih telus dan secara relatifnya lebih bersih.



Di P Pinang yang ditadbir oleh DAP bersama rakan komponennya telah menunjukan prestasi yang lebih baik jika dibandingkan dengan pentadbiran sebelumnya. Jika berdekad-dekad yang lalu kerajaan-kerajaan tempatan di negeri itu sentiasa berada di dalam defisit sekarang ini kerajaan tempatan di negeri itu telah mengalami surplus yang sangat memberansangkan dan ini merupakan bukti yang ketirisan perbelanjaan selama ini yang menyebabkan defisit itu.



Di Kelantan dan Kedah jarang-jarang kita mendengar kes-kes rasuah yang melibatkan RM berbillion-billion. Dalam satu kes PKFZ sahaja kita mendengar yang penyalah gunaan kuasa dan rasuah telah melibatkan jumlah RM 12 billion. Itu baru satu kes sahaja. Bagaimana kes-kes yang lain?



Ada di antara pemimpin seperti Menteri Besar (bekas) yang telah dikaitkan dengan Pembinaan rumah yang melebihi RM 20 juta. Ada pula pemimpin yang telah menggunakan wang rakyat untuk menyelamatkan perniagaan anaknya yang gagal yang melibatkan jumlah RM 1.5 billion. Pemimpin seperti ini tidak mempunyai rasa malu dan mengambil wang rakyat dengan selamba sahaja. Dalam pada itu bercakap pula tentang bersih, cekap dan amanah. Entah mana letak cekapnya dan dimana bersihnya tidak siapa yang tahu. Yang sudah pasti, tindakan itu adalah tindakan yang tidak ada amanahnya.



Bagaimana kita hendak menafikan yang contoh baik yang dilakukan oleh kerajaan P Pinang itu patut dipuji. Bagaimana kita hendak menafikan yang pentadbiran Negeri Selangor lebih telus dan relatifnya lebih bersih dari pentadbiran dahulu? 



Mungkin kepada penggiat politik semborono akan marah kepada pandangan saya ini, tetapi sebenarnya pentadbiran seperti inilah yang kita mahu lihat dilakukan oleh BN. Untuk mendapatkan kualiti pentadbiran ini yang pasti perlu ialah pandangan yang berani, tetapi kepada mana-mana orang yang berpandangan berlainan itu akan di anggap sebagai pembangkang pula. 



Tetapi penokong BN tidak mahu menerima hakikat kebaikan pentadbiran P Pinang dan Selangor semata-mata kerana politik, malahan mereka tidak begitu gemar dengan pentadbiran yang baik itu. Mereka tercari-cari kesalahan pimpinan Selangor dan P Pinang seperti orang mencari kutu dalam rambut yang tebal. Yang pasti di Pulau Pinang khususnya jika kerajaan sekarang berjaya sekali lagi mendapat mandat dari rakyat negeri itu, mandat itu sudah semestinya di perolehi dari ‘merit’nya sebagai kerajaan dan pentadbiran yang baik.



Justru itu kita berharap agar kerajaan-kerajaan BN yang mentadbir negeri-negeri yang ditadbirnya jadikan cara DAP di P Pinang, PAS di Kedah dan Kelantan serta PKR di Selangor sebagai contoh bagi memperbaiki diri kita sendiri. Jika kita boleh melakukannya maka kita akan terus mendapat mandat lagi selepas PRU nanti.



Setelah mendengar kata-kata Taib Mahmud yang beliau akan berundur beberapa tahun lagi, teringat pula saya kepada Hosni Mubarak dari Mesir semasa beliau mendapat tekanan rakyat untuk berundur. Hosni meminta rakyat bersabar dan berjanji tidak akan bertanding lagi untuk menjadi Presiden Mesir, walaupun telah berkuasa selama 30 tahun.



Akhirnya beliau tunduk dan meninggalkan Cairo serta Istana yang di diaminya selama tiga dekad itu. Taib patut mengambil tauladan Hosni ini; meninggalkan jawatan untuk kebaikan rakyat dan negara khususnya bagi keselamatan dan perpaduan rakyat Sarawak.



Kalau rakyat sudah tidak mahukan beliau lagi, kenapa mesti dia mesti tunggu? Takkanlah ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’. Menang kalah di dalam pilihanraya itu adalah isu yang lain. Yang penting Taib telah gagal untuk membina ‘spiritualism’ yang baik bagi politik negari itu.



Jika sesungguhnya Taib sayang kepada rakyat dan negerinya, berundur itu merupakan pengorbanan besar bagi Sarawak dan rakyatnya.






0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List