BUKAN SAHAJA SPR DIBAWAH PSC, PENGERUSI & TIMBALANNYA PERLU DITUKAR...!

on Jun 1, 2013




Najib diberitahu SPR perlu diterajui muka baru, bukan sekadar letak bawah PSC


Datuk Ambiga berkata bahawa SPR perlu diterajui muka baru untuk meningkatkan kredibiliti badan pengawas pilihanraya tersebut.  

Usaha meningkatkan kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan meletakkan badan pengendali pilihan raya negara ini di bawah Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC) tidak bermakna tanpa menggantikan teraju utama badan berkenaan, kata pemimpin pembangkang dan aktivis pilihan raya.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar perlu diganti dengan individu lain supaya pembaharuan meningkatkan kredibiliti badan berkenaan.

“Tidak bermakna letakkan SPR di bawah PSC sekalipun, anggota mereka perlu letak jawatan,” kata Pengerusi Bersama Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan ketika dihubungi The Malaysian Insider.


“Mereka perlu letak jawatan, itu lebih mustahak supaya mereka mempunyai lebih kredibiliti,” katanya lagi, dan menambah SPR adalah badan bebas yang dilantik di bawah Perlembagaan dan tidak boleh ditolak ke sana-sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak awal hari ini berkata bagi memperkukuhkan lagi kewibawaan dan kredibiliti SPR, kerajaan memutuskan untuk memindahkan kawal selia dan fungsi SPR kepada satu jawatankuasa khas yang diwakili anggota Parlimen daripada semua parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang.

Najib berkata demikian dalam ucapan sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sempena hari keputeraan Seri Paduka dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan di Istana Negara.

Kit Siang pula dalam respon mengenai perkara itu berkata SPR seharusnya bermula dengan muka baru bagi jawatan pengerusi dan timbalannya bagi meningkatkan keyakinan rakyat.

“Pengerusi dan timbalan sekarang beroperasi seolah-olah mereka menjadi protagonis kepada ahli politik dan Barisan Nasional (BN) terhadap pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

“Lebih elok sekiranya Najib mengadakan perbincangan dengan ahli Parlimen PR berhubung cadangan berkenaan sebelum pengumuman dibuat,” kata Kit Siang, yang merupakan ahli Parlimen Gelang Patah.

“Jadi ia akan dilihat sebagai inovasi bipartisan,” tambahnya.


SPR menjadi sasaran dalam mengendalikan Pilihan Raya Umum 2013 apabila didakwa bersekongkol dengan BN bagi membolehkan parti kerajaan itu memenangi pilihan raya walaupun tewas undi majoriti kepada PR sebanyak 49 peratus.

BN memperolehi 133 kerusi, manakala PR memperolehi 89 kerusi Parlimen dengan 51 peratus undi popular.

Pembangkang yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengadakan Himpunan Black 505 di seluruh negara bagi menolak keputusan PRU13.


Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List