UMNO sendiri yang terminta-minta untuk ditumbangkan

on May 24, 2013





Saya yang tidak berapa pandai ini pun merasakan yang UMNO sudah sampai kepenghujung usianya. Saya bukan menentang tindakan menahan rakan-rakan perjuangan saya oleh pihak Polis, kerana itulah makanan orang-orang perjuang sejati. Bagi pihak yang berjuang mereka merasakan mereka bertindak dengan kebenaran dan bukan sedikit manusia yang menyokong mereka. 

Tetapi seperkara yang tidak dapat dinafikan, pihak berkuasa tidak mencari jawapan kenapa keadaan sebegini berlaku. Pihak parti pemerintah tidak pula berusaha dan mendengar keresahan rakyat selama ini. Apabila terdesak maka ditahan orang itu dan orang ini sewenang-wenangnya.Saya tidak dapat menerima tindakan kerajaan menahan mereka semalam.

Ruang untuk pemerintah membetulkan keadaan semakin hari semakin sempit. Bukan sedikit teguran di buat terhadap parti pemerintah sejak banyak tahun dahulu, tetapi UMNO tidak mahu berubah dan terlalu leka dengan kuasa. Rakyat sudah berani keluar untuk menentang secara terbuka dan ia hanya memberikan keyakinan ramai yang UMNO tidak dapat dipulihkan lagi. Yang jelas sekarang rakyat pula yang mengambil tindakan untuk berubah.

Saya merasakan yang keadaan begini akan terus menerus berlaku dan tidak ada pihak yang mampu untuk meredakan perasaan mereka yang hilang keyakinan terhadap UMNO itu. Tidak adil jika kesalahan itu hanya diletakkan kepada rakyat. UMNO sepatutnya menerima dan mengakui seratus peratus kesalahan itu. Selalu saya berkata UMNO sudah hilang punca seolah-olah sudah hilang hidayah kerana masih melakukan kesilapan walaupun usia UMNO itu semakin luput. Hendak berbuat baik tetapi mereka sudah tidak lagi tahu apa dia yang baik untuk mereka lakukan.

Penahanan tiga aktivis semalam tidak melunturkan perasaan marah rakyat. Pihak pemerintah mesti mengakui yang rakyat marah itu bukan tidak bersebab. Tidak mungkin mereka marah semata-mata untuk marah. Bukannya usaha yang kecil untuk keluar malam dan berjuang dengan tidak ada hentinya.

Malam tadi ribuan rakyat berada di sekitar Balai Polis Jinjang untuk memberikan simpati kepada Tian Chua, Tamrin Ghaffar dan Harris Ibrahim yang ditahan Polis semalam. Ini bukannya perkara kecil. Jika tekanan kuat di lakukan oleh pihak berkuasa pun ia tidak melunturkan perasaan marah rakyat itu.

Pihak kerajaan mesti faham, yang mereka kendalikan sekarang ini bukannya haiwan. Mereka adalah manusia yang kebanyakkan mereka adalah kumpulan muda yang terpelajar. Mereka tidak mahukan kerajaan melakukan tekanan. Jika kerajaan sentiasa memberikan tekanan sebegini, pihak pemerintah akan pasti kehilangan sokongan lebih buruk lagi dari semasa pilihanraya yang lalu.

Tidak akan ada kesudahannya dan tidak mungkin UMNO mampu memperbetulkannya lagi. Oleh yang demikian apa yang sepatut dilakukan oleh siapa bagi membetulkan yang salah dan menampal yang koyak tadi?

Jika benar terdapat penipuan dalam pilihanraya yang lalu setelah mahkamah membuat keputusan, maka tidak ada jalan lain selain dari kerajaan sekarang berundur. Kerajaan sekarang tidak boleh lagi mengaku mereka berkuasa melalui proses demokrasi kerana telah terdapat penipuan itu. UMNO akan hanya mampu bertahan seketika jika mahkamah memutuskan tiada penipuan dan mengakui yang pilihanraya telah berjalan dengan betul mengikut cara yang betul.

Tetapi boleh kah mahkamah memutuskan PRU 13 yang baru selesai ini tidak ada penipuan? Jika ada penipuan maka tidak syak lagi UMNO terpaksa berundur dengan cara terhormat walaupun pilihanraya di kawasan-kawasan yang didapati ada penipuan diadakan semula.

Penahanan terhadap Tamrin, Tian Chua dan Harris itu amat memberi kesan kepada kredibiliti kerajaan. Saya berharap ketiga-tiga mereka akan dibebaskan tanpa apa-apa tindakan susulan yang diambil terhadap mereka.

Saya memohon agar kerajaan cukup-cukuplah melakukan penahanan sesiapa kerana rakyat sedang memerhatikan keadaan dengan rapi. Sekarang bukan zaman UMNO yang mengaku boleh menghantar songkok untuk mewakili calon dan terus menang dalam pilihanraya.

UMNO dan BN akan hanya mempunyai sedikit peluang jika UMNO tunjukkan yang parti itu benar-benar melakukan transformasi habis-habisan dengan melakukannya sekarang juga. Lewat dari sekarang kita boleh kira UMNO sudah tamat riwayatnya.

Jika UMNO tidak memperbaiki diri sekarang juga ia bermakna UMNO sendiri yang mahu mereka di tumbangkan bukannya rakyat yang saja-saja mahu menumbangkan mereka.




Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List