KUALA LUMPUR - Dua ahli Umno dari kawasan Semporna Sabah dipecat manakala seorang digantung tiga tahun atau satu penggal pemilihan kerana didapati bersalah terbabit dalam kes sabotaj parti.
Tindakan ini susulan penubuhan satu jawatankuasa khas baru-baru ini bahawa sesiapa yang didapati mensabotaj parti akan dikenakan tindakan tegas oleh parti terbabit.
Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail menegaskan, bahawa tiada sebarang kompromi kepada sebarang anasir yang cuba merosakkan perjuangan parti termasuk pelanggaran disiplin yang telah, sedang dan akan diambil.
“Ini adalah selari dengan transformasi politik oleh kepimpinan parti,” katanya dalam satu kenyataan media yang turut memaklumkan berkaitan anggota parti yang telah diambil tindakan.
Kes-kes yang telah diputuskan oleh jawatankuasa itu membabitkan kesalahan-kesalahan seperti sabotaj parti iaitu melanggar peruntukan Fasal 20.8 Perlembagaan Umno dibaca dengan Perkara 3 Tataetika Ahli Umno.
“Tidak mengikut perintah-perintah parti dan juga tidak menjalankan dasar-dasar parti iaitu melanggar peruntukan Fasal 20.8 Perlembagaan Umno dibaca dengan Perkara 3 Tataetika Ahli Umno yang melibatkan Bahagian Arau, Padang Besar dan Kangar, Perlis iaitu empat orang didapati bersalah dan diberi amaran dan seorang didapati tidak bersalah," katanya lagi.
Menurut Ahmad Rithauddeen, keputusan itu hasil daripada persidangan anggota Lembaga Disiplin pada 6 September dan 8 Oktober lalu.
Nama-nama individu yang terbabit ialah Ab. Habi Mustapha (Semporna), yang melakukan kesalahan di bawah Fasal 20.8 (b) dan (c) Perlembagaan Umno Dibaca Bersama Perkara 3.1.2 dan 3.1.4 Tataetika Ahli Umno, didapati bersalah dan dipecat.
Rakannya dari bahagian sama, Abdul Majid Palah yang melakukan kesalahan fasal sama turut dikenakan hukuman pecat dari parti.
Seorang lagi dari bahagian Semporna, Nisfu Palah, terlibat dengan kesalahan fasal 20.8 (b) dan (c) Perlembagaan Umno Dibaca Bersama Perkara 3.1.2 dan 3.1.4 Tataetika Ahli Umno, yang digantung tiga (3) tahun daripada 6 September 2012 atau satu (1) Penggal Pemilihan.
Empat yang lain, Syed Atif Syed Abu Bakar dan Abdul Halim Abdullah Sunny dari Arau, Yaacob Man (Padang Besar) dan Biswardi Mohamad Hasbi (Kangar), masing-masing diberikan amaran.
Sementara Datuk Zahidi Zainul Abidin dari Padang Besar setelah dilakukan siasatan didapati tidak bersalah.
Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas yang akan bertanggungjawab memantau dan mengambil tindakan ke atas mana-mana ahli parti yang mengkhianati atau mensabotaj parti tersebut pada 19 Oktober lalu.
sinarharian
0 comments:
Post a Comment