Selamat Tahun Baru 2013 kepada semua dan kita menerima kedatangan tahun baru ini dengan bermacam ‘expectations’ dan semuanya untuk kebaikan mengikut kemahuan diri sendiri. Selebihnya kita mengharapkan kita hidup dalam negara yang bersih dan aman sentosa. Kita juga memohon dari yang Maha Pencipta agar kita di gerakkanNya untuk menjadi seorang yang sentiasa melaksanakan tuntutanNya sebagai insan yang secantik-cantik kejadianNya.
2012 merupakan tahun yang penuh dengan peristiwa dan kita ternampak dengan terang dan nyata yang rakyat negara kita semuanya sedang dalam pencarian. Dalam politik pula keadaan boleh lah dianggap sebagai keadaan yang sangat ‘menggila’ dan penuh dengan kekeliruan seolah-olah tiada lagi peluang untuk kita mencari jalan yang sebenarnya.
Rakyat seolah-olah sedang mencari jalan keluar untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik setelah terikat dan tertambat oleh sistem politik dan pentadbiran yang bercelaru yang tidak dapat di cari puncanya bagi melerai kekusutan politik itu sendiri. Tetapi sebagai seorang yang beragama dan mempunyai Tuhan kita mesti jangan lupa yang segala-gala kekusutan itu akan akhirnya terlerai dan ia bergantung kepada kehendak Tuhan jua akhirnya.
Perang mulut dalam politik sudah membawa kepada perang secara fisikal dan tidak kurang berlakunya kekecohan yang menyebabkan beberapa kecederaan penyokong parti politik. Keadaaan seolah-olah begitu gelap gelita untuk masa depan kita semua kerana semuanya sudah tidak menjadi tenang lagi seperti yang kita semua kehendaki. Tetapi kita juga mesti ingat apabila sudah sebegini kelam kabut keadaan siasah kita, mesti kita yakin yang pencarian selama ini akan mendapat kejayaannya.
Ada perbilangan berkata, ‘the darker the night, the nearer we are to the dawn’. Perbilangan ini memberikan kita keyakinan yang lagi gelap malam itu, ia bermakna ia sudah hampir kepada fajar yang akan menerangi kita semua. Sememangnya begitu, sebelum subuh mendatang kita akan melalui keadaan yang sangat gelap tetapi kegelapan itu akan di ikuti dengan keadaan terang selepas itu.
Ke mana kita akan di gerakkan Tuhan kita tidak dapat menentukannya kerana itu hanya kuasaNya sahaja yang akan melakukan penentuan itu. Tetapi jika kita kisarkan pemikiran kita dengan kuat dan ‘intensive’ sedikit sebanyak secara zahiriah nya kita boleh menelah apa yang akan berlaku mengikut kemampuan kita berfikir dan bertindak. Tuhan juga akan memberikan kejayaan kepada pihak dan sesiapa yang berusaha.
Kita tidak dapat ‘menyelami air di dalam tunggak’ kerana ramai di antara kita hanyalah manusia biasa yang bukannya sampai ke makam yang tinggi untuk melihat apa yang akan berlaku di masa hadapan. Kita tidak tahu apa yang tersirat sepenuhnya. Sebagai manusia yang percayakan adanya Tuhan penentu segala-galanya apa yang perlu kita lakukan selain dari kerja tubuh (usaha) yang mampu kita lakukan, kita wajar berdoa dan bermunajat untuk menjolok rahmat Tuhan yang Maha Esa itu.
Samada doa kita di makbul atau tidak itu bukannya hak kita untuk menentukannya. Tuhan tidak menjanjikan semua doa kita akan termakbul tetapi Tuhan ada berjanji yang hajat (yang baik) tetap akan dikabulkanNya. Samada hajat kita itu suci atau sebaliknya hanya Tuhan sahaja yang mengetahuiNya.
Semuanya adalah di atas ketentuanNya. Kadang-kadang doa kita sampai, tetapi hajat kita belum kesampaian. Datuk nenek kita berdoa sambil berusaha untuk mendapatkan sebuah negara merdeka misalnya. Tetapi hajat kita untuk mendapatkan sebuah negara yang di tadbir oleh mereka yang bersih dari segala noda belum kesampaian.
Bagi mereka yang bersih niat dan tujuannya kita berkeyakinan yang kita sepatutnya berdoa dan bemunajat se ‘intensive’ yang boleh untuk mencapai hajat kita semua. Hajat itu ialah untuk mendapatkan sebuah negara yang di tadbir oleh pentadbir yang bersih dari noda seperti rasuah dan salah laku terhadap kita rakyat yang ramai ini.
Usaha nampaknya jelas sekarang ini dilakukan oleh rakyat untuk mencapai hajat itu. Mungkin yang belum kita lakukan ialah untuk bermunajat sekuat yang mungkin serta bertawajjuh serta bertawassul yang intensive belum kita laksanakan. Itu saya dan siapa pun tidak tahu kerana bak kata saya awal-awal tadi kita tidak mampu untuk menyelam ‘air di dalam tunggak’ tadi.
Sebagai sesama insan yang bertanggungjawab terhadap penciptaNya, kita yang memperingati yang usaha itu wajib dilakukan tanpa hentian semasa kesaorangan dan kesunyian.
Berdoalah agar semua elemen-elemen yang di penuhi noda itu tertewas dan memberikan kemenangan kepada pihak yang berkemampuan untuk menghindarkan hasutan dan bisikan khatir yang jahat yang sentiasa mengajak kita melakukan kejahatan dan kemungkaran.
Jika dilakukan doa dan munajat yang ‘intensive’ tadi, insyaalah hajat kita akan akhirnya di kabulkanNya.
Ini lah hajat kita dalamTahun Baru ini.
Aspan Alias
0 comments:
Post a Comment