ANAK susun strategi 'bebaskan' FELDA, FELCRA dari korupsi.

on Aug 26, 2010

malimi

PETALING JAYA: "Melayu tidak mudah lupa". Setelah 54 tahun penubuhan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dibawah Ordinan Kemajuan Tanah, diakui begitu banyak perubahan yang dilakukan bagi meningkatkan survival hidup Bumiputera.
Usaha Mantan Perdana Menteri Malaysia Kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada tahun 1956 menjadi titik tolak rancangan untuk meningkatkan ekonomi masyarakat Melayu khususnya di luar bandar.
Penubuhan Felda pada asalnya adalah untuk menyeimbangkan pembahagian status sosio-ekonomi sekaligus merapatkan lagi jurang di antara ekonomi Melayu dan bukan Melayu dalam masyarakat berbilang kaum.
Tanah seluas 4.046 hektar (10 ekar) bagi pertanian dan 0.809 hektar (dua ekar) untuk tapak rumah disediakan kepada setiap peneroka.
Pertanian Felda berkembang pesat melalui hasil titik peluh peneroka dan menjadi antara agensi kerajaan terkaya selepas Petronas, selain menawarkan pelbagai skim pinjaman dengan kadar faedah yang tinggi kepada peneroka.
Namun, amanat Tun Abdul Razak untuk "beri tanah kepada yang tidak bertanah" dan "memperkaya rakyat yang miskin" kini tidak lagi dipegang oleh pemimpin Felda, malah bertambah buruk sejak diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2004.
Perubahan strategi dasar Felda dari pertanian kepada industri korporat melalui penubuhan Felda Plantation serta 23 anak syarikat lain, walaupun memberi pulangan hasil lumayan, tetapi pada masa yang sama menggugat hak yang selama ini dimiliki peneroka dan generasi pewarisnya.
Kadar perahan gred (KPG) yang rendah
Kelapa SawitSelain hasil kadar perahan gred (KPG) kelapa sawit yang tidak memuaskan, manipulasi gred, masalah caruman Tabung Tanam Semula, kualiti buah sawit, malah peneroka turut dibebani hutang pinjaman tanah ladang yang tinggi sehingga kebun dijadikan cagaran.
Melihat kepada beberapa tekanan yang dialami peneroka, beberapa individu bangkit mahu menentang salah laku pihak tertentu yang cuba menyeleweng dan menjadikan Felda sebagai tempat ‘cari makan’ dengan mengaut keuntungan.
Antara gerakan badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam usaha ini adalah Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak).
Sebagai Presiden Anak, Mazlan Aliman mahu Felda menunaikan tanggungjawab sosial sebagai agensi yang menjaga kebajikan peneroka dan bukan hanya sebagai badan korporat yang mementingkan keuntungan semata-mata.
"Sebab itu kami dan peneroka di seluruh negara kini mula mengambil tindakan saman terhadap Felda, faktor utamanya adalah kerana menyeleweng dan menipu hasil perahan minyak yang diperoleh peneroka.
Setelah Felda Serting Hilir dan Felda Raja Alias di Seremban memfailkan saman RM200 juta awal bulan ini, Mazlan menjangkakan beberapa penempatan Felda di Pahang pula akan mengambil langkah yang sama dalam masa terdekat.
Peguam muda ini juga yakin peneroka di Pahang akan bangkit menyuarakan hak mereka selepas mengadakan beberapa pertemuan dengan peneroka Felda Chini minggu lalu serta tertubuhnya jawatankuasa bertindak di Felda Bera dan Kratong.
"Gugusan Felda Bera akan mengambil langkah pertama dengan jangkaan penyertaan kira-kira 4,000 peneroka dan kami akan failkan saman selewat-lewatnya November ini, kemudian diikuti Felda Chini dan Kratong.
"Anak dan peguam Sivarasa Rasiah, Wan Rohimi Wan Daud dan Nizam Abdul Hamid akan turun ke Pahang minggu depan untuk mula meneliti dokumen dan beri taklimat kepada peneroka.
"Selain itu, saya juga akan ke Jengka 17 tidak lama lagi untuk mengadakan pertemuan dan sesi penerangan kepada peneroka disitu," katanya.
Hak pewaris peneroka Felda semakin hilang
Bercakap mengenai soal pemberian tanah pula, Mazlan berkata walaupun Felda tiada kuasa memberi hak pemilikan tanah kepada peneroka di bawah Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960, namun perjanjian kontrak antara peneroka dengan Felda tidak menjamin sesuatu hak pemilikan tanah.
"Kerajaan negeri melalui GSA ada hak mutlak sama ada mahu beri tanah kepada peneroka walaupun mereka masih ada hutang dengan Felda.
"Namun malangnya walaupun wujud kes peneroka menerima tekanan hebat akibat hutang tanah kepada Felda sehingga mencecah ratusan ribu ringgit, kerajaan negeri seperti mahu tutup mata dan menyerahkan sepenuhnya kuasa ke atas Felda," katanya.
Akibatnya, jika peneroka gagal menjelaskan hutang mereka maka Felda berhak ke atas tanah ladang peneroka itu seperti yang terdapat dalam perjanjian kontrak.
"Sudahlah hutang mereka besar, mereka tidak mempunyai apa-apa pendapatan kecuali elaun sara hidup yang dikira pinjaman dari Felda.
"Lebih dari 95 peratus peneroka-peneroka Felda adalah orang Melayu, inikah dasar kerajaan membela nasib 800,000 orang Melayu dengan mengenakan beban hutang menjangkau ratusan ribu ringgit?," soal beliau.
Begitu juga nasib generasi seterusnya yang menjadi pewaris peneroka. Mengikut GSA, hanya seorang penama sahaja daripada setiap keluarga yang boleh mewarisi 10 ekar tanah peneroka.
"GSA ini perlu dipinda. Kerajaan sekarang dilihat memanipulasi GSA ini dan tak bercadang nak bagi tanah kepada peneroka.
"Mereka tahu sekiranya akta ini dipinda, anak peneroka akan bertindak menjadi pemain utama dalam perjuangan menuntut hak yang sebenarnya daripada Felda.
"Sebab itu Anak sebagai NGO kini giat memberi pendedahan dan kesedaran kepada pewaris generasi kedua dan ketiga mengenai hak yang sepatutnya menjadi milik mereka.
"10 Oktober ini, Anak akan melancarkan Sambutan Hari Anak Peneroka di Lembah Klang sambil mengutip dana amal membantu anak-anak kumpulan peneroka yang miskin dan kita menjangkakan 100,000 peneroka akan turun di Shah Alam nanti," katanya.
Penyelewengan Felcra kritikal
logo-felcraSementara itu, menyentuh mengenai Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) pula, Mazlan mendakwa nasib yang sama juga dialami peserta Felcra.
Cuma perbezaan yang ketara adalah tanah yang diusahakan adalah hak mereka sendiri dan bukannya milik kerajaan negeri.
Felcra ditubuhkan pada tahun 1966 dengan fokus untuk membangunkan tanah-tanah persendirian dalam usaha memperbaiki taraf orang Melayu di kawasan luar bandar.
Malah agensi kerajaan ini juga membuka kawasan penempatan dan perladangan baru bagi mereka yang tiada tanah. Ia kemudiannya dinaikkan taraf sebagai Felcra Berhad, syarikat milik kerajaan pada 1997.
Namun Mazlan yang juga Pengerusi Biro Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat mendakwa salah urus kewangan dan pentadbiran Felcra menyebabkan peserta yang majoritinya penduduk kampung tertindas.
Mazlan melalui pendedahan 22 dokumen penyelewengan mendakwa mempunyai bukti lengkap berlakunya pecah amanah, salah urus pengurusan Felcra, pelaburan, ketirisan, perjanjian tanah dan projek tanam semula dalam Felcra.
Antara 22 penyelewengan yang ketara yang didedahkannya adalah penyelewengan di Koperasi Peserta-Peserta Felcra Bhd (KPFB), penyelewengan kontrak pertanian Felcra Jemoreng di Sarawak yang bernilai RM14.8 juta, penyelewengan pelaburan pembelian bon berjumlah RM17 juta tanpa mendapat kelulusan peserta, serta pemalsuan dokumen-dokumen bagi kerja-kerja pertanian am di Sabah.
"Hakikatnya peserta Felcra mengalami masalah yang lebih serius berbanding peneroka Felda. Cuma mereka selama ini tidak tahu hendak mengadu kepada siapa," katanya.
Selain 22 bukti penyelewengan itu, Mazlan turut mendakwa ada banyak lagi bukti penyelewengan yang akan didedahkannya selepas ini tidak lama lagi.
"Bukan sahaja Felda dan Felcra, malah RISDA, MIDA, UDA, dan agensi lain juga mengalami masalah yang sama.
"Puncanya satu sahaja iaitu wujudnya pemimpin kerajaan dan sistem pentadbiran yang korup dan mahu mengaut keuntungan daripada hasil keringat rakyat untuk kepentingan peribadi.
Tolak pemimpin korup, Bumiputera mampu capai 30% ekuiti
Melihat kepada situasi sebegini, Mazlan yakin kaum Bumiputera pasti dapat mencapai sasaran pegangan ekuiti 30 peratus pada masa sekarang seperti yang digariskan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) jika semua pemimpin kerajaan bersikap telus menguruskan agensi-agensi pembangunan tanah.
"Terdapat pelbagai agensi pembangunan tanah yang melibatkan jutaan hektar tanah diusahakan oleh majoriti kaum Bumiputera dengan hasil keuntungan berbilion ringgit setahun.
"Jika agensi pembangunan tanah yang diwujudkan sejak 50 tahun lalu diuruskan dengan baik tanpa sebarang penyelewengan, tidak mustahil Bumiputera sudah mencapai pegangan ekuiti 30 peratus sekarang, sekaligus kemiskinan tegar dan jurang antara kaum dapat dihapuskan sama sekali.
"Malangnya bagi peneroka dan pengusaha tanah ini adalah wujudnya campur tangan pemimpin politik kotor yang terlalu korup dan ‘merompak’ segala kekayaan milik rakyat.
"Mereka jadikan agensi kerajaan sebagai gelanggang untuk mencari kekayaan dan mengaut keuntungan untuk kepentingan peribadi dan kroni.
"Jika keadaan ini tidak diubah dan budaya korupsi terus berleluasa, sampai bila-bila pun kaum Bumiputera tidak mampu pergi jauh.
"Bukan kita sengaja mahu melupakan bantuan dan usaha yang pernah kerajaan tawarkan, cuma pemimpin yang korup dan menindas rakyat ini kita tolak sekeras-kerasnya," katanya. 
Felda vs Felcra
Felda:
  1. Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda)
  2. Ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah (Land Development Ordinance) 1956.
  3. Fungsi  :
  • Menjalankan dan melaksanakan projek pembangunan tanah.
  • Memaju, memudah dan melaksanakan pembangunan, pengurusan dan perkhidmatan ekonomi, sosial, pertanian, penempatan, perindustrian dan komersial serta aktiviti sampingan yang lain di kawasan di mana Felda diberi kuasa melaksanakan projek pembangunan tanah atau kawasan yang dimiliki oleh Felda dan syarikatnya.
  • Melaksanakan kegiatan yang dapat membantu memodenkan sektor pertanian di kawasan di mana Felda diberi kuasa mentadbirnya terutama dalam kegiatan yang berkaitan dengan pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran hasil keluaran pertanian dan ternakan.
  • Membantu, membimbing, menasihati, mengurus dan menyelaraskan kegiatan-kegiatan sosial penempatan, pertanian, industri dan komersial dalam kawasan Felda.
4.  Sebuah badan berkanun yang kemudiannya dikorporatkan pada tahun 1995.
5.  Pada asalnya terletak dibawah Kementerian Luar Bandar dan Wilayah.
6.  April 2004; Felda diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri di bawah tanggungjawab Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
7.  Golongan yang terlibat: peneroka Felda
8.  Tanah asal hak milik kerajaan negeri
Felcra:
1.  Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra)
2.  Ditubuhkan pada tahun 1966
3.  Matlamat: membangunkan sektor luar bandar dengan membantu penduduknya menyertai aktiviti-aktiviti ekonomi seperti perladangan dan pertanian dan seterusnya meningkatkan taraf hidup mereka.
4.  Sebuah badan berkanun yang kemudiannya dikorporatkan pada 1 September 1997 menjadi Felcra Berhad
5.  Berfungsi sebagai agensi kerajaan di bawah Kementerian Luar Bandar dan Wilayah.
6.  Golongan yang terlibat: peserta Felcra
7.  Tanah asal hak milik persendirian penduduk luar bandar
-FreeMalaysiaToday-

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List