Bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berharap tidak akan ada pihak dalaman yang akan menentang secara “senyap seperti gunting dalam lipatan” usaha penggantinya Datuk Seri Najib Razak yang mahu memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan beberapa undang-undang lain.
“Saya harap barisan pimpinan di belakang Datuk Seri Najib, parti-parti politik baik dalam Barisan Nasional atau pun di luar akan memberi sokongan penuh kepada beliau untuk merealisasikan perjuangan untuk membawa perubahan.
“Saya harap tidak akan ada mereka yang menentang dalam senyap seperti gunting dalam lipatan kerana dasar yang beliau ingin wujudkan dengan pemansuhan ISA akan membawa manfaat kepada rakyat dan negara dalam jangka masa panjang,” kata beliau hari ini.
Najib menggantikan Abdullah (gambar) sebagai Perdana Menteri pada April 2009.
Abdullah juga berkata beliau berharap mereka yang dipertanggungjawabkan untuk menggubal akta dan undang-undang baru keselamatan akan berfikiran progresif dan tidak cuba menggubal undang-undang yang dapat disalahgunakan untuk menyekat perkembangan minda rakyat yang waras, intelek dan berintegriti.
“Saya yakin dan percaya bahawa Perdana Menteri dan barisan pimpinan di bawah beliau telah berfikir dengan dalam dan rasional sebelum mengumumkan pemansuhan ISA dan enakmen darurat, dan saya juga yakin bahawa beliau akan melakukan apa yang telah dijanjikan,” kata Abdullah ketika berucap menerima ijazah kehormat doktor keusahawanan dalam pembangunan modal insan sempena Majlis Konvokesyen Pertama Universiti Malaysia Kelantan.
Najib mengumumkan pemansuhan ISA dan tiga deklarasi darurat serta langkah mengkaji semula beberapa undang-undang yang lain ketika menyampaikan perutusan khas sempena Hari Malaysia Khamis lalu.
Dalam ucapannya, Abdullah menyifatkan pengumuman oleh Najib Khamis lalu sebagai satu perkara yang diharap akan mencatat sejarah kerana ISA dan beberapa enakmen keselamatan yang lain sudah lama menimbulkan keresahan dalam masyarakat.
Kata Abdullah, semasa mengambil alih menjadi Perdana Menteri pada 2003 beliau telah bertekad untuk memberi lebih kebebasan supaya rakyat negara ini dapat memperkembangkan fikiran dan intelek tanpa sekatan dan tanpa ketakutan bahawa undang-undang seperti ISA akan digunakan terhadap mereka.
“Saya juga telah menjayakan tiga perundangan yang memberi perubahan kepada undang-undang berkaitan dengan pencegahan rasuah, pelantikan hakim dan integriti agensi penguat kuasa,” kata beliau sambil menambah, beliau juga berhadapan dengan tentangan dari dalam dan luar parti pimpinannya.
“Saya mengaku bahawa saya mendapat tentangan bukan sahaja dari luar tetapi juga dari dalam kerana ada golongan ‘hardliners’ yang ingin mengekalkan sistem yang lama, yang masih ingin menguasai aliran maklumat serta menggunakan akta-akta dan enakmen untuk membisukan rakyat,” katanya lagi.
Namun tegas Abdullah, majoriti bersetuju bahawa dalam perkampungan dunia sekarang, menentang peralihan zaman akan membawa rebah.
“Dan, kita berjaya dalam usaha kita untuk memberikan hak kepada rakyat untuk bersuara dengan lebih kebebasan. Kebebasan ini amat perlu untuk membina modal insan kita yang lebih bertanggungjawab dan berintegriti,” katanya lagi.
Jelas Abdullah, ada juga yang menyalahkan beliau kerana memberi terlalu banyak kebebasan kerana mengikut mereka ia menjadi faktor ke arah keputusan pilihan raya umum 2008.
“Tetapi pada diri saya, saya tidak pernah menyesal memberi lebih kebebasan sebab itu adalah hak asasi manusia.
“Pada saya, masyarakat yang waras dan bertamadun akan satu hari kelak akan dapat membezakan antara kaca dan permata, dan mereka akan dapat tapis pembohongan dan fitnah dengan kebenaran dan keikhlasan,” kata bekas presiden Umno dan bekas pengerusi BN.
Justeru kata Abdullah lagi, beliau cukup bangga dengan tindakan Najib untuk memansuhkan ISA kerana “saya percaya itu adalah satu lanjutan dari tindakan kerajaan dahulu untuk menegakkan lagi hak asasi manusia.”
“Tetapi perjalanan ke arah mencapai matlamat penuh Perdana Menteri Najib mungkin juga berhadapan dengan cabaran-cabaran seperti saya dalu... ‘the job of a reformist is not easy’.”
0 comments:
Post a Comment