KUCHING - Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini mengulangi pendirian untuk tidak campur tangan dalam pelantikan menteri persekutuan yang menimbulkan rasa tidak puas hati anggota Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), dua parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri.
Katanya beliau menyerahkan perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diputuskan.
"Tidak, ini bukan cara saya. Saya tidak campur tangan dengan apa yang berlaku dalam Kabinet (Persekutuan)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-17, di sini.
Jumaat lepas, Presiden PRS Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata anggota parlimen daripada PRS patut diberi jawatan Kabinet yang relevan dengan rakyat yang diwakili mereka.
Sebagai parti berpangkalan di luar bandar, beliau berkata mereka tidak akan menerima portfolio yang tidak berkaitan dengan dasar parti.
PRS menang semua enam kerusi parlimen yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-13 baru-baru ini. Dua daripada mereka iaitu Datuk Joseph Entulu Belaun (Selangau) dan Datuk Joseph Salang (Julau), masing-masing dilantik menteri dan timbalan menteri.
Salang bagaimanapun enggan menerima pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, manakala Entulu yang keberatan pada peringkat awal, menerima pelantikan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Masing ketika ditemui hari ini, berkata Entulu keberatan menerima pelantikan itu pada peringkat awal kerana tidak disertakan dengan portfolio khusus.
Sementara itu, anggota akar umbi SPDP meluahkan rasa kecewa kerana tiada anggota parlimen mereka dilantik ke Kabinet sekalipun menang di semua empat kerusi yang ditandingi menerusi Presiden parti Tan Sri William Mawan Ikom (Saratok), Anthony Nogeh Gumbek (Mas Gading), Datuk Seri Tiong King Sing (Bintulu) dan Anyi Ngau (Baram).
Mawan hari ini menegaskan anggota SPDP tidak harus melihat ketiadaan wakil mereka dalam Kabinet sebagai satu tindakan yang disengajakan.
Anggota parti harus tahu Perdana Menteri faham perasaan mereka, katanya dan menggesa anggota SPDP supaya memberi kepercayaan kepada pucuk pimpinan BN untuk menyelesaikan isu itu.
"Biar beliau (Najib) putuskan di mana tempat kita. Kita tidak mahu menimbulkan masalah. Saya tidak fikir PM (Perdana Menteri) mahu meminggirkan kita...beliau seorang yang bertimbang rasa dan mungkin akan memberi sesuatu yang lebih baik kepada kita," katanya. - Bernama
0 comments:
Post a Comment