DAP Selangor agresif cari pengundi

on Sep 3, 2010

SHAH ALAM, 2 Sept – DAP Selangor akan menghantar pasukan sukarelawannya di seluruh negeri bagi memastikan setiap individu yang mencapai umur 21 tahun didaftarkan sebagai pengundi.
Setiausaha Negerinya, Lau Weng San berkata, langkah itu penting sebagai sebahagian daripada persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.
Katanya, strategi berkenaan berjaya menarik ramai pemilih baru terutamanya pengundi muda di kawasan yang tidak mempunyai cawangan DAP.
“Selain menghantar sukarelawan ke kawasan yang tidak mempunyai cawangan DAP, kita juga telah membuka kaunter pendaftaran di kawasan tumpuan seperti pasar malam dan sebagainya.
“Usaha menarik dan mendaftar pemilih baru ini sebenarnya dijalankan secara berterusan, ia dilakukan sejak sebelum pilihan raya umum yang lalu lagi,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Weng San berkata, pada masa sama pihaknya mengakui masih ramai pengundi muda di negeri ini yang belum mendaftar sebagai pemilih baru.
Justeru katanya, pihaknya akan melipat gandakan usaha bagi menarik golongan terbabit sebagai ahli DAP.
“Kita dapati kesedaran mendaftar sebagai pemilih masih kurang di kalangan orang muda di negeri ini.
“Justeru, kita akan menggunakan peluang yang ada untuk menarik dan mendaftarkan mereka sebagai pemilih baru,” katanya.
Terdahulu, berdasarkan perangkaan dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelmarin, DAP mendaftar seramai 9,106 pengundi sepanjang Julai lalu manakala UMNO pula 7,230 orang.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, pihaknya telah menubuhkan sebuah sekretariat khusus bagi menarik pemilih baru.
Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, sekretariat berkenaan bekerja sepenuh masa bagi meningkatkan bilangan orang Melayu yang mendaftar sebagai ahli UMNO.
“Untuk menarik lebih ramai pemilih baru, kita telah tubuhkan sebuah sekretariat bagi mendaftarkan individu berumur 21 tahun sebagai pengundi.
“Mereka yang menganggotai sekretariat ini akan bekerja sepenuh masa bagi membantu meningkatkan bilangan orang Melayu mendaftar sebagai pengundi kita,” katanya. – SINARHARIAN

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List