Copy & Posted By mahi on
Sep 7, 2011
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Ahmad Wan Omar menjelaskan bahawa kesilapan pada daftar pemilih yang didedahkan oleh ahli parlimen Rasah semalam mungkin disebabkan "terlepas pandang", dan menggesa agar Anthony Loke menyerahkan maklumat ini kepada SPR untuk pembetulan.
Anthony Loke (gambar kiri), juga Ketua Pemuda DAPSY semalam mendedahkan bahawa sejumlah 21 kesilapan pada nombor kad pengenalan pasangan tentera, sebagaimana yang tercatat dalam daftar pemilih, iaitu nombor ganjil (nombor yang sepatutnya untuk lelaki) untuk "isteri", dan nombor genap (nombor yang sepatutnya untuk perempuan) untuk "suami". Malah, terdapat satu kes di mana tentera dalam kem berkahwin "sejenis". Selain itu, nama bekas tentera juga didapati dalam daftar pemilih undi pos.
Wan Ahmad ketika dihubungi MerdekaReview berkata, "kesilapan jantina" pasangan tentera itu mungkin disebabkan Penolong Pendaftar mendaftarkan pasangannya sebagai pengundi tanpa berjumpa dengan pasangan itu, untuk bertanyakan sama ada mereka sudi didaftarkan sebagai pengundi pos; atau mungkin kesilapan berlaku apabila Penolong Pendaftar terus mengisi borang setelah memperolehi maklumat atau nombor kad pengenalan daripada tentera.
Wan Ahmad menjelaskan bahawa kesilapan ini berlaku kerana Penolong Pendaftar yang tidak mengikut tatacara kerja, sehingga SPR terpaksa menjawab masalah-masalah yang ditimbulkan. Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa beliau tidak tahu secara terperinci kesilapan yang didedahkan Anthony Loke. Justeru itu, beliau menyeru agar maklumat itu diserahkan kepada SPR untuk membolehkan pihaknya mengesan di mana kesilapannya, kemudian diperbetulkan kesilapan itu, dan bukannya memperlekehkan daftar pemilih atau menghina SPR dalam sidang media.
Selain itu, Wan Ahmad (gambar kanan) menyalahkan Kementerian Pertahanan kerana tidak memaklumkan SPR apabila seseorang tentera bersara dari tugasnya, menyebabkan namanya masih wujud dalam daftar pemilih undi pos. Beliau berkata, adalah tugas Jabatan Rekod dan Pencen Kementerian Pertahanan untuk memotong nama bekas tentera.
Semalam, Anthony Loke mendedahkan bahawa seorang tentera bersara di kawasan DUN Jalong, Kalidas Maniam mendapati nama dan maklumatnya tertera dalam daftar pemilih biasa dan daftar pemilih undi pos, meskipun beliau telah mendaftarkan diri sebagai pengundi biasa.
Wan Ahmad berkata, menurut prosedur biasa, setelah Jabatan Rekod dan Pencen Kementerian Pertahanan memotong nama tentera bersara itu dari rekodnya, maka jabatan itu akan menghantar surat rasmi kepada SPR sebagai makluman, lantas SPR akan memotong nama tentera bersara tersebut dari daftar pemilih undi pos. Dalam kes ini, jelas jabatan itu tidak memotong nama bekas tentera tersebut. "Mungkin terlepas pandang," katanya.
Beliau menjelaskan selanjutnya, jabatan menyerahkan senarai nama tentera bersara pada masa yang berbeza, ada kalanya mungkin terlewat, dan ada kalanya menghantar sekali selepas beberapa bulan, menyebabkan SPR tidak sempat untuk memotong nama-nama itu.
Bagaimanapun, Wan Ahmad berkata orang awam tidak perlu bimbang, kerana SPR hanya mengedarkan kertas undi mengikut bilangan tentera dalam kem ketika pilihan raya. Oleh itu, tentera yang bersara tidak akan diberi kertas undi kerana tidak diketahui di mananya berada.
Beliau menambah, langkah di atas diambil kerana SPR telah menduga "kesilapan" sedemikian (jabatan tidak memotong nama tentera bersara) sejak awal lagi. Wan Ahmad berkata, jika parti politik memanggil sidang media setiap kali kesilapan ditemui, maka keadaannya menjadi susah.
Di samping itu, Wan Ahmad mempertahankan bahawa tempoh bantahan untuk daftar pemilih selama tujuh hari adalah memadai, meskipun dikatakan terlalu pendek. Beliau berkata, tempoh ini diperuntukkan di bawah Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih), 2002, dan adalah mencukupi kerana parti politik mempunyai bahagiannya di seluruh negara.
Wan Ahmad berkata, orang Malaysia perlu mengubah sikap mereka yang merungut tempoh terlalu pendek, sedangkan dirinya yang tidak dapat bekerja secara sistematik. Malah, beliau mengumpamakan "bagai orang yang gagal menjelaskan samannya dalam tempoh yang diberi mengadu tempoh terlalu pendek, tanpa meneliti sikap dirinya".
0 comments:
Post a Comment