Siasatan Nurul Izzah ke Peguam Negara

on Sep 3, 2010



KUALA LUMPUR 2 Sept. - Siasatan berhubung tindakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang mempersoal Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak istimewa Melayu akan disiapkan dengan segera.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, laporan polis mengenai perkara itu sudah dibuat dan siasatan rapi sedang dilakukan bagi memudahkan pihak Peguam Negara melakukan pendakwaan terhadap Nurul Izzah.
"Polis akan melengkapkan siasatan berhubung perkara ini sebelum ia diserahkan kepada Peguam Negara untuk menentukan apa bentuk pendakwaan terhadap Nurul Izzah," katanya.
Beliau ditemui di majlis rakaman takbir raya bersama penagih di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik di sini, hari ini.
Hishammuddin mengulas mengenai tindakan ke atas Nurul Izzah di bawah Akta Hasutan ekoran tindakan wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mempersoal hak keistimewaan Melayu walaupun ia dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 153.
Nurul Izzah dalam artikel disiarkan portal berita propembangkang, Malaysian Insider Selasa lalu antara lain mendakwa, 'hak keistimewaan' orang Melayu tidak disebut sebaliknya Perkara 153 hanya menjelaskan mengenai 'kedudukan istimewa' masyarakat bumiputera.
Anak kepada ketua pembangkang itu juga mendakwa, hak Melayu hanyalah sekadar falsafah serta ideologi dan bukannya sebuah undang-undang atau Perlembagaan selain menegaskan agenda Melayu yang terkandung dalam Perkara 153 juga bersifat sementera.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, kenyataan Nurul Izzah itu membuktikan pemimpin pembangkang tidak bertanggungjawab kerana secara terbuka mempersoalkan peruntukan itu walaupun Perlembagaan dengan jelas melarang sebarang perdebatan mengenainya atau berdepan dengan dakwaan di bawah Akta Hasutan jika ingkar.
"Nurul Izzah seorang wakil rakyat yang silap pertimbangan tetapi sebagai rakyat Malaysia yang diamanah untuk menjaga keselamatan dalam negeri, saya akan mengambil segala tindakan perlu tanpa memilih bulu bagi mengelakkan insiden seperti ini berlaku lagi," jelasnya.
"Kementerian ini akan sentiasa konsisten dan kita akan mengambil terhadap sesiapa sahaja yang bertindak menimbul keresahan rakyat membabitkan isu perkauman, agama dan perkara-perkara yang menyentuh Perlembagaan Persekutuan," jelasnya.
Mengenai tindakan terhadap Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee, Hishammuddin berkata, semua pihak tidak perlu menangguk di air keruh dengan cuba membangkitkan api perkauman di negara ini.
Katanya, polis sudah memulakan siasatan dan semua pihak perlu menaruh keyakinan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan undang-undang sedia ada dalam negara.
"Orang ramai kena faham, benda-benda macam ini memerlukan masa tetapi bukan bermakna kita melengah-lengahkan siasatan dan tindakan. Ada kala, kita boleh menyelesaikan kes itu dengan cepat tetapi dalam kes tertentu mungkin terpaksa ambil sedikit masa," ujarnya.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List