SHAH ALAM - Polis mempunyai asas kukuh untuk menahan beberapa pemimpin pembangkang dan aktivis bagi membantu siasatan berhubung cubaan menggulingkan kerajaan, kata menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Tegas Ahmad Zahid, penahanan tiga lagi individu hari ini di bawah Akta Hasutan bebas daripada sebarang campur tangan politik dan di bawah tanggungjawab polis sepenuhnya.
"... segala urusan operasi saya serahkan kepada pihak PDRM dan saya berkeyakinan tentu polis mempunyai bukti dan asas-asas yang kukuh melakukan penahanan itu.
"Dan saya tidak langsung campur tangan di dalam penahanan itu dan saya harap pihak rakan-rakan wartawan dapat bertanya dengan pihak polis sendiri," katanya ketika ditemui wartawan, di Putrajaya, hari ini.
Tengahari tadi kecoh apabila Naib Presiden PKR, Tian Chua, aktivis 'Asalkan Bukan Umno' (ABU), Haris Ibrahim dan Tamrin Ghafar ditahan polis dalam tiga operasi berasingan.
Penahanan mereka dipercayai mempunyai hubung kait dengan perhimpunan untuk membantah dakwaan penipuan pilihan raya pada Sabtu ini di padang Amcorp Mall.
Ia turut dikaitkan dengan ucapan dalam perhimpunan 13 Mei lalu, di mana aktivis mahasiswa Adam Adli Abd Halim turut ditahan kerana didakwa menyampaikan ucapan berbaur hasutan dalam program itu.
Adam Adli ditahan reman selama lima hari dan dibebaskan hari ini dengan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
0 comments:
Post a Comment