Amerika sedia bekerjasama dengan 'Mesir baru'

on May 27, 2012


 Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Puan Hillary Clinton mengucapkan tahniah kepada seluruh rakyat Mesir atas pilihan raya presiden bersejarah yang diadakan negara itu kelmarin.

Katanya, Washington sedia bekerjasama dengan pemerintah baru di Kaherah.

"Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan pemerintah Mesir yang dipilih secara demokratik," kata Clinton dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakapnya.

Hilary Clinton membuat kenyataan itu sedang kiraan undi masih diteruskan di negara Arab yang paling ramai penduduk.

"Hari ini (kelmarin) rakyat Mesir mengakhiri dua hari yang bersejarah dalam pusingan pertama pilihan raya presiden, menandakan satu lagi mercu tanda penting dalam peralihan mereka ke arah demokrasi.

"Kami akan terus berdiri bersama rakyat Mesir sedang mereka berusaha menggapai janji hasil pemberontakan tahun lalu dan membina demokrasi yang melambangkan nilai dan tradisi mereka, menghormati hak asasi manusia dan memenuhi aspirasi bagi kehidupan lebih baik," kata Clinton.

[Gambar - MENGIRA UNDI: Para pegawai pilihan raya Mesir mengira undi di salah satu pusat mengundi di Kahirah, setelah negara itu selesai menjalankan pilihan raya presiden yang bersejarah. - Foto AFP]

Setelah berdekad-dekad menerima keputusan yang telah ditetapkan di bawah pemerintahan mantan Presiden, Hosni Mubarak, keputusan undian dua hari itu tidak dapat dijangka dan mungkin memaksa undian pusingan kedua diadakan antara dua calon utama bulan depan.

Sekitar 50 juta pengundi diminta membuat pilihan antara 12 calon.

Tinjauan pendapat menunjukkan calon yang dijangka menang mungkin daripada golongan Islamis atau calon yang pernah menjadi menteri dalam era pemerintahan Hosni Mubarak.

Calon-calon golongan Islamis telah mengatakan mereka akan memperjuangkan matlamat pemberontakan tahun lalu.

Antara pesaing utama jawatan presiden Mesir, termasuk mantan Menteri Ehwal Luar Mesir dan ketua Liga Arab, Encik Amr Mussa, yang dilihat sebagai seorang ahli politik dan diplomat berpengalaman.

Tetapi, sebagaimana Perdana Menteri terakhir pentadbiran Encik Mubarak, Encik Ahmed Shafiq, Encik Mussa dituduh masih mempunyai hubungan dengan rejim lama.

Selain itu, calon Kumpulan Persaudaraan Islam (Ikhwan) yang berkuasa, Encik Mohammed Mursi, pula menghadapi saingan daripada bekas anggota pergerakan Islamis itu, Encik Abdel Moneim Abul Fotouh, yang menyifatkan dirinya sebagai pilihan yang dipersetujui. - AFP.


Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List