Pemimpin Umno mula takut hilang kuasa

on Dec 4, 2012


Anwar: Pemimpin Umno mula takut hilang kuasa


Pakatan Rakyat (PR) membidas Perhimpunan Agung Umno 2012 digunakan oleh pemimpin parti teras Barisan Nasional (BN) itu sebagai platform mempertahankan kuasa pada Pilihan Raya Umum (PRU13), bukannya membincangkan soal kebajikan rakyat.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemimpin Umno yang takut kehilangan kuasa juga telah menggunakan peristiwa 13 Mei 1969 sebagai isu untuk menjejaskan peluang PR.
Selain itu kata beliau, Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil membangkitkan isu 13 Mei jika PR menang sebagai usaha untuk menghidupkan kembali karier politiknya yang semakin malap ekoran skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC).
Menurutnya, Shahrizat sengaja menimbulkan isu peristiwa hitam itu untuk memulihkan kembali pengaruh politiknya sekali gus menyemai perasan takut di kalangan rakyat.
Beliau berkata, hujah yang dikeluarkan Shahrizat bukan sahaja biadap tetapi boleh dikategorikan sebagai hasutan.
"Shahrizat sengaja menyeru kembali 'hantu' 13 Mei untuk menakutkan rakyat.
"Beliau gunakan isu itu untuk menghidupkan kembali karier politiknya yang telah pupus akibat didesak untuk meletakkan jawatan dalam skandal NFC.
"... hujah itu bukan sahaja biadap, malah dianggap sebagai hasutan dan dikategorikan sebagai satu jenayah," katanya kepada sidang media di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.
Dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Wanita Umno Rabu lalu, Shahrizat menyatakan beliau bimbang kejadian 13 Mei akan berlaku lagi sekiranya Umno kalah dalam PRU13 dan negara diperintah oleh kerajaan pembangkang.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, tuduhan liar seumpama itu dibuat Umno-Barisan Nasional (BN) kerana sudah rasa terancam.
Mengulas lanjut, Anwar, bekas ahli Umno menambah, apa yang dibincangkan dalam Perhimpunan Agung Umno minggu lalu hanya berkisar tentang usaha mempertahan kuasa dan merancang strategi untuk memfitnah pembangkang.
Menurutnya, isu-isu kebajikan rakyat yang melibatkan pengangguran dan harga barang tidak dibangkitkan.
"Dalam perhimpunan itu bukan soal rakyat yang dibincangkan tetapi hanya menggunakannya sebagai pelantar untuk memperkatakan soal kuasa dan bagaimana cara memfitnah kita.
"Apa yang mereka nak pertahan... syarikat-syarikat besar seperti syarikat petroleum dan kekayaan mereka.
"Rakyat tidak akan hilang kuasa, tetapi kuasa monopoli kekayaan mereka," katanya.
Perhimpunan Agung Umno yang bermula dengan persidangan ketiga-tiga sayapnya Selasa lalu, berakhir kelmarin.
Seperti yang dijangkakan perhimpunan agung kali ini menjadikan PR sasaran dengan mengetengahkan kelemahan dan kepincangan dilalui perikatan tersebut.
Minggu lalu, Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin memberitahu Sinar Harian Online bahawa Najib kan menggunakan Perhimpunan Agung Umno 2012 "sebagai pentas" untuk mengetengahkan apa yang beliau telah lakukan dan akan lakukan bagi menghadapi PRU13.
"Ini pentas Datuk Seri Najib, bukan Umno, tetapi untuk Najib (untuk menghadapi PRU13)," kata beliau.
Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata selepas Perhimpunan Agung itu, keyakinan pemimpin Umno akan meningkat disebabkan kelengkapan yang mewah diberikan semasa sesi itu.
"Tidak mustahil ahli Umno akan pulang dengan keyakinan selepas Perhimpunan Agung Umno disebabkan persekitaran yang mewah diberikan kepada mereka," katanya.
-sinarharian.com




Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List