Wang kertas Malaysia siri baharu RM20

on Jul 9, 2012

Perlukah duit baru?


Peniaga Pulau Pinang menyambut baik wang kertas Malaysia siri baharu yang akan berada dalam edaran mulai 16 Julai ini terutamanya kemunculan semula denominasi RM20.

Berkonsepkan warna terang dan gambaran bertema budaya, warisan dan keindahan alam semulajadi negara, rata-rata peniaga berpendapat wang kertas siri baharu itu akan memudahkan mereka mengenal pasti nilai wang tersebut.

Pemilik kedai jam, Chin Foo Kew, 55 berkata wang kertas siri baharu itu lebih cantik dan menarik berbanding siri sebelum ini kerana ia menonjolkan ciri-ciri budaya dan keindahan alam semula jadi.

"Wang kertas siri baharu ini memang menarik dengan gambaran seperti flora dan fauna. Peniaga tidak akan keliru dengan nilai wang tersebut kerana perbezaan warna yang ketara," katanya kepada Bernama semasa tinjauan di sekitar Pasar Chowrasta, hari ini.

Peniaga kuih-muih, Ooi Sin Eng, 60 menyambut baik wang kertas RM20 sambil menyifatkan ia sesuai untuk peniaga dan pengguna kerana ia memudahkan aktiviti pembelian masa kini.

"Pengenalan semula nilai RM20 memang bagus kerana ia sesuai dengan keperluan untuk pembayaran. Pengguna kini tidak perlu membayar wang RM50 untuk barangan yang nilainya kurang ataupun lebih daripada RM10," katanya.

Peniaga cucur udang, Abdul Aziz Seeni Mohamed, 51, berkata wang kertas siri baharu itu mempunyai keunikan tersendiri dengan warnanya yang menarik akan memudahkan peniaga dan pengguna.

"Wang kertas siri baharu itu kelihatan cantik dan menarik. Dengan warna dan gambaran yang lebih menonjol, ia tidak akan mengelirukan peniaga dan pengguna semasa pembayaran atau pemulangan baki," katanya.

Pengguna R. Thalitha, 31, berkata warna pada wang kertas siri baharu ini menarik perhatian dan beliau teruja dengan pengenalan semula wang RM20 kerana ia memudahkan pembayaran.

Bertemakan keunikan Malaysia, siri keempat wang kertas ini akan menggantikan siri yang sedia ada dalam edaran selama lebih daripada 10 tahun, dengan paparan ekspresi tradisional berilhamkan seni dan kraftangan, keindahan alam semulajadi, flora dan fauna, ekonomi dan tradisi.

Ia menggabungkan ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan selaras dengan kemajuan terkini dalam teknologi percetakan wang kertas dan mengekalkan beberapa ciri-ciri keselamatan yang sedia ada untuk menghalang pemalsuan.

Potret Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman ibni Tuanku Muhammad, dan bunga kebangsaan dikekalkan pada bahagian hadapan semua denominasi wang kertas.

Bahagian belakang setiap denominasi wang kertas pula memaparkan ciri-ciri alam semula jadi, tradisi, budaya, flora, fauna dan ekonomi. Wau dipaparkan pada wang polimer RM1 baharu.

Denominasi RM5 memaparkan burung enggang badak yang memainkan peranan penting dalam budaya dan upacara tradisional negeri Sarawak manakala wang RM10 menonjolkan bunga yang terbesar di dunia iaitu Rafflesia.

Wang kertas RM20 dengan warna jingga pula memaparkan dua spesies penyu terkenal iaitu penyu karah dan penyu belimbing yang merupakan lambang hidupan laut di perairan Malaysia.

Gambaran pada denominasi RM50 tidak ada perubahan ketara yang menonjolkan kelapa sawit sebagai ikon ekonomi negara dan bioteknologi dalam menyokong transformasi ekonomi.

Kekaguman Gunung Kinabalu dan pembentukan batu mercu batu kapur di lembah Gunung Api di Taman Negara Mulu, Sarawak dipaparkan pada wang RM100 yang menjadi kebanggaan negara. 

-Bernama-





Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List