Benarkah kerusi Parlimen Wangsa Maju akan dikembalikan kepada UMNO dalam pilihan raya umum yang akan datang ini? Jika perkhabaran itu benar, maka bersiullah Ketua UMNO Bahagiannya, Dato’ Dr. Mohd. Shafei Abdullah (gambar bertali leher dalam program dengan pelajar di kawasan berkenaan) kerana beliau dikatakan satu-satunya calon UMNO/BN yang winnable untuk dipertaruhkan menentang calon Pakatan Rakyat sekaligus untuk merampas semula kerusi yang telah dimenangi oleh PKR di situ.
Walaupun blogger Shahbudin Husin di dalam blognya menulis bahawa Shafei bukanlah calon yang winnable di Wangsa Maju, namun rata-rata pemimpin-pemimpin UMNO di Wangsa Maju mahukan beliau ditampilkan sebagai calon jika pucuk pimpinan merestui Wangsa Maju kali ini wajar dikembalikan kepada UMNO. Baca Penulisan Shahbudin di SINI
Jika sahabat saya Shahbudin Husin merasakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Haji Jaafar Arifin, Naibnya Hamdan Yusof dan Setiausaha Bahagian Samsudin Husin adalah calon-calon yang lebih winnable dari Shafei, maka itu hanyalah andaian blogger berkenaan sahaja, sedangkan ketiga-tiga tokoh yang disebutkan itu juga merupakan penyokong setia Dato’ Shafei Abdullah. Mereka juga sebenarnya taksub mahukan Ketua Bahagian mereka dinobatkan sebagai Wakil Rakyat bagi kawasan Parlimen Wangsa Maju jika BN menang di situ. Oleh itu perucubaan untuk melagakan mereka ini dengan Dato’ Shafei mungkin hanya menjaring angin sahaja.
Parlimen Wangsa Maju sebelum ini pernah diwakili oleh UMNO bermula dengan Tan Sri Dr Kamal Salih pada pilihan raya 1995, diikuti dengan Dato’ Sri Zulhasnan Rafique pada piihan raya 1999; namun pada pilihan raya 2004 kawasan ini telah bertukar wajah bukan lagi milik UMNO, sebaliknya BN telah diwakili oleh calon MCA iaitu Yew Teong Look (YTL). Namun begitu YTL tidak mampu mempertahankan kerusi ini apabila beliau kecundang di tangan Wee Chee Keong dari PKR dalam PRU 2008.
Dominasi kerusi Wangsa Maju di tangan BN selama ini mula berkecai dengan kekalahan tipis YTL itu. MCA bukan sahaja kalah di Wangsa Maju bahkan semua calonnya di Wilayah Persekutuan turut ditolak oleh pengundi Cina yang menjadi majoriti di kawasan Parlimen yang ditandinginya. UMNO yang bertanding di lima kawasan Parlimen hanya menang di tiga kawasan iaitu di Putrajaya, Labuan dan Setiawangsa. Manakala Parlimen Lembah Pantai dan Titiwangsa yang diwakili calon UMNO turut dibenamkan bersama-sama dengan calon-calon komponen BN yang lainnya di Bukit Bintang, Seputih, Bandar Tun Razak, Cheras, Kepong, Segambut dan juga Batu.
Jika benar perkhabaran terkini bahawa Wangsa Maju akan dikembalikan kepada UMNO, maka sewajarnya UMNO di Wangsa Maju tidak lagi terjebak dengan ‘politik sengketa’. Saya lebih yakin dengan era kepimpinan Dato’ Shafei Abdullah yang mengetuai UMNO dan juga BN di Wangsa Maju, kerana beliau dilihat lebih komited dan terbukti berjaya dengan agenda rakyatnya. Kelibat turun padang (TURPA) dan program walkabout bersua dengan rakyat marhaen tanpa mengira kaum, bersarapan pagi bersama rakyat yang kerap beliau lakukan sekarang ini merupakan tindakan terpuji seorang pemimpin yang mendambakan dirinya bersama rakyat.
Pada saya, Shafei yang juga Setiausaha Politik kepada Dato’ Sri Najib Tun Razak berada di dalam momentum yang terbaik kerana beliau mampu menyatu padukan semua faksi UMNO yang dipimpinnya. Kehebatannya memperkasakan UMNO juga hendaklah diterapkan di dalam parti-parti komponen BN yang lainnya, terutama MCA kerana terdengar juga desas desus kononnya hubungan beliau dengan kepimpinan MCA agak berbahang, apatah lagi kerusi Wangsa Maju kali ini akan dikembalikan kepada UMNO.
Beberapa program anjuran BN dikatakan tidak dipedulikan oleh MCA, sebaliknya Yew Teong Look dilihat semakin ligat bagaikan putaran gasing mempromosi dirinya tanpa disertai oleh Dato’ Shafei sebagai Pengerusi BN Wangsa Maju. Yew Teong Look semakin kemaruk untuk menjadi calon BN kerana beliau juga yakin bahawa pucuk pimpinan partinya telah memberi signal bahawa MCA akan kekal bertanding di Wangsa Maju.
Jika benar UMNO akan bertanding di Wangsa Maju, Dato’ Shafei sebagai Pengerusi BN hendaklah segera mengambil pendekatan lebih mesra dengan MCA. Jika boleh setiap program BN hendaklah disertai oleh Yew Teong Look sebagai bukti bahawa masalah bermasam muka antara UMNO dan MCA tidak berbangkit lagi. MCA pula kena bekerja keras untuk memenangi hati pengundi-pengundi Cina yang kini lebih terpaut dengan Pakatan Rakyat.
UMNO pula janganlah terlalu ‘complesant’ kerana pengundi Melayu yang melebihi 54 peratus di Wangsa Maju bukanlah semuanya menjadi ahli UMNO. Melayu yang pro PAS dan Melayu yang pro PKR juga merupakan ancaman kepada solidariti Melayu untuk memenangkan UMNO di Wangsa Maju. Rasanya majoriti pengundi Cina akan lebih berpihak kepada calon PKR yang mempertaruhkan Dato’ Dr. Tan Kwee Kwong. Kecenderungan pengundi Cina kepada Pakatan Rakyat masih belum dapat dipatahkan, malah sindrom inilah yang menghantui BN di kebanyakan kerusi yang ramai pengundi Cina.
MCA TANDING DI SETIAWANGSA?
Dalam satu perkembangan lain di Setiawangsa, rata-rata pemimpin UMNO di Bahagian itu tidak bersetuju jika kerusi Setiawangsa menjadi galang ganti untuk MCA bertanding di kawasan ini. Kenapa harus Setiawangsa dikambing hitamkan demi hendak mengembalikan semula UMNO di Wangsa Maju? Pada mereka, kekuatan undi Melayu yang melebihi 60 peratus di Setiawangsa bukannya untuk memberi keselesaan kepada MCA, malah mereka menganggap ini adalah satu penghinaan kepada UMNO.
Jika benar ini yang akan terjadi di Setiawangsa, kemungkinan besar akan berlaku gelombang kemarahan pengundi-pengundi Melayu yang menjadi faktor untuk mereka beralih arah. Desas desus begitu kuat bahawa PKR akan meletakkan calon Melayu bekas Pegawai Tinggi Angkatan Tentera bertanding di Parlimen Setiawangsa. Jika BN mengharapkan undi Tentera tetap solid di Setiawangsa, rasanya mungkin kali ini menjadi terbalik. Kebarangkalian Setiawangsa akan bertukar ganti menjadi kerusi PKR bakal tercipta, jika MCA diajak untuk mewakili BN.
Sikap acuh tak acuh pihak MCA di dalam gerak kerja memantapkan jentera pilihan raya di Setiawangsa sama seperti yang berlaku di Wangsa Maju. MCA masih belum mampu menunjukkan taringnya untuk memikat hati pengundi-pengundi Cina di kawasan ini. Kalau pun pucuk pimpinan tidak mahukan lagi Dato’ Sri Zulhasnan Rafique menjadi calon BN kali ini, tetapi bukanlah penggantinya MCA. Setiawangsa tidak selamat untuk MCA. Percubaan bahaya ini hanya bakal merebahkan BN di tempat yang menjadi kubu kuat UMNO selama ini. Mungkin juga penghinaan terhadap UMNO ini menjadikan orang UMNO tidak percaya lagi kepada UMNO/BN.
Apa juga sepak terajang yang sedang diolah ini, hendaknya janganlah sampai yang dikejar tidak dapat, yang dikendung pula keciciran.
rakyat marhaen
0 comments:
Post a Comment