Luruskan saf ! Rapatkan saf !
Ungkapan ini sering kita dengar dari mulut imam dalam hendak memulakan solat secara berjemaah. Tetapi adakah kita faham dengan ungkapan itu? Luruskan saf? Rapatkan saf? Cuba kita lihat gambar di bawah.
Melurus dan merapatkan saf bererti mesti menjaga kaki. Ketika solat berjemaah jarak yang terbaik ialah sehingga menyentuh jari kaki ahli jemaah lain di sebelah kita. Ia sekali gus mempertautkan ukhuwah serta mampu membuang rasa keegoan diri. Seperti yang disebut hadis sahih riwayat al-Bukhari di bawah:
"Adalah semua kami (sahabat) bersentuh bahu kami dengan yang lain, demikian juga hujung kaki." (Riwayat al-Bukhari)
Jarak dua kaki menjadi penting dan tergolong dalam sunah yang khusus apabila menunaikan solat secara berjemaah bagi memperolehi kualiti yang terbaik dan pahala terbanyak. Antara hadis-hadis yang lain:
"Luruskanlah saf kamu (ketika solat), sesungguhnya aku nampak kamu dari belakangku." (Riwayat al-Bukhari)
"Mestilah kamu meluruskan saf kamu atau kamu akan bercanggah (melakukan kesalahan) dengan arahan Allah di hadapan-Nya." (Riwayat al-Bukhari)
Hadis di atas amat penting dan memberikan ancaman bagi mereka yang bermalasan dalam merapat dan meluruskan saf. Tanpa disiplin tersebut, manusia akan berada dalam rasa keegoaan masing-masing hingga berasakan geli untuk menyentuh kaki ahli jemaah di sebelah mereka. Di samping itu, ia juga menunjukkan jemaah tersebut kurang ilmunya hingga akhirnya tindakan ini jika dibiasakan maka Allah S.W.T akan membiarkan berlakunya permusuhan dan pertengkaran dalam masyarakat ini.
Tanpa merapatkan saf juga memberi peluang dan ruang untuk syaitan sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W :
"Luruskan saf kalian, dan luruskanlah bahu-bahu kalian, dan tutuplah celah-celah. Jangan biarkan celah-celah tersebut untuk syaitan. Barangsiapa yang menyambung saf, nescaya Allah akan menyambung (urusan) nya. Barangsiapa yang memutuskan saf, nescaya Allah akan memutus (urusan) nya." (HR Abu Daud 666, Sohih Targhib wa Tarhib 495)
Semoga dengan ilmu ini kita boleh memperbaiki sifat solat kita untuk menyamai sifat solat Nabi S.A.W. Sabda Rasulullah S.A.W : "Solatlah kamu sepertimana kamu lihat aku solat" (HR Bukhari dan Ahmad, dalam Irwaul Ghalil 213).
0 comments:
Post a Comment