SIAPA DI KELILING KU LI..?

on Aug 4, 2011




DALAM beberapa minggu ini timbul cerita mengenai Tengku Razaleigh Hamzah a.k.a Ku Li.
Beliau selama ingatan kita sejak beberapa tahun ini, tidak begitu dipedulikan, baik musuh atau kawan. Tiba-tiba beliau muncul semula.
Pihak-pihak tertentu mengangkat putera raja Kelantan itu sebagai presiden sebuah NGO baru bernama Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), menggunakan perkataan ‘angkatan’ seiras Angkatan Perpaduan Ummah (APU) – gabungan antara Pas dan Semangat 46 dulu.
Apa tujuan mereka mempergunakan Ku Li? Apa motif pertubuhan baru ini? Apakah ia mahu menyaingi dengan Perkasa; atau ia adalah satu lagi Perkasa tapi dalam komposisi berbilang kaum?
Apakah akhirnya Perkasa dan Amanah akan bergabung dan membentuk sebuah parti politik?
Apakah Ibrahim Ali mahu bergabung dengan Ku Li? Tidak mustahil kerana Ibrahim pun dikenali sebagai orang kuat dan pengikut setia Ku Li.
Struktur Amanah juga sedang bergerak ke akar umbi dengan dikembangkan ke peringkat negeri atau kawasan, seolah-olah rangka sebuah parti politik.
Jika dulu teori saya mengatakan orang Melayu pecah enam – Melayu UMNO, Melayu Pas, Melayu PKR, Melayu DAP, Melayu Atas Pagar dan Melayu Liberal – kini ia sudah menjadi tujuh iaitu Melayu NGO seperti ini.
Melayu NGO ini mungkin ada di kalangan enam itu, tapi kini mereka mahu berdiri sendiri. Nampaknya orang Melayu memecahkan kuasa mereka kepada lagi kecil. Maka yang majoriti di Malaysia akan menjadi minoriti dan yang minoriti menjadi majoriti, untuk menentukan hala tuju kuasa politik negara ini.
Atau mungkin juga kuasa penentu politik tanah air sudah tidak lagi relevan diterajui oleh orang Melayu? Jika itu benar, dan boleh diterima oleh semua pihak, maka biarkanlah ia berlaku.
Tiba-tiba ketika Amanah, yang dilancarkan pada 22 Julai itu tenggelam sedikit, timbul pula cerita ada cubaan memujuk Ku Li memegang jawatan Ketua Pembangkang, menggantikan Anwar Ibrahim yang sedang menghadapi kes liwat di peringkat akhirnya.
Wah, nama Ku Li kini benar-benar disebut semula. Dalam usianya di pertengahan 70-an, peranannya masih diiktiraf.
Benarkah dengan semua khabar angin ini atau ia hanya satu perang psikologi pihak-pihak tertentu? Persoalannya, siapa yang merangka percaturan ini? Perlu disebut, pokok tak akan bergoyang jika tidak ditiup angin.
Tidak mustahil juga ia boleh berlaku. Ku Li ini dikenali sebagai pakar mereka percaturan besar, atau grand design. Bermula dengan keazamannya mencabar Tun Mahathir untuk kerusi presiden UMNO pada 1987 serta pengharaman UMNO kemudian menubuhkan UMNO Baru, Semangat 46 dan APU.
Ternyata Ku Li ialah political animal yang tidak boleh ditolak tepi begitu sahaja. Semangat juangnya masih kuat sehingga kini.
Namun, siapa di kelilingnya? Beliau sudah tentu mempunyai teamnya untuk menggerakkan grand design ini.
Seorang sahabat yang juga seorang penganalisis politik berkata “semua di kelilingnya sekarang ada penyakit.” Tapi walaupun mereka adalah orang bermasalah dalam kerjaya politik masing-masing, kemunculan mereka tidak boleh di pandang ringan.
Bekas Menteri Penerangan, Abdul Kadir Sheikh Fadzir adalah penggerak utama team Ku Li sekarang. Bekas menteri Kabinet dalam BN selama lebih dua dekad itu kini sudah tidak aktif dalam UMNOkah? Difahamkan beliau ialah the prime mover dalam Amanah, kata satu sumber.
Apa perjuangan yang mahu ditunjukkan oleh Kadir? Sepatutnya sebagai bekas menteri, bantulah kerajaan yang ada hari ini, bukan sebaliknya.
Tapi, mengenali latar belakang Kadir, beliau amat setia kepada Ku Li dan pernah bersama-sama Ku Li dalam Semangat 46 dulu, sebelum dibawa masuk ke dalam politik arus perdana oleh Dr. Mahathir.
Tamrin Ghafar – anak Tun Ghafar Baba juga kini bersama-sama Ku Li. Tamrin juga ialah seorang yang gagal dalam politik. Pernah masuk Pas dan pernah juga menjadi ahli Al-Arqam. Begitu juga Mazlan Harun, anak Tan Sri Harun Idris juga bersama-sama Ku Li dalam Semangat 46.
Bekas Presiden MCA yang disingkirkan oleh parti itu, Ong Tee Kiat dan bekas Timbalan Presiden MIC yang juga seteru ketat Samy Vellu, S. Subramaniam (Datuk Subra) dan Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Zaid Ibrahim juga bersama-sama Ku Li sekarang. Mereka memegang jawatan penting dalam Amanah.
Selain mereka ialah Wilfred Bumburing, Bujang Ulis dan Daniel Tajem, mewakili kaum Pribumi Borneo.
Sebagai anak raja sehinggalah menjadi orang terpenting kepimpinan negara satu ketika dulu, kita tidak boleh salahkan Ku Li. Ku Li tentunya naik ‘syok’ apabila ada orang yang mahu mengangkatnya semula.
Tapi yang menjadi kekhuatirannya apa pula agenda, motif dan objektif orang-orang kelilingnya itu.
Semua orang keliling itu ialah orang yang sudah tamat tarikh luput atau hampir luput.
Namun, apa sekali pun Ku Li tetap Ku Li. Beliau mempunyai karekter politik yang hebat. Pernah tidur sebantal dengan Nik Aziz dalam APU sehinggalah membakar jambatan dengan Tok Guru itu.
Jika beliau berani menentang Dr. Mahathir, siapalah Nik Aziz.
Apa sekali pun, kita harus mengiktiraf juga sumbangan Ku Li dalam pembangunan negara. Pernah menjadi Menteri Kewangan negara yang hebat. Menubuhkan Amanah Saham Nasional, bangunan UMNO dibina di atas tanah miliknya, Naib Presiden UMNO yang paling kuat serta anak emas kepada Tun Razak.
Pada pendapat kita, beliau mungkin tidak akan jadi begitu sekiranya dia diberi sedikit peranan penting dalam negara.
Difahamkan majlis berbuka puasa Ku Li ialah pada 7 Ogos ini. Kita lihat siapa yang akan berdamping dengannya?


0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List