Bayangkanlah Jika Anda Memilih BN…

on Nov 13, 2011






Cubalah bayangkan jika dalam pilihan raya ke-13 akan datang, anda memilih untuk mengundi Barisan Nasional. Mungkin kerana anda lebih mudah terpengaruh dengan isu-isu remeh daripada perkara-perkara utama dan lebih besar dalam menentukan nasib serta masa depan kita semua.

Walau apa pun alasan yang anda diberikan untuk memilih BN, beberapa perkara utama sudah hampir pasti akan dilaksanakan oleh kerajaan BN yang didalangi UMNO yang telah terbukti sanggup berbuat apa sahaja semata-mata mahu terus bergayut di tampuk kuasa

Tiga kemungkinan besar yang akan berlaku adalah:
  1. 1. GST akan dilaksanakan.
Ia adalah goods and services tax (GST) atau cukai barangan dan perkhidmatan. Jika UMNO-BN menang, maka seluruh rakyat Malaysia akan terpaksa menanggung cukai ini pada semua barangan harian dan perkhidmatan. Contohnya, barangan seperti satu pek sabun cuci yang berharga RM10 kelak akan menjadi RM10.60 (setakat ini cukai perkhidmatan yang dikenakan biasanya 6 peratus).

RM0.60 ini mungkin tidak banyak bagi kita untuk satu jenis barangan, tetapi cuba anda bayangkan jika dalam satu hari anda perlu membeli 5 jenis barangan yang jumlah puranya RM50, anda akan perlu menambah RM3 untuk cukai tersebut.

Adakah jumlah ini masih sedikit? Jika dalam seminggu kita berbelanja RM200 untuk barang keperluan harian, maka jumlahnya akan menjadi RM12. Bayangkanlah dalam sebulan dan setahun, berapakah jumlah yang kita terpaksa bayar? Itu belum masuk kos-kos lain seperti bayaran pinjaman rumah, kereta, motosikal, minyak, servis, tol, telefon dan lain-lain.

Soalannya, ke manakah wang cukai ini akan pergi kelak? Masuk poket siapa? Dan apa pula yang akan kita (rakyat) perolehi darinya? Adakah rakyat dijamin akan mendapat mutu perkhidmatan perubatan (hospital) yang terbaik? Atau adakah kita akan dapat mutu perkhidmatan pelajaran dan pendidikan yang terbaik? Bayangkanlah jika ini terjadi, siapa pula akan membantu kita?

Setakat ini belum kedengaran kerajaan BN mahu menarik balik cadangan memperkenalkan GST walau pun banyak pihak telah membantahnya. Yang diperlukan BN ialah mandat rakyat untuk mengenakan sebanyak mungkin cukai terhadap rakyat.
Untuk apa kerajaan BN perlukan begitu banyak wang yang terpaksa dicukai daripada rakyat sendiri? Tepuk dada tanya selera.
  1. 2. Kes rasuah dan salah guna kuasa akan terus berleluasa
Kini isu terbaru membabitkan keluarga menteri UMNO, iaitu kes National Feedlot Corporation (NFC) yang dianggarkan berjumlah RM280 juta. Wang Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu adalah wang dari cukai rakyat dan sumber negara. Kontrak pula diberikan kepada syarikat keluarga seorang menteri. Walau pun dengan alasan syarikat terbabit telah mengikuti segala prosedur dan mempunyai kebolehan, dari segi etikanya, ia tidak mencerminkan ketelusan kerajaan dalam membelanjakan wang kita (rakyat).

Itu cuma satu contoh terbaru sahaja. Soal skandal kewangan, rasuah, penyelewengan kerap berlaku dalam pentadbiran BN. Dalam kes Port Klang Free Trade Zone (PKFZ), mantan menteri-menteri pun terlibat. Dalam kes mantan seorang menteri besar yang berumah terlalu besar dan sepatutnya tidak mampu dimilikinya sudah menjadi kes mahkamah. Tentunya banyak lagi kes sedemikian yang berlaku kepada pemimpin-pemimpin kerajaan yang terlalu lama memerintah.

Baru-baru ini juga, Ketua Audit Negara telah mendedahkan pelbagai kes yang melibatkan salah urus hingga menyebabkan kerajaan (wang rakyat) rugi berbilion ringgit dalam masa setahun.
Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan, antara lain, telah menyatakan Kementerian Pelajaran adalah antara sembilan kementerian/jabatan yang mencatat perbelanjaan sebenar melebihi peruntukan. Hasilnya tidak nampak ke mana kerana pelajar dan guru Malaysia tidak pula dianggap antara yang terbaik di dunia, kalau tidak pun di rantau Asia Tenggara.

Laporan itu juga mendedahkan kos pengambilan balik tanah bagi projek Lebuh Raya Senai-Desaru meningkat hampir 103 peratus dengan kerajaan terpaksa menanggung tambahan sebanyak RM375.60 juta.
Malah, Ketua Audit Negara juga mencatatkan bahawa sebahagian besar pembelian dibuat melalui rundingan terus, tidak melalui tender terbuka dan tanpa kelulusan daripada Kementerian Kewangan.

Berikut beberapa barang yang dibeli dengan harga yang tidak masuk akal sama sekali dilaporkan dalam laporan berkenaan:

•           Ketuhar berharga RM1,200 berbanding harga pasaran RM419, untuk membuat roti dan pastri bagi kursus di Kelantan

•           Katil boleh lipat berharga RM500 berbanding harga pasaran RM100

•           Dapur gas dua pembakar pada harga RM200 setiap satu, dan bukannya RM59.90

•           Mesin gunting rambut yang dibekalkan pada harga RM250 setiap satu, dan bukannya RM79

•           Pengisar pada RM140 dan bukannya sebanyak RM60
Jika mengambil kira wang RM280 juta dalam kes NFC, dicampur dengan skandal PKFZ yang bernilai berbilion-bilion ringgit itu, serta ditambah pula dengan ketirisan wang dari laporan Ketua Audit Negara itu, bayangkalah berapa banyak lagi wang rakyat yang akan hangus jika UMNO-BN terus diberi mandat untuk mengurus ekonomi negara.

Mengapa kerajaan UMNO-BN membiarkan pembaziran yang amat dahsyat itu sedangkan masih ramai golongan miskin dan berpendapatan rendah, khususnya di Sabah dan Sarawak, yang memerlukan pembelaan?
Kata orang dulu-dulu, sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula.
  1. 3. ISA mungkin dimansuhkan tetapi diganti dengan undang-undang yang lebih zalim dan kejam
Pada 15 September 2011, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan bahawa pentadbirannya akan memansuhkan undang-undang zalim Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Pengumuman itu pada hakikatnya hanya menyebut ‘akan’ tanpa penjelasan jangka waktu yang sebenar.

Jelas bahawa ia satu mainan politik yang terdesak untuk meraih undi rakyat. Malah, ISA yang kononnya mahu dimansuhkan itu akan digantikan dengan dua (2) akta baru yang belum dijelaskan lagi kepada rakyat tentang isi kandungannya, hatta gambaran kasar tentang undang-undang baru itu juga masih tidak diterangkan.
Jika anda memilih untuk mengekalkan kerajaan UMNO-BN dalam PRU akan datang kerana janji-janji Najib, perlu diingat bahawa amat sukar bagi Perdana Menteri untuk mengotakan janjinya.

Walau pun anda mungkin yakin niatnya baik, pimpinannya kini dipengaruhi unsur-unsur perkauman yang bersifat fasisme dan menolak perubahan, termasuk yang mengatakan hak asasi manusia itu adalah ajaran agama baru yang mengancam keselamatan negara.

Begitu juga reputasi Najib dalam isu perhimpunan aman Bersih 2.0 yang mana beliau telah berjanji untuk memberi kebebasan berkumpul di stadium tetapi janji hanya tinggal janji.
Malah, tindakan zalim pihak berkuasa yang menangkap rakyat yang memakai baju kuning serta bertindak ganas pada hari perhimpunan 9 Julai lalu, membuktikan tidak ada apa-apa perubahan akan berlaku; lebih teruk dikekang kebebasan jika UMNO-BN diberi mandat sekali lagi.

Kesan dari itulah maka pentadbiran Najib dikecam oleh dunia kerana gagal bertindak bijak dalam memberi hak kepada rakyat untuk berhimpun secara aman dan mengamalkan hak kebebasan bersuara.

Pimpinan tunggang terbalik

Malah pentadbiran UMNO-BN telah dilihat sebagai flip flop atau tunggang terbalik dalam banyak isu penting yang lain, dan semua ini menjadikan rakyat semakin gelisah seolah-olah tiada kepastian dalam hidup di bawah pemerintahan yang tak keruan itu.

Contoh paling nyata adalah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSI). Bila dilancarkan dahulu tanpa merujuk kepada rakyat, khususnya ibu bapa dan guru-guru serta pelajar, dicanangkan betapa pentingnya Bahasa Inggeris. Bila mahu dimansuhkan pun dibuat perkara yang sama, dengan menggunakan alasan mahu memartabatkan Bahasa Malaysia.

Dalam kes Akta Universiti dan Universiti Kolej (AUKU) di mana Mahkamah Rayuan telah pun mengisytiharkan Seksyen 15 (5) (a) yang menghalang hak mahasiswa untuk mengamalkan hak politik sebagai tidak sah dan melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Sepatutnya kerajaan UMNO-BN menghormati keputusan ini tetapi sebaliknya mereka berdolak-dalik mencari jalan supaya mahkamah yang lebih tinggi membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang waras, munasabah dan adil itu.

Berhubung penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen mengenai Reformasi Sistem Pilihan Raya, Najib sendiri tidak berani memberi jaminan bahawa PRU ke-13 tidak akan diadakan sebelum jawatankuasa itu selesai melaksanakan tugasnya untuk memenuhi tuntutan rakyat bagi mewujudkan pilihan raya yang adil, bersih dan demokratik.

Malah, lebih awal dari itu semua, Najib telah mencanangkan slogan 1Malaysia apabila menjadi Perdana Menteri. Tak sampai setahun, segala niatnya dihancurkan oleh kumpulan-kumpulan yang menentang perubahan. Kerana itu janji Najib amat sukar untuk dipercayai lagi.

Mengapa Perdana Menteri begitu lemah dan takut untuk berhadapan dengan kumpulan-kumpulan minoriti yang jelas mensabotaj agendanya yang mahu mendahulukan rakyat, mengutamakan pencapaian itu?
Bayangkanlah betapa mendung dan gelapnya masa depan kita jika UMNO-BN terus memerintah…


sumber :- Wan Pok Wan Malini
Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List