Duta AS ragui penjelasan Putrajaya

on Jun 27, 2011


Enjin jet TUDM: Duta AS ragui penjelasan Putrajaya


Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia memaklumkan kerajaannya awal tahun lalu bahawa pegawai-pegawai kedutaan memang meragui penjelasan pentadbiran Najib mengenai kecurian enjin jet pejuang F-5 milik TUDM pada 2008, demikian menurut maklumat didedahkan oleh Wikileaks.


Dokumen ditandatangani oleh Duta James Keith berkata kedutaannya berkongsi “kesangsian” diluahkan oleh siri komen dalam media atas talian mengenai pendirian Putrajaya bahawa enjin jet itu dicuri oleh dua individu berpangkat rendah dan pihak di peringkat tinggi tidak terlibat sama sekali.
“Kami berkongsi beberapa kesangsian yang dilahirkan oleh blog-blog mengenai kes kerajaan dan penjelasan siapa di belakang kecurian enjin,” kata dokumen itu .
“Dalam (proses) koordinasi dengan Washington, Post terus menekankan untuk mendapatkan laporan lengkap bagaimana kecurian ini berlaku dan penempatan muktamad enjin-enjin (jet pejuang), dan untuk mengingatkan GOM tentang keseriusan isu ini dan keperluan mengambil tindakan-tindakan pembetulan,” kata kabel yang disiarkan oleh portal Malaysia Today hari ini.
Difahamkan “Post” merujuk kepada seorang pegawai politik AS yang berpejabat di kedutaan di sini.
Mahkamah Sesyen sedang mendengar kes Sarjan N. Tharmendran dari TUDM dan ahli perniagaan K. Rajandran Prasad yang menghadapi pertuduhan bersubahat mencuri dan melupuskan enjin pesawat milik TUDM.
Pada 6 Januari 2010, Tharmendran, 42, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan
Udara TUDM Sungai Besi di sini pada 30 April 2008.
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Rajandran, 38, pengarah sebuah syarikat pembekalan, turut mengaku tidak bersalah pada tarikh yang sama terhadap tuduhan dengan sengaja menghapuskan dua enjin TUDM itu di alamat 49 Jalan TS 6/6 Taman Industri Subang pada 30 April 2008.
Kecurian enjin jet pejuang TUDM itu dilihat sebagai insiden memalukan kerajaan selepas kapal selam pertama KD Tunku Abdul Rahman tidak dapat beroperasi ketika itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berjanji tidak akan ada unsur menutup kes berprofil tinggi itu, yang muncul ketika beliau mengetuai Kementerian Pertahanan.
Kementerian Pertahanan kemudian digantikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menggantikan Abdullah mendakwa perbuatan itu sebagai kerja orang dalam.
Kedua-dua enjin itu dibeli pada 1972 dengan harga RM303,570, dan bukannya RM50 juta sebagaimana dilaporkan pada awal.
Kabel itu juga mendakwa media milik kerajaan berdiam diri dalam isu tersebut manakala Kementerian Luar mengambil sikap menjauhkan diri dengan pihak kedutaan tidak mendapat sesi pertemuan dengan pegawai-pegawai Wisma Putra untuk membincangkan isu berkenaan.
Ia memetik ketua penolong setiausaha (Bahagian Amerika) Mohamad Radzi Jamaluddin sebagai berkata, Kementerian Pertahanan menyedari isu tersebut dan “elusif” dalam mengendalikan kes itu.”
Kabel itu, yang diklasifikasikan oleh konsul politik Brian D. McFeeters juga berkata bahawa TUDM hanya memaklumkan secara rasmi kepada AS mengenai kehilangannya pada 6 Januari 2010, hari yang sama Tharmendran dan Rajandran dicaj di mahkamah.
“TUDM faham penuh syarat-syarat kerajaan Amerika Syarikat mengenai dasar Jualan Militari Luar (FMS) berhubung insiden ini tetapi tidak dapat memaklumkan terlebih awal sementara menunggu siasatan Polis Diraja Malaysia selesai,” katanya lagi.



0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List