Kereta tua selalu rosak, elok kita tukar kereta baru

on Jun 8, 2012




8 JUN 2012   -
Saya akan bertolak ke Utara untuk memenuhi jemputan berceramah malam ini dan besok. Sebelum saya berangkat ke sana saya perturunkan sedikit komen tentang pengumuman TS Muhy dua hari yang lepas.

Tan Sri Muhy berkata berkemungkinan beberapa pemberian dalam bentuk tunai kepada rakyat akan dilakukan sebelum pilihanraya ini untuk menampung kos barangan yang tinggi dan meringankan beban rakyat yang miskin. Kemiskinan memangnya menjadi umpan untuk BN dan UMNO Baru untuk berkuasa dan kemiskinan rakyat inilah yang membuatkan rakyat yang sentiasa berharap kepada kerajaan. Khabarnya lagi RM10 billion akan dibelanjakan untuk BR1M kali ini.

Tidak lama lagi akan kita saksikan rakyat beratur lagi untuk mendapatkan bantuan itu, yang akan dibahagi-bahagikan oleh pemimpin-pemimpin UMNO Baru di setiap pelusuk negara kita. Entah mana UMNO Baru mandapatkan wang sebesar ini tidak pula diketahui. Jika wang ini datangnya dari kantung rakyat (wang rakyat), wang itu sepatutnya dibahagi-bahagikan oleh penjawat awam dan dalam konteks ini ia sepatutnya diberikan oleh pegawai-pegawai daerah, bukannya oleh ahli-ahli politik.

Jika wang itu UMNO Baru yang punya, barulah ahli-ahli politik yang membahagi-bahagikannya. Jika benar itu duit UMNO Baru dan BN, di mana sumber BN  mendapatkan wang itu? Ingin juga kita hendak tahu. Dalam pemberian bantuan BRIM baru-baru ini, rupa-rupanya wang itu adalah wang rakyat sendiri yang datang dari kantung kerajaan dan pemimpin-pemimpin UMNO Baru telah melakukan kesalahan kerana ianya sepatutnya telah diberikan oleh pegawai-pegawai kerajaan.

Tetapi bagi UMNO Baru jika kita tegur dan mengingatkan mereka itu adalah satu kesalahan, mereka akan melenting marah kerana mereka terlalu biasa dengan melanggar sistem dan undang-undang. Bagi mereka kalau tidak melanggar undang-undang maka mereka bukan ahli-ahli UMNO Baru. Melanggar sistem dan undang-undang itu adalah ‘attribute’ UMNO Baru yang utama. Kerana apa mereka berani melanggar undang-undang? Jawabnya ialah kerana mereka itu UMNO Baru.

Kenapa bantuan ini diberikan secara begini dan di waktu ini? Tentulah jawapan yang hakiki, ialah kerana pilihanraya hampir tiba dan pemberian ini merupakan pemberian pilihanraya, dan untuk memancing undi. Saya yakin pemberian ini tidak akan dilakukan selepas pilihanraya nanti. Jika dicampurkan jumlah wang yang terlibat ia akan mencecah RM20 billion.

Oleh itu elok kita hendak bertanya, kenapa untuk memberikan pendidikan percuma seperti yang diusulkan oleh PR itu akan menjadikan negara ini bankrap seperti yang dibahaskan oleh pembahas UMNO Baru. Kalau jumlah peruntukan BR1M ini sahaja mencecah RM 20 billion dan dicampurkan dengan ketirisan yang berlaku dalam kerajaan sebanyak RM28 billion setahun itu, maka jumlahnya melebihi daripada jumlah perbelanjaan untuk memberikan pendidikan percuma kepada anak-anak muda.

Kenapa jika PR hendak memberikan pendidikan percuma kepada rakyat itu dikatakan akan membankrapkan negara sedangkan ketirisan (rasuah) yang berlaku di dalam kerajaan berjumlah RM28 billion setahun dan pemberian BR1M sebanyak RM 20 billion oleh BN itu tidak pula menjadikan negara kita bankrap?

Jawapannya kepada soalan ini amat mudah, kerana wang ini bukannya wang UMNO Baru, maka mereka tidak merasa bersalah membelanjakan wang-wang ini setelah membuat keputusan secara ‘ad-hoc’ tanpa rasa bersalah.

Kalau beginilah caranya Najib berbelanja wang rakyat dengan jumlah yang sebegini besar maka ia merupakan petanda yang negara kita akan menghadapi krisis kewangan tidak berapa lama lagi. Najib tidak boleh mentadbir negara seperti mentadbir UMNO bahagian Pekan….jika ada masalah bayar sana, bayar sini.

Pendeknya dengan cara yang Najib/Muhy berbelanja wang rakyat, maka kita tunggu sahajalah bencana yang akan menimpa negara. Maka benarlah analogi yang pernah saya buat tidak berapa lama dahulu: BN ini sudah terlalu tua dan berpenyakit. Ia ibarat kereta tua yang sangat tinggi kos penyelenggaraannya. Jika kita masih memandu kereta tua ini maka kita akan asyik-asyik ke bengkel kereta setiap waktu untuk menyelenggara kereta tua ini.

Elok kita buat ‘trade-in’, kita ambil dan beli kereta baru. Setidak-tidaknya kita akan terhindar dari berbelanja penyelenggaraan yang tinggi beberapa ketika. Asap yang keluar dari kereta baru ini pun tidaklah sekotor asap yang keluar dari kereta tua yang kita telah pandu selama 55 tahun itu.

Setelah mendapatkan kereta baru yang kos penyelenggaraannya rendah itu, kereta tua yang kita hentikan perkhidmatannya ini kita masukkan ke dalam bengkel untuk dibaikpulih sepenuhnya. Kereta tua ini ada lima tahun untuk diperbaiki yang mana yang rosak dan alat-alat mana yang perlu diganti. Mungkin kereta ini boleh dipakai kembali jika kereta baru yang kita beli itu rosak pula lima tahun yang akan datang. Kereta tua ini boleh kita jadikan kereta ‘spare’.

Tetapi buat masa ini kereta tua itu mesti direhatkan kerana sejak hampir tiga dekad yang lalu kereta ini telah dipandu secara lasak oleh setidak-tidaknya tiga orang pemandu sehingga punah-ranah dan terlalu tinggi kos untuk menyelenggaranya. Pemandu-pemandu yang tiga orang ini telah memandu terlalu lasak. Segala lubang dan selut dilanggarnya dan kerosakannya terlalu banyak.




ASPAN ALIAS


Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List