Beberapa tahun dahulu saya menulis satu cerita yang bertajuk ‘gajah serkas'. Saya teringat hendak menulisnya sekali lagi kerana ia amat bertepatan dengan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan terhadap peneroka Felda berhubung dengan pengapungan sahamnya melalui FGVH pada 28hb Jun yang lalu. Tentulah saya akan tidak digemari kerana mengaitkan cerita gajah serkas dengan peneroka Felda yang berjumlah 112,000 keluarga diseluruh negara.
Di dalam sesuatu serkas, gajah lah haiwan yang paling penting dan jika tidak ada gajah serkas itu tidak dipanggil serkas. Semasa serkas sampai ke lokasi pertunjukan, gajah lah yang bekerja kuat untuk mengangkat besi-besi berat untuk membina khemah yang begitu besar. Tanpa gajah premis serkas itu amat payah untuk dibangunkan.
Apabila serkas itu berpindah gajah hanya berjalan kaki ke lokasi baru jika lokasi setakat sepuluh atau dua puluh kilometer jauhnya. Haiwan-haiwan lain seperti harimau dan singa akan pergi ke lokasi baru menaiki lori dan pengangkutan berbagai jenis tanpa bersusah payah berjalan kaki seperti gajah serkas itu.
Yang paling sedih kita melihatnya ialah semasa makan. Gajah yang begitu kuat bekerja menggunakan tenaga yang banyak hanya diberi makan rumput dan daun-daun tebu sahaja. Harimau dan singa akan diberikan daging-daging lazat dan enak walaupun harimau dan singa tidak menggunakan tenaga mereka seperti yang digunakan oleh gajah.
Apabila kita tengok nasib gajah ini saya teringat pula kepada nasib yang menimpa peneroka Felda. Lima puluh tahun meneroka hutan belantara Felda akhirnya menjadi agensi yang sangat besar. Felda sangat berjaya sehinggakan banyak orang terutamanya yang tamak, melihat dan mengintai Felda sebagai peluang untuk mendapat habuan diatas angin hasil titik peluh peneroka selama ini.
Didalam penyenaraian Felda melalui FGVH baru-baru ini, hanya 90 juta unit saham sahaja diperuntukan untuk 112 ribu peneroka seluruh nagara. Setelah dibahagi-bahagi sama banyak maka satu keluarga peneroka hanya dapat 810 unit saham FGVH dengan harga RM4.55 sen. Orang awam yang lain telah mendapat jutaan saham terutamanya dikalangan yang penting dalam usaha untuk menyenaraikan Felda ini.
Jika peneroka yang mendapat 810 unit saham itu telah menjualnya sehari dua yang lalu untuk membayar balik pinjaman mereka dari CIMB maka satu keluarga dapatlah keuntungan sebanyak lima atau enam ratus ringgit, sedangkan orang lain yang telah diperuntukan jutaan saham telah mendapat jutaan ringgit keuntungan dalam sekelip mata sahaja.
Mereka-mereka ini tidak pernah pun menjejakkan kaki mereka ke tanah rancangan Felda. Mereka ini ibarat harimau dan singa di dalam serkas yang mendapat segala yang enak-enak sedangkan peneroka itu diibaratkan sebagai gajah serkas yang telah berhempas pulas tetapi hanya mendapat rumput kering dan daun-daun tebu sahaja.
Mungkin itulah nasib jika kita kurang maklumat. Cantik kata orang cantik kata kita. Orang lain memakan nasinya yang sedap-sedap, peneroka dapatlah kerak-kerak nasinya.
Orang lain mendapat lauknya yang lazat-lazat peneroka hanya dapat kuahnya sahaja. Tetapi mungkin peneroka hanya berpuas hati setakat menghirup kuahnya sahaja. Ia lah! Kalau makan kuah kari ayam pun, kuah itu rasa ayam juga.
Kalau peneroka makan kuah daging pun kuahnya itu rasa daging juga.
aspan alias
0 comments:
Post a Comment