Terbelit Dan Membelit .... Masalah Deepak Terkait Kepada Zahid Hamidi...?

on Jan 1, 2013





Baru sekejap saya menerima kenyataan akhbar Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli berhubung dengan penjual saham milik Deepak atas arahan Kementerian Pertahanan.Melalui kenyataan ini Rafizi semacam ada membayangkan Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi terlibat dalam isu Deepak. Berikut disiarkan sepenuhnya kenyataan berkenaan:

DAKWAAN DEEPAK ADA ASAS, WANG RAKYAT DISALAHGUNA UNTUK MENUTUP MULUT DEEPAK

Pada 30 November 2012, Dato’ Seri Zahid Hamidi mengumumkan kepada wartawan dan Perhimpunan Agong Umno bahawa beliau akan menjawab dan mematahkan tuduhan Deepak yang mengaitkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak dengan pelbagai salahlaku.

Malangnya, keesokan harinya, pada 1 Disember 2012 beliau tidak mengotakan janjinya itu. Tuduhan-tuduhan Deepak kekal tidak dijawab oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak.
Saya beranggapan itu strategi Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Dato’ Seri Zahid Hamidi – iaitu untuk tidak mengendahkan tuduhan-tuduhan tersebut atas alasan ia tuduhan liar tanpa bukti. Sehingga saat itu pun, rakyat masih samar-samar mengenai bukti yang dikemukakan oleh Deepak, apatah lagi keterlibatan Deepak dengan keluarga Dato’ Seri Najib Tun Razak menimbulkan tanda tanya mengenai motif dan kredibiliti beliau.

Oleh sebab itu, KEADILAN tidak memberi sebarang reaksi mengenai tuduhan-tuduhan tersebut, kecualilah menuntut agar ia disiasat segera.

Ternyata anggapan saya itu tidak tepat. Tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh Deepak dipandang serius dan dibuktikan benar-benar mencemaskan Dato’ Seri Najib Tun Razak, sehingga tugas untuk menyelesaikan kemelut ini diserahkan kepada Dato’ Seri Zahid Hamidi.

Walaupun awalnya Dato’ Seri Zahid Hamidi mengelak dari memberi jawapan, jalan penyelesaian yang beliau laksanakan mengikut perintah Dato’ Seri Najib Tun Razak akhirnya terbongkar kepada umum pada 27 Disember 2012.

Urusniaga mengejut melibatkan pembayaran RM30 juta untuk membeli 80% saham terbitan Astacanggih dan RM130 juta untuk membeli 200 ekar tanah dari Awan Megah Sdn Bhd adalah satu salahguna kuasa oleh Dato’ Seri Zahid Hamidi dan Dato’ Seri Najib Tun Razak bertujuan untuk menutup mulut Deepak dan menyelesaikan skandal ini yang kian merebak.

Urusniaga ini akan dibiayai sepenuhnya oleh Bakti Wira Development Sdn Bhd, sebuah syarikat pelaburan hartanah yang dimiliki sepenuhnya oleh Boustead Holdings Berhad, milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Modal dan aktiviti Boustead Holdings Berhad banyak bergantung kepada caruman dari potongan gaji anggota tentera yang disalurkan melalui LTAT. Sebagai menteri yang bertanggungjawab memikul amanah ini, Dato’ Seri Zahid Hamidi haruslah berhati-hati dalam memastikan pelaburan yang dibuat oleh Bakti Wira Development Sdn Bhd adalah pelaburan yang terbaik untuk kepentingan anggota tentera.

Sebab itu, sekiranya urusniaga ini diteliti, ia sudah tentu tidak menepati apa-apa garis panduan pelaburan baik berdasarkan perkara-perkara berikut:
1.      Astacanggih adalah sebuah syarikat yang tidak mempunyai aset mahupun rekod perniagaan yang baik. Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan ia tidak pernah pun memfailkan penyata kewangannya. Selain modal berbayar sebanyak RM20 juta, syarikat ini dibebankan dengan hutang sebanyak RM98 juta dari Kuwait Finance House (mengikut rekod SSM);

2.      Nilaian RM30 juta bagi 80% saham terbitan Astacanggih itu tidak ada asas. Kenyataan Boustead Holdings Berhad bahawa nilaian RM30 juta itu dicapai atas persetujuan bersama pembeli dan penjual membuktikan bahawa urusniaga ini dibuat berdasarkan pertimbangan politik, bukan pertimbangan pelaburan komersil;

3.      Pembayaran RM130 juta terhadap 200 ekar tanah yang statusnya masih belum dipindahmilik kepada Awan Megah Sdn Bhd bermakna Dato’ Seri Zahid Hamidi mengambil wang sebanyak RM130 juta dari caruman anggota tentera untuk membayar syarikat milik seorang pimpinan Umno tanpa ada sebarang pertukaran aset, kerana tanah 200 ekar itu masih belum dipindahmilik kepada Awan Megah Sdn Bhd;

4.      Nilaian RM130 juta bagi 200 ekar tanah tersebut juga dibuat tanpa menggunakan penilaian bebas, semata-mata atas dasar persetujuan yang dicapai di antara penjual dan pembeli;

5.      Pengumuman rasmi Boustead Holdings Berhad kepada Bursa Malaysia memberi alasan bahawa pembelian tanah itu bertepatan dengan bank tanah sedia ada milik anak syarikat Boustead (iaitu Jendela Hikmat Sdn Bhd) di kawasan berhampiran (rujuk perenggan 4 pengumuman). Walau bagaimana pun, semakan rekod menunjukkan tanah seluas 236 hektar yang dipindahmilikkan kepada Jendela Hikmat Sdn Bhd dinilai pada RM230 juta pada akhir tahun 2005 (rujuk laporan akhbar Utusan Malaysia yang disertakan bersama);

6.       Ini bermakna tanah sekitar kawasan yang sudah dimiliki oleh Boustead Holdings Berhad dinilai sekitar RM390,000 seekar, berbanding urusniaga terkini melibatkan Awan Megah yang membayar RM650,000 seekar ke atas tanah yang statusnya belum dipindahmilik.

Jelas bahawa urusniaga ini bukanlah urusniaga yang lulus pertimbangan komersial dan panduan pelaburan LTAT. 

Saya hanya boleh simpulkan bahawa urusniaga ini dibuat semata-mata untuk menutup mulut Deepak dan memadamkan skandal ini. Makanya, tindakan tidak berwaspada Dato’ Seri Zahid Hamidi yang menyalahgunakan kuasanya dengan mengarahkan LTAT membayar RM160 juta mengesahkan bahawa dakwaan Deepak itu benar, sehingga mencemaskan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Oleh itu, saya akan mula meneliti dan mendedahkan pembayaran yang dibuat oleh Deepak terhadap pihak tertentu yang dikaitkan dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak, memandangkan sudah jelas bahawa dakwaan Deepak itu ada kredibiliti dan kebenarannya. 

KEADILAN akan mengadakan sidang media pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat minggu depan jam 11 pagi mengenai pendedahan ini.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN




Photobucket

Perdana Menteri Malaysia... 'Sempatkah' Mahyuddin Yassin....?

on





Hari ini Isnin 31hb. Disembar hari terakhir tahun 2012. Esok hari selasa 1hb. Januari 2013 merupakan tahun tahun  terakhir pemerintahan kerajaan BN kerana pada bulan April 2013 adalah genap 5 tahun edah parlimen Malaysia sejak Pulihanraya umum ke 12 iaitu tahun 2008.

Masuk tahun 2013 mana-mana parti politik dan orang perseorangan yang mahu melibatkan diri dalam pilihanraya umum akan mula membilang detik perdetik hari akan berlakunya pilihanraya umum ke 13. Yang pasti hebat apabila bertembung diantara BN dengan PR.

BN akan mempertahankan PUTRAJAYA sehingga ketitisan darah yang terakhir, begitu perlu bagi pihak BN untuk mempertahankan kuasa kerana kuasa akan boleh membuat segala-galanya bagi mana-mana pihak yang meletakkan kepentingan diri melebihi dari kepentingan Ugama, Bangsa dan Negara.

PR pula akan terus mendampingi rakyat untuk mendapat mandat dan sokongan bagi menruntuhkan BN dan dapat menawan PUTRAJAYA bagi membaiki kerosakan dan memberi berkhidmat untuk kepentingan kebajikan rakyat dan berjuang untuk Ugama dan Negara.

Yang pasti berbagai-bagai keadah telah dilakukan oleh BN untuk mempastikan kuasa tidak terhakis tapi malangnya lepas satu-satu isu membayangi BN apabila ramai dikalangan bekas2 pegawai Kerajaan, bekas-bekas pemimpin UMNO menyertai PR tapi tidak berlaku kepada BN atau UMNO.

Rakyat sedang menanti tarikh pembubaran Parlimen, sudah letih menunggu untuk membuang undi, yang tua lepas seorang-seorang meninggal dunia tidak sempat melihat siapakah yang akan menjadi Perdana Menteri Malaysia ke 7 manakala yang baru pertama kali dapat mengundi mereka itu tak sabar sabar untuk mengundi. Tentunya mereka semua mahu melihat sebuah kerajaan baru kerana dibawah kerajaan BN mereka telah merasai, suka duka, pahit maung kehidupan.

Ramalan demi ramalan telah dibuat, oleh kumpulan penganalisa politik, masing-masing nampaknya berpihak ada yang mengatakan BN akan terus menang tapi tak dapat mejoriti 2/3 dan berkuasa dan ada pula berkata PR akan dapat menawan PUTRAJAYA tapi dengan kemenangan yang tipis. Sebetulnya mood pilihanraya yang akan menentukan siapa yang berkuasa nanti.

Masa sudah hampir tiba, isu telah tumbuh berlambak-lambak, isu amanat Tok Guru Haji Hadi diputarkan semula oleh UMNO dan BN begitu juga dengan isu Tanah dan Air di Kelantan yang dicerca oleh kumpulan yang tidak gemar kepada ulama. Manakala isu pembunohan Altantuya hidup kembali, seram sejuk dibuat oleh Deepak Jaikishan.

Kita rakyat Malaysia menanggong malu apabila Perdana Menteri diaibkan oleh seorang peniaga permaidani keturunan india, Macam macam cerita ngeri dilemparkan, soal paksaan penjualan syarikat, soalan akuan bersumpah kes Altantuya dan soal nyawa dua orang bekas polis yang sedang menanti rayuan diman nyawa jadi pertaruhan. Ngeri.

PRU13 akan menentukan, dapat keadilankah rakyat, dapat pembelaan secukupkah atau masih menagih ditanah air sendiri. Itulah rakyat sedang nanti, begitu juga saya dan keluarga yang terus menanti KEADILAN sejak 20 tahun lalu.

Kes saya dimahkamah dah masuk ke tahun ke 20 tapi masih terus menanti, rakan-rakan yang terlibat dalam kes ini sudah lama meninggal dunia. Sedekah Al Fatihah untuk Allahyarham Dato' Omar Johar, Bekas Pengurus Besar MARA Holdings Sdn. Bhd dan Allahyarham Hanafi Majid bekas Pengurus Besar Dasar Profil Sdn. Bhd semuga rohnya aman sentiasa. Amin.





Photobucket

Shafie Afdal mangsa Pemuda UMNO...?

on






Semalam ditunjukkan oleh seorang kawan sebuah majallah keluaran unit media UMNO yang dipengerusikan oleh Tun Faisal yang dalam blognya ada cerita berkenaan Dato' Fauzi Saari bekas Pengarah CID Polis DiRaja Malaysia yang telah menjadi ahli Pas.

Begitu gairah dalam tulisan tersebut dengan menceritakan isu ba'aih talak 3 yang dikaitkan dengan Dato' Fauzi Shaari, nampak benar sudah hilang pedoman juak-juak UMNO dalam menaburkan isu-isu untuk mendapat perhatian walaupun isu tersebut adalah rekaan kerana tidak keluar dari kenyataan Dato' Fauzi Saari sendiri.



Sedangkan Tun Faisal sebagai pengerak media baru UMNO berdiam dan kelu terhadap isu yang dibangkitkan oleh seorang penjual karpet iaitu Deepak Jaikishan berhubung dengan aduan P. Balasurbaniam dalam proses akuan bersumpah kedua yang dilibatkan nama-nama keluarga Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak termasuk dalam isu kes pembunuhan kejam terhadap model. Mongolia iaitu Altantuya Saribunn.

Dalam majalah yang ditunjukkan itu terdapat muka-muka pemimpin UMNO yang memuji penerbitan majalah tersebut, muka Tun Faisal paling banyak dipaparkan dalam majallah tersebut. Tentulah kerana majalah tersebut dipengerusikan oleh Tun Faisal. Tapi yang paling jelas Gambar Naib Presiden UMNO dari Sabah iaitu Dato' Shafie Afdal tidak dimuatkan. Kenapa?

Sedangkan gambar Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden yang lain iaitu Dato' Hishamuddin dan Dato' Zahid Hamidi dimuatkan, nampak semacam ada permainan yang ketara dalam media baru pemuda UMNO. Apakah agenda disebalik pengeluran majalah media baru tersebut.

Selidik punya selidik ada hubung kait dengan percaturan politik Sabah dan UMNO. Di Sabah nama Dato' Shafie disebut-sebut akan bertanding di Dewan Undangan Negeri pada PRU13 nanti dan tentunya sekira Sabah masih dikuasai oleh UMNO nama Dato' Shafie Afdal akan diangkat sebagai Ketua Menteri, pertanyaan yang ada dikepala kita sekarang,apakah kecantikan majalah yang dipengerusikan oleh Tun Faisal itu dibaiyai oleh Ketua Menteri Sabah sekarang?.

Manakala dalam UMNO pula semua maklum selepas PRU13 nanti UMNO akan mengadakan pemilihan pucuk ;pimpinan, perlu diingat tentunya Khairy Jamaluddin akan menawarkan diri sebagai salah seorang Naib Presiden UMNO, tentulah salah seorang Naib Presiden UMNO Sekarang mesti dikalahkan untuk memberi peluang menang kepada Khairy Jamaluddin. Apakah Tun Faisal diberi mandat melalui media dan  penulisan untuk memadamkan Dato' Shafie Afdal dari terus menjadi Naib Presiden UMNO.


 Tinggi permainan Media Baru Pemuda UMNO Malaysia. Sambil menyelam sambil minum air, harap-harap perut tidak akan kembung.


 

Photobucket

Siapa Paksa Beli Syarikat Deepak - Najib Atau Zahid Hamidi?

on




Persoalan yang timbul disebalik tindakan anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera(LTAT) iaitu Boustead membeli syarikat milik Deepak Jaikishan, Astacanggih Sdn Bhd sebagai jalan penyelesaian untuk menghentikan kemelut antara Deepak-Najib-Rosmah-Raja Ropeah, kini menimbulkan persoalan baru iaitu siapakah yang memaksa urusniaga itu?

Semua orang tahu LTAT dan Boustead adalah dibawah Kementerian Pertahanan dan projek yang diberi kepada Raja Ropeah yang kemudiannya disertai oleh Deepak juga adalah dibawah Kementerian Pertahanan. Jadi adakah Zahid Hamidi yang memaksa pembelian tersebut?

Atau adakah ia diarahkan oleh "bos besar" iaitu Najib Razak sendiri? Najib sebelum ini pernah menjadi Menteri Pertahanan dan projek yang diberi Raja Ropeah itu juga diluluskan ketika Najib menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan. Adakah Najib memberi arahan secara langsung kepada LTAT dan Bousted atau arahan itu disampaikan melalui Zahid Hamidi?

Tetapi yang pastinya, tidak mungkin LTAT dan Boustead melakukan urusniaga itu tanpa arahan sesiapa dan semata-mata berdasarkan kepentingan komersial.

Inilah antara beberapa persoalan yang bermain di fikiran rakyat sekarang ini, di sebalik kemeriahan menyambut tahun 2013. Lebih dari itu, penting untuk diketahui ialah sama ada urusniaga itu membabitkan unsur salah guna kuasa atau tidak.

Dalam hal ini, Najib atau Zahid mesti bersuara dan memberitahu ketelusan urusniaga tersebut. Sebagai Perdana Menteri, Najib juga mesti meyakinkan rakyat tentang makna ketelusan yang sekalu disebutnya, era kerajaan betul segala-galanya sudah berakhir dan pelbagai slogan yang molek-molek yang selalu disebutnya untuk menarik perhatian rakyat sebelum ini.

Tiada guna sebenarnya Najib bercakap berbunga-bunga dan melontarkan slogan yang indah-indah setiap kali berucap di hadapan rakyat jika perbuatan beliau kerapkali bertentangan dengan apa yang diucapkannya.

Di sebalik pelbagai pendedahan Deepak mengenai Najib dan Rosmah mengenai urusniaga tanah yang melibatkan Ketua Wanita UMNO Selangor, Raja Ropeah Raja Abdullah sebelum ini, tiba-tiba diketahui umum bahawa Boustead telah membeli syarikat Deepak, Astacanggih Sdn Bhd dan membayar semula kos yang telah dikeluarkan oleh Deepak sebanyak RM30 juta iaitu RM13 juta untuk Raja Ropeah, RM8 juta untuk sumbangan politik, RM7 juta sebagai kos perniagaan dan RM2 juta untuk belanja guaman.

Deepak kemudiannya memberitahu beliau diberi kata dua dan dipaksa menjual syarikatnya itu.

Melalui pembelian secara paksa itu dan kemudian Deepak juga kemuungkinan dipaksa menggugurkan tindakan mahkamahnya, apa yang jelas ialah bahawa segala apa yang didedahkan oleh Deepak sebelum ini mempunyai asas kebenarannya. Walaupun Najib dan Rosmah yang dikaitkan dalam pelbagai pendedahan Deepak hanya berdiam diri, tetapi wujudnya usaha penyelesaian dengan menggunakan LTAT, sebuah tabung kewangan untuk askar pencen dan anak syarikatnya Boustead, untuk menutup segala tembelang yang didedahkan Deepak, turut memperlihatkan usaha terdesak Najib ke arah itu.

Dengan isu yang ditumbulkan Deepak ini terus hangat menjadi bualan dan LTAT serta Boustead turut diserang untuk mendedahkan butiran dokumen urusniaga tersebut, tidak dapat tidak, yang paling wajar bersuara merungkaikan persoalan ini ialah Zahid Hamidi dan Najib sendiri.

Jika Zahid sebagai Menteri Pertahanan dan pihak yang bertanggungjawab terhadap LTAT dan Boustead tidak berani bersuara dalam hal ini, ia menunjukkan ada yang tidak kena serta sesuatu cuba disembunyikan dalam urusniaga yang dilihat lebih untuk menyelamatkan masa depan politik Najib dalam pilihanraya umum akan datang.

Dan jika Najib selaku pihak yang dituduh secara langsung oleh Deepak dan sebagai Perdana Menteri yang boleh memberi arahan kepada Zahid atau kepada LTAT, juga berani bersuara, maka terbukti bahawa beliau yang merupakan "dalamg besar" di sebalik urusniaga yang mencurigakan itu.

Jika dalam ucapan tahun baru 2013 yang disiarkan secara meluas malam tadi, Najib sekali lagi menggunakan kesempatan itu itu untuk merayu rakyat supaya terus bersama-sama dengan kerajaan dan memberi sokongan kepadanya mengemudi negara, tetapi jika persoalan mengenai urusniaga meragukan yang melibatkan LTAT ini tidak dapat dijawab bermakna tahun 2013 ini akan terus disemarakkan dengan angin perubahan yang lebih kuat lagi.

Jika wang pencen askar pun sanggup dipergunakan untuk menyelamatkan diri, isteri dan kroni, terus memberi kuasa kepada Najib hanya memungkinkan lebih banyak skandal akan berlaku selepas ini. Inilah antara ketakutan rakyat.

Zahid Hamidi pula, jika terus membisu seribu bahawa, hanya mengesahkan cakap-cakap yang banyak kedengaran sebelum ini bahawa keputusan meletakkannya sebagai Menteri Pertahanan tidak lebih hanya untuk menutup "pekung-pekung" Najib yang mungkin terdedah sepanjang beliau mengemudi kementerian itu sebelum ini.

Untuk menafikan semua itu dan menjadikan permulaan tahun baru 2013 kelihatan manis, ceria dan penuh makna, Zahid Hamidi atau Najib dan lebih baik jika kedua-duanya sekali, dapat segera bersuara menjelaskan kepada rakyat mengenai urusniaga ini. 


 

Photobucket

DOA banyak yang di makbulkan, HAJAT belum kesampaian

on






Selamat Tahun Baru 2013 kepada semua dan kita menerima kedatangan tahun baru ini dengan bermacam ‘expectations’ dan semuanya untuk kebaikan mengikut kemahuan diri sendiri. Selebihnya kita mengharapkan kita hidup dalam negara yang bersih dan aman sentosa. Kita juga memohon dari yang Maha Pencipta agar kita di gerakkanNya untuk menjadi seorang yang sentiasa melaksanakan tuntutanNya sebagai insan yang secantik-cantik kejadianNya.

2012 merupakan tahun yang penuh dengan peristiwa dan kita ternampak dengan terang dan nyata yang rakyat negara kita semuanya sedang dalam pencarian. Dalam politik pula keadaan boleh lah dianggap sebagai keadaan yang sangat ‘menggila’ dan penuh dengan kekeliruan seolah-olah tiada lagi peluang untuk kita mencari jalan yang sebenarnya.

Rakyat seolah-olah sedang mencari jalan keluar untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik setelah terikat dan tertambat oleh sistem politik dan pentadbiran yang bercelaru yang tidak dapat di cari puncanya bagi melerai kekusutan politik itu sendiri. Tetapi sebagai seorang yang beragama dan mempunyai Tuhan kita mesti jangan lupa yang segala-gala kekusutan itu akan akhirnya terlerai dan ia bergantung kepada kehendak Tuhan jua akhirnya.

Perang mulut dalam politik sudah membawa kepada perang secara fisikal dan tidak kurang berlakunya kekecohan yang menyebabkan beberapa kecederaan penyokong parti politik. Keadaaan seolah-olah begitu gelap gelita untuk masa depan kita semua kerana semuanya sudah tidak menjadi tenang lagi seperti yang kita semua kehendaki. Tetapi kita juga mesti ingat apabila sudah sebegini kelam kabut keadaan siasah kita, mesti kita yakin yang pencarian selama ini akan mendapat kejayaannya.

Ada perbilangan berkata, ‘the darker the night, the nearer we are to the dawn’. Perbilangan ini memberikan kita keyakinan yang lagi gelap malam itu, ia bermakna ia sudah hampir kepada fajar yang akan menerangi kita semua. Sememangnya begitu, sebelum subuh mendatang kita akan melalui keadaan yang sangat gelap tetapi kegelapan itu akan di ikuti dengan keadaan terang selepas itu.

Ke mana kita akan di gerakkan Tuhan kita tidak dapat menentukannya kerana itu hanya kuasaNya sahaja yang akan melakukan penentuan itu. Tetapi jika kita kisarkan pemikiran kita dengan kuat dan ‘intensive’ sedikit sebanyak secara zahiriah nya kita boleh menelah apa yang akan berlaku mengikut kemampuan kita berfikir dan bertindak. Tuhan juga akan memberikan kejayaan kepada pihak dan sesiapa yang berusaha.

Kita tidak dapat ‘menyelami air di dalam tunggak’ kerana ramai di antara kita hanyalah manusia biasa yang bukannya sampai ke makam yang tinggi untuk melihat apa yang akan berlaku di masa hadapan. Kita tidak tahu apa yang tersirat sepenuhnya. Sebagai manusia yang percayakan adanya Tuhan penentu segala-galanya apa yang perlu kita lakukan selain dari kerja tubuh (usaha) yang mampu kita lakukan, kita wajar berdoa dan bermunajat untuk menjolok rahmat Tuhan yang Maha Esa itu.

Samada doa kita di makbul atau tidak itu bukannya hak kita untuk menentukannya. Tuhan tidak menjanjikan semua doa kita akan termakbul tetapi Tuhan ada berjanji yang hajat (yang baik) tetap akan dikabulkanNya. Samada hajat kita itu suci atau sebaliknya hanya Tuhan sahaja yang mengetahuiNya.

Semuanya adalah di atas ketentuanNya. Kadang-kadang doa kita sampai, tetapi hajat kita belum kesampaian. Datuk nenek kita berdoa sambil berusaha untuk mendapatkan sebuah negara merdeka misalnya. Tetapi hajat kita untuk mendapatkan sebuah negara yang di tadbir oleh mereka yang bersih dari segala noda belum kesampaian.

Bagi mereka yang bersih niat dan tujuannya kita berkeyakinan yang kita sepatutnya berdoa dan bemunajat se ‘intensive’ yang boleh untuk mencapai hajat kita semua.  Hajat itu ialah untuk mendapatkan sebuah negara yang di tadbir oleh pentadbir yang bersih dari noda seperti rasuah dan salah laku terhadap kita rakyat yang ramai ini.

Usaha nampaknya jelas sekarang ini dilakukan oleh rakyat untuk mencapai hajat itu. Mungkin yang belum kita lakukan ialah untuk bermunajat sekuat yang mungkin serta bertawajjuh serta bertawassul yang intensive belum kita laksanakan. Itu saya dan siapa pun tidak tahu kerana bak kata saya awal-awal tadi kita tidak mampu untuk menyelam ‘air di dalam tunggak’ tadi.

Sebagai sesama insan yang bertanggungjawab terhadap penciptaNya, kita yang memperingati yang usaha itu wajib dilakukan tanpa hentian semasa kesaorangan dan kesunyian.

Berdoalah agar semua elemen-elemen yang di penuhi noda itu tertewas dan memberikan kemenangan kepada pihak yang berkemampuan untuk menghindarkan hasutan dan bisikan khatir yang jahat yang sentiasa mengajak kita melakukan kejahatan dan kemungkaran.

Jika dilakukan doa dan munajat yang ‘intensive’ tadi, insyaalah hajat kita akan akhirnya di kabulkanNya.

Ini lah hajat kita dalamTahun Baru ini.


 


Photobucket

Isu Deepak, Kenapa Libatkan Kementerian Pertahanan dan LTAT ...?

on






Pilihanraya semakin hampir. Najib dan kumpulannya dalam UMNO sedang berperang menutup keterlaluan perbuatan dan Deepak sedang menjadi orang yang sedang menggemparkan negara sekarang ini. Isu Altantuya dan Scorpene kini merebak kepada isu bagaimana Kementerian Pertahanan, LTAT dan Raja Ropiah telah di ketahui umum. Semua pihak yang bergaduh akan mendapat habuan, jika dicampur-campurkan ia melibatkan ratusan jutaan ringgit.

Dalam isu yang terkini, bekas anggota tentera yang jumlahnya ratusan ribu orang pula yang menyelamatkan mereka (pemimpin) padahal mereka melakukan jenayah dan salah laku ekonomi ini. Sesungguhnya isu sekarang terbukti, jika melakukan konspirasi kerja kotor dan jenayah akhirnya ia akan terbongkar juga dan rakyat lah yang menjadi mangsa di atas salah laku mereka itu. UMNO dan BN tidak habis-habis dan serik dengan perlakuan kotor yang bersifat jenayah ini.

LTAT di kaitkan dengan isu ini apabila koperasi untuk bekas anggota tentera ini di minta untuk membeli 80 peratus saham syarikat Astacanggih yang di punyai oleh Deepak dan syarikat-syarikat kepunyaan Deepak. Kerana apa ini berlaku? sedangkan syarikat ini tidak mempunyai nilai walaupun satu sen! Syarikat yang mempunyai liabiliti sebegitu besar di beli dengan harga yang tinggi? Astacanggih Sdn Bhd mempunyai hutang dengan Kuwaiti Finance House sebanyak RM90 juta. Jawapannya mudah: ia adalah cara untuk menutup mulut Deepak yang sangat merbahaya bagi Perdana Menteri suami isteri.

Satu persoalan yang perlu di jawab oleh ramai terutamanya kepada penyokong-penyokong membabi buta UMNO di seluruh negara ini ialah, apa kah yang mereka dapat untuk bergaduh-gaduh dengan penyokong Pakatan Rakyat sehinggakan mengganggu kegiatan Pakatan Rakyat di mana-mana? Kita semua tidak sepatutnya bergaduh dan sebaliknya kita semua sepatutnya bersatu menentang segala kemungkaran politik dan ekonomi yang di lakukan oleh pimpinan-pimpinan tertinggi parti UMNO itu.

Mereka bergaduh mendapat hasil yang berpuluh-puluh juta ringgit malahan sampai ratusan juta. Yang di bawah ini bergaduh-gaduh itu apa yang mereka dapat? Itulah sebabnya kita meminta semua rakyat khususnya orang Melayu bersatu di luar UMNO kerana sekarang sahajalah masanya untuk melakukan pembaharuan dan pembersihan terhadap kekotoran yang dilakukan oleh UMNO itu.

Kita mesti juga persoalkan kenapa Muhyiddin dan kumpulannya hanya berdiam diri dalam isu Deepak dengan syarikat Astacanggihnya itu? Sebabnya kumpulan ini ada agenda tersendiri dalam UMNO itu. Kalau hendak tahu cerita sebenarnya tanya Dr Mahathir kerana beliau adalah orang yang berpengalaman memporak-perandakan UMNO itu yang akhirnya mendapat kepentingan peribadi dan keluarga beliau.

Kita sebut satu persatu. Hari ini kita sebut tentang Astacanggih, besok lusa kita cerita pasal tanah Kementerian Pertahanan yang dua ratus ekar pula jika umur saya sampai sehingga besok lusa.

Tetapi dalam pada itu kita harus bertanya kepada diri kita sendiri. ‘yang kita bergaduh sesama kariah dan mukim ini kenapa?’ Kita bersatu sahaja di luar UMNO itu. Selagi UMNO mendapat kuasa, selagi itulah kejahatan ini tidak akan berhenti.





Photobucket

Semua Calon Barisan Nasional (BN) Bersih! Bebas Rasuah & Jenayah! Kah Kah Kah......!

on




Barisan Nasional Rasuah SAH! Semua Calon Barisan Nasional (BN) Bersih! Bebas Rasuah & Jenayah!



Belum ada lagi siasatan terhadap dakwaan Deepak (KLIK SINI), kes lembu NFC belum selesai lagi (KLIK SINI), ditambah siasatan dan perbicaraan mahkamah Perancis terhadap skandal pembelian kapal selama Scorpene yang membabitkan komisen setengah bilion ringgit dan juga pembunuhan (KLIK SINI) dan ______________.

Terbaru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) & Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat “satu pengesahan” menjelang Pilihanraya Umum ke 13 kelak…..
Hasil siasatan & proses saringan SPRM & PDRM ini terhadap semua calon Barisan Nasional (BN) ini dilaporkan sendiri oleh  Setiausaha Agong UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tengku Adnan : Semua Calon Barisan Nasional Bersih & Bebas Masalah

Barisan Nasional Pilihanraya SAH! Semua Calon Barisan Nasional (BN) Bersih! Bebas Rasuah & Jenayah! 
PUTRAJAYA — Semua calon Barisan Nasional (BN) yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU Ke-13) bebas rasuah dan jenayah, kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Beliau berkata bakal calon BN bagi kesemua 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) telah melalui proses saringan teliti termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi untuk memastikan calon tersebut ‘bersih’ dan bebas masalah. 
“Semua calon BN yang bakal bertanding telah melalui proses saringan yang teliti,” katanya.
Selain itu, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno berkata latar belakang bakal-bakal calon BN juga dikaji secara mendalam untuk memastikan mereka adalah pilihan rakyat.
“Kita mahu calon yang bakal bertanding itu adalah mereka yang dikehendaki rakyat, bukannya kehendak parti atau individu-individu dalam parti. Kita mahu calon yang rakyat fikirkan dia boleh mewakili rakyat,” katanya. 
Baru-baru ini, Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM Datuk Johan Jaaffar mencadangkan semua parti politik menghantar senarai calon yang akan bertanding dalam PRU Ke-13 untuk ditapis SPRM. 
Cadangan itu adalah untuk memastikan calon-calon yang bakal bertanding ‘bersih’ daripada rasuah selain mengelak sebarang tohmahan tidak berasas ke atas mana-mana individu atau parti di belakang calon itu. [Sumber : Bernama]
UMNO vs SPRM SAH! Semua Calon Barisan Nasional (BN) Bersih! Bebas Rasuah & Jenayah!

Adakah dengan keluarnya pengakuan & pengakuan seperti ini maka akan terhapuslah segala kesangsian & persoalan yang berlegar di minda rakyat Malaysia bahawa semua calon yang bakal bertanding dalam Pilihanraya Umum ke 13 kelak, “benar-benar” BERSIH?




Photobucket

Adakah benar wujud suara-suara dalam Umno sendiri yang mahu Najib disingkirkan sebelum PRU 13...?

on





31 DIS — Semakin banyak yang mula diperkatakan mengenai PRU 13 yang semakin hampir sungguhpun belum ada penetapan kepastian dibuat oleh kerajaan. Semakin hampir kita kepada PRU 13 semakin banyak bom-bom yang mahu diletupkan oleh parti politik yang kini pantas dan lantang untuk memastikan kemenangan. Akhirnya semua parti politik yang mahu bertanding berlaga-laga untuk mencari kesalahan masing-masing. Satu resam politik tidak sihat. Semua akur bahawa PRU 13 ini merupakan PRU yang paling sengit yang mampu menggoncang BN dan Umno sendiri.

Akhir-akhir ini isu yang dibawa oleh pembangkang adalah isu Zahid Hamidi — Naib Presiden Umno yang juga Menteri Pertahanan memasuki gelangang untuk menyelesaikan masalah Deepak Jaikishan — peniaga karpet yang telah membuat berbagai tuduhan terhadap Najib — Rosmah dan isu pembelian kapal selam serta isu pembunuhan Altantuya. Namun isu itu tidak sekuat isu spekulatif bahawa Najib harus di keluarkan dari senario politik Umno bagi membersihkan Umno dan memberi ruangan kembali untuk BN berkuasa. Isu yang meletakkan Najib — Rosmah sebagai liabiliti Umno semakin kuat kedengaran sealiran dengan nada Tan Sri Muhyiddin Yassin — Timbalan Perdana Menteri mengakui — PRU kali ini amat sengit sungguhpun beliau yakin BN akan menang.

Adakah benar wujud suara-suara dalam Umno sendiri yang mahu Najib disingkirkan sebelum PRU 13 nanti atau suara ini adalah suara perang saraf media oleh pembangkang. Apa pun adakah benar Najib menjelang PRU 13 ini sudah mula terpalit dengan berbagai isu yang memberi kesan besar terhadap peluang BN/Umno dalam PRU 13 nanti. Adakah transformasi politik Najib yang mahu dibawa dalam Umno menemui jalan buntu dengan perubahan yang tidak dapat dilangsungkan kepada ahli Umno sendiri?

Semakin deras suara-suara peringkat bawahan mengenai isu calon, isu siapa yang sepatutnya menjadi calon mampu menang dan apakah ini akan diterima baik sekiranya calon tempatan tersingkir dengan calon pilihan Najib. Semakin membiak isu-isu Najib tiba-tiba wujud dengan kehadiran tuduhan yang melibatkan isteri beliau sendiri. Semakin galak pendedahan baru dibuat dan yang pasti isu yang menghentam Najib semakin lantang dan semakin terbuka.

Adakah mampu Najib bertahan sekiranya isu khusus seperti kapal selam, Deepak, Balasubramaniam dan peranan menutup cerita oleh Dato Zahid Hamidi serta kehadiran berita-berita spekulasi SUARAM mengenai sidang mahkamah di Perancis terus membengkak. Adakah Najib dapat bertahan dengan masalah dalaman Umno dengan pemilihan calon, kehadiran broker kuasa dalam Umno yang tidak dapat ditepis kehadirannya dan hasrat dan matlamat individu dalam Umno sendiri.

Najib terus dihadapkan dengan berbagai tuduhan dan ini semakin galak dengan kehairanan kita mengenai pendedahan demi pendedahan yang dibuat oleh pembangkang terhadap isu yang melibatkan Najib. Apa yang jelas kelihatan dalam pusingan akhir sebelum pengumuman PRU 13 ini, Najib menjadi isu utama — seakan diserang bertubi-tubi dan menjadi fokus pembangkang. Suara penentangan dalaman dengan kehadiran broker kuasa dalam Umno juga menjadi penumpuan utama dan kehadiran broker kuasa ini amat benar mengambil insiden penentangan Pak Lah dahulu.Adakah Najib dapat bertahan – sebagai Presiden Umno dan adakah Umno/BN dapat bertahan dalam PRU 13 seolah-olah menjadi persoalan utama dalam Umno waktu ini. Melihat cara pembangkang menghentam Najib serta kerunsingan kepimpinan Umno/BN mengenai isu khianat dalam Umno/BN memberi isyarat kepada kita bahawa Umno/BN sedang meneliti sebarang kemungkinan yang akan berlaku sewaktu isu pengumuman calon BN/Umno nanti.

Tanggungjawab Najib semakin berat dalam keadaan sekiranya beliau turut ditentang oleh dalaman Umno. Ahli Umno seakan masih terpingga-pingga dalam mendefinisikan transformasi politik dalam Umno. Ahli Umno perlu mengisyaratkan perubahan termasuk apa yang dipanggil kematangan politik yang perlu ada dalam Umno sendiri. Orang Umno — seperti yang ditekan oleh Najib perlu menyerapkan kematangan berpolitik — menyedarkan diri bahawa politik hari ini bukan dalam proses penuaan tetapi dalam proses perubahan – menjadikan ianya baru — lebih terperinci dan lebih intelektual. Cara-cara usang akan hanya menjadikan BN/Umno ketinggalan dan akhirnya amat jauh dari keremajaan politik yang diharapkan oleh rakyat. Persoalan yang sering ditanya dalam sirkulasi perjumpaan Umno.....

adakah BN/Umno mampu bertahan?. — utusan.com.my



Photobucket

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List