Aku semacam tidak percaya kenyataan TS Muhyiddin Yasin mengenai kemungkinan Peristiwa13 Mei akan tercetus lagi. Aku terfikir takkanlah kenyataan sedemikian boleh terkeluar dari mulut seorang Timbalan Perdana Menteri. Ataupun berkemungkinan kenyataan beliau itu adalah ‘misquoted’ atau disalah tafsir oleh piha media tentang kenyataan beliau itu. Walaubagaimana pun apa salahnya bagi seseorang Timbalan Perdana Menteri memberikan peringatan kepada rakyat tentang bahaya sedemikian.
Tetapi persoalan yang agak memeningkan kepala aku (mungkin kepala aku seorang agaknya) ialah apakah mudah benar bagi masyarakat Malaysia yang kononnya telah mencapai suatu peradaban yang tinggi, boleh mencetuskan perbalahan kaum. Sejarah telah menunjukkan bahawa selepas peristiwa tahun 1969 itu tidak pernah wujud lagi perbalahan kaum yang sedemikian rupa. Maknanya sudah 45 tahun kita rakyat Malaysia sudah boleh hidup dalam keadaan aman dan damai, walaupun terdapat perbalahan-perbalahan kecil di sana sini. Itu biasalah….
TS Muhyiddin menggunakan rasional dan memberi amaran tentang keumngkinan berlakunya peristiwa pahit itu memandangkan “perbalahan kaum ketika ini sudah menjadi kebiasaan apabila satu kaum mengkritik kaum lain……..Sebab itu timbul pelbagai andaian apabila hubungan kaum sudah sampai ke tahap cetus ketegangan dan hubungan tidak baik. Ini boleh menyebabkan peristiwa tersebut dan saya tidak mahu sebut tarikh itu (13 Mei 1969).
Dalam sesebuah negara demokrasi seperti Malaysia ini kritik mengkeritik antara satu sama lain (ataupun antara satu kaum dengan kaum lain) adalah merupakan perkara biasa, apatah lagi dengan kemunculan media baru yang sudah tidak dapat dikawal dan dibendung ini. Aku tidak mempunyai statistik tertentu tetapi apa yang aku perhatikan yang menjadi bahan keritik media baru ialah mengenai rasuah dan penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO (BN) dan para pegawai kerajaan.
Walaupun seribu alasan diberikan oleh pihak kepimpinan negara mengenai sesuatu ‘penipuan’ yang dijalankan, namun pihak yang terlibat tidak boleh ‘melangsaikan’ persepsi rakyat tentang sesuatu isu itu. Misalnya walaupun diberikan berbagai hujah untuk ‘menghalalkan’ pemberian kontrek untuk membangunkan beberapa UITM baru-baru ini, rakyat tetap mempersoalakan kewajarannya.
Sebenarnya perpaduan kaum semakin kukuh kini berbanding dengan zaman sebelumnya. Yang melakukan kritikan yang berbagai-bagai melalui media sosial bukannya kaum bukan Melayu semata-mata tetapi kebanyakannya adalah terdiri dari cerdik pandai Melayu yang sudah tidak boleh ditipu dan dikelentong. Adalah salah sekiranya diandaikan bahawa yang menentang kepimpinan Melayu dalam UMNO itu hanya terdiri dari kaum bukan Melayu sahaja. Ramai juga orang Melayu yang menentang UMNO selagi UMNO tidak diperbetulkan.
Telah berlaku beberapa perhimpunan yang dianjurkan oleh Bersih. Dengan jelas telah memperlihatkan kepada kita bahawa perpaduan di Malaysia sudah semakin mantap. Kerjasama yang ditunjukkan oleh berbagai-bagai kaum di Malaysia patut dipuji. Dan di peringkat bawahan kerjasama ini amat erat dan tidak menampakkan langsung kemungkinan seperti yang disuarakan oleh TS Muhyiddin Yassin itu.
Aku berani mengatakan bahawa peristiwa seperti mana yang tedapat pada 13 Mei 1969 itu tidak berlaku dan tidak akan berlaku.Sudah begitu banyak provokasi yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk menaikkan kemarahan kaum lain, namun ‘jawapan’ yang diberikan oleh kaum lain adalah jawapan beradab sesuai dengan masyarakat yang hidup dalam Kurun ke21.
Mengapa tidak berlaku keadaan yang tidak dingini apabila dilakukan provokasi sedemikian? Sebab kaum bukan Melayu merasakan bahawa yang melakukan perbuatan biadap yang sedemikian bukan dilakukan oleh majority orang Melayu. Orang bukan Melayu tahu dan sedar bahawa majority Melayu yang ada di Malaysia adalah terdiri golongan yang mahukan kedamaian. Dan hanya segelintir Melayu yang menjadi ‘tentera upahan’ sahaja yang berperangai sedemikian. Lantas tidak berlaku perkara-perkara yang tidak dingini.
Oleh itu apa yang dirisau dan dibimbangi oleh TS Muhyiddin itu tidak akan berlaku. Yang pasti pihak kerajaan seharusnya melaksanakan undang-undang dengan seikhlas-ikhlasnya supaya jangan ternampak langsung unsur pilih kasih dari pihak kerajaan. Kegiatan biadap yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu sepatutnya ditangani dengan tegas oleh pihak polis supaya jangan timbul perasangka yang bukan-bukan dari rakyat. Berindak dengan adil kepada semua kaum. Tak kiralah kaum Melayu, Cina, India, Kadazan dll seharusnya diberikan layanan yang sama. Pasti tidak akan timbul keraguan terhadap kerajaan yang memerintah.
Kini timbul kisah seorang diplomat yang bertugas di New Zealand melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang yang bergelar diplomat yang pastinya mencemarkan namanya dan nama Malaysia ( sekiranya betul pertuduhan terhadap diplomat berkenaan). Jikalau diperhatikan melalui facebook dan tweeter majoriti yang memberikan pandangan merasakan Diplomat ini mesti di hadapkan di mahkamah di New Zealand. Dan kebanyakan yang memberikan komen sedemikian adalah terdiri dari golongan bukan Melayu. Seolah-olah ‘bergembira’ melihat kesusahan yang dialami oleh orang Melayu.
Bukan begitu. Orang Melayu yang rasional cara berfikirnya juga pasti merasakan bahawa Diplomat berkenaan harus diadili dengan seadil-adilnya. Bukan cuba ‘menutup bangkai gajah dengan nyiru’
Peribahasa Melayu ada mengatakan, ‘harapkan pagar, pagar makan padi’. Dikatakan sedemikian kerana peranan Diplomat adalah membawa ‘bendera’ negara. Tercalarnya Diplomat itu bererti ‘terkoyak’lah bendera Malaysia.
13 Mei pastinya tidak akan berlaku, Insyallah. Yang pentingnya pihak kepimpinan negara harus menyelami hati budi rakyat terbanyak dan jangan ‘take for granted’ budi baik rakyat Malaysia ini samada dari keturunan Melayu, Cina, India, Iban dll. Sebenarnya rakyat Malaysia sudah bersatu. Cuma ada anasir-anasir yang cuba memecah-belahkan rakyat Malaysia.
abuhassanadam
0 comments:
Post a Comment