Mahmoud Abbas Derhaka Kepada Amerika...?

on Sep 24, 2011




Akhirnya, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, muncul di Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) malam tadi (waktu Malaysia) memohon taraf negara untuk Palestin.  Abbas dalam ucapan yang penuh semangat, yang disiarkan secara langsung oleh beberapa stesen televisyen dan diikuti penuh khusyuk oleh penduduk Palestin di Ramallah, Tebing Barat, membangkitkan satu demi satu kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin, termasuk penempatan mereka di wilayah Palestin.

Bagi penduduk Palestin  di sana, keputusan Presiden Mahmoud Abbas untuk memperjuangkan taraf negara di PBB merupakan "usaha yang bagus.  Inilah kali pertama beliau melakukannya dengan betul."  Beribu-ribu penduduk Palestin di Ramallah dilaporkan memberi hormat kepada tuntutan presiden mereka untuk pengiktirafan rasmi negara merdeka untuk mereka, menyambutnya sebagai detik bersejarah mereka dalam perjuangan berdekad-dekad  lamanya untuk penentuan nasib sendiri dan pembebasan daripada pendudukan Israel.

Bagi mereka yang mengikuti siaran langsung itu, pastinya merasakan bahawa Abbas yang berdiri di PBB itu  mungkin Abbas yang mereka kenali selama ini: sentiasa diperlekeh oleh rejim Tel Aviv dan terpaksa mengikut telunjuk Washigton. Dalam ucapan yang bersejarah itu, beliau sempat beretorik bahawa pada masa Pemberontakan Arab, kini tiba Pemberontakan Palestin.   

Abbas memberitahu dunia bahawa sudah tiba masanya untuk rakyat Palestin menikmati kebebasan dan memadailah dengan 63 tahun kesengsaraan. Beliau memberikan amaran bahawa tiadanya kemajuan dalam rundingan perdamaian, tambah pula dengan kehadiran berterusan penempatan Israel di wilayah yang diduduki, bloleh menghancurkan  Pihak Berkuasa Palestin (PA), merampas Israel rakan perdamaian yang berdaya maju.

Dengan mengemukakan secara rasmi agar PBB mengiktiraf negara Palestin, Abbas mengingkari tekanan Amerika Syarikat yang keras supaya meninggalkan langkah itu.  Sebaliknya, Abbas merayu penuh tenaga akan  hati nurani dunia agar mengiktiraf bahawa rakyat Palestin berhak mendapatkan Arab spring mereka sendiri. Dengan berbuat demikian, Abbas, ulas  Ghada Karmi sehari sebelum ini, "mencari penyelesaian secara menghairankan terhadap satu demi satu tekanan yang menggerunkan daripada Israel, Amerika Syarikat, dan Eropah yang memaksa beliau menarik balik pendirian  beliau itu."  


Langkah Palestin itu dikatakan memecahbelahkan PBB.  Justeru,   dengan diterajui oleh Amerika Syarikat dan Eropah, kuasa antarabangsa mencuba semalam untuk melengah-lengahkan undi di badan dunia dengan mendesak kedua-duanya, iaitu Palestin dan Israel meneruskan rundingan perdamaian.

Bagi Presiden Barack Obama, seperti yang diperhatikan oleh David Ignatius, langkah berundur tentang isu Palestin mesti merupakan pil yang cukup pahit untuk ditelan. Dengan Obama  mengambil langkah bertahan,  Ignatius mengingatkan "bermain secara bertahan berfungsi jika anda mencapai kemenangan untuk dilindungi.  Akan tetapi, tidak cukup sekiranya kemenangan itu semakin terhakis."  Untuk meredakan krisis semasa dalam konflik Israel-Palestin,tegas James Kitfile, tiga pemimpin, iaitu Barack Obama, Benyamin Netanyahu, dan Mahmoud Abbas perlu kembali semula ke meja perundingan.  Namun, tiada seorang pun yang ingin bersuara tentang hal ini.

Pastinya, Israel akan menentang dan Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto.  Namun, dengan tindakan nekad Abbas itu, hegemoni Amerika berhubung dengan proses damai Israel-Palestin tercalar teruk.  Abbas dikatakan hilang kepercayaan dan kesabaran terhadap Amerika dalam menangani konflik Israel-Palestin.  Bagi Israel pula, negara itu dikatakan kian terasing di dunia Arab akibat kehilangan sekutu rapatnya selama ini, iaitu Turki dan Mesir yang menyaksikan kejatuhan Hosni Mubarak.


Sebelum tepukan gemuruh ketika Abbas berucap reda, The New York Times melaporkan bahawa kuasa antarabangsa menyediakan pelan baru untuk meneruskan semula rundingan damai Israel-Palestin yang dirancang untuk melengah-lengahkan undi yang menimbulkan perbalahan terhadap permohonan Palestin itu seberapa lama yang boleh.


Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List