MUHYIDDIN OH MUHYIDDIN

on Aug 11, 2010


‘Pekak badak’ atau buat-buat pekak

Semalam, timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan beliau cuba melaga-laga pimpinan dalam Pakatan Rakyat (PR) apabila cuba menggambarkan presiden PAS, Dato` Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang seiring dengan Umno dalam menuntut hak orang Melayu dengan ucapan ‘tahniah’ kepada Ustaz Hadi di dada akhbar pro Umno kerana mempertahankan hak orang Melayu.

Perkara ini berbangkit apabila Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mencadangkan diskaun bumiputera ke atas pemilikan hartanah komersial di Selangor dimansuhkan.

"Yang saya sebut dan ulas itu kerana kenyataan Datuk Hadi adalah tepat dan betul.

"Jadi apabila ia tepat dan betul, sebagai seorang pemimpin saya hormati pandangan dia," katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur semalam.


"Pasti sebagai Melayu-Islam (presiden PAS) tidak terlepas daripada hendak mendukung perjuangan itu yang terkandung dalam perlembagaan," kata Muhyiddin.

Jika diteliti kepada kenyataan yang dibuat Ustaz Hadi, memang sah Muhyiddin cuba memburukkan keadaan. Dalam erti kata lain memang ada cubaan untuk melaga-laga pimpinan PR yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP.

Kenyataan itu dilihat cuba menunjukkan PAS seiring dengan Umno dalam perkara hak orang Melayu. Beliau cuba menjauhkan bukan Melayu dengan PAS yang semakin mendapat perhatian Cina dan India itu.

Namun, Muhyiddin cuba memburukkan keadaan apabila tidak mengulas sepenuhnya apa yang dinyatakan oleh presiden PAS itu.

Ustaz Hadi ketika mengulas isu itu ketika ditanya wartawan di Rusila, Marang baru-baru ini, hak bumiputera perlu dikekalkan kerana golongan itu adalah majoriti di negara ini. Bumiputera juga adalah majoriti miskin di negara ini dan perlu dibantu oleh kerajaan.

Namun Ustaz Hadi juga menyebut, bukan setakat bumiputera, bahkan bukan bumiputera juga wajib dibantu jika miskin.

Ustaz Hadi turut menjelaskan, diskaun atau segala bentuk bantuan kepada bumiputera selama ini adalah jauh tersasar daripada apa yang diwar-warkan kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini.

“Apa yang berlaku hari ini tidak sampai ke (sasaran) bumiputera pun, (hanya) sampai kepada pemimpin-pemimpin Umno sahaja,” ujar ahli parlimen Marang itu.

Ustaz Hadi turut membidas sikap pemimpin Umno yang berlagak menolong dan membantu kaum bumiputera, padahal apa yang disebut bantuan dan kemudahan itu hanyalah untuk kroni-kroni dan dimonopoli oleh pemimpin Umno-BN.

Dalam pada itu, Ustaz Hadi bukan sekadar menegaskan pembelaan bukan hanya setakat terhadap kaum bumiputera semata-mata, bahkan juga kepada semua kaum yang miskin.

Media pro kerajaan dilihat hanya memperbesarkan isu kononnya Presiden PAS hanya meminta hak bumiputera perlu dipertahankan, seolah-olah senada dengan Umno-BN yang memperjuangkan hak Melayu semata-mata (perkauman).

Ustaz Hadi menyatakan, realiti yang wujud dalam negara adalah, bumiputera merupakan majoriti rakyat yang masih miskin. Jadi yang miskin perlu dibantu oleh kerajaan.

Namun begitu, Ustaz Hadi menjelaskan, dalam Islam juga tidak membenarkan berlaku zalim terhadap kaum serta bangsa lain yang memerlukan pembelaan.

“Sebab itu, kita perlu melihat majoriti rakyat yang mengalami masalah kemiskinan. Dalam masa sama, kita (Islam) wajib membela kaum lain yang miskin dan yang patut juga dibela.

“Kita (Islam) tidak boleh menzalimi kaum lain dalam keadaan kita (orang Melayu) membela kaum kita sendiri,” tegasnya.

Penjelasan itu begitu jelas bahawa PAS tidak hanya memperjuangkan kaum bumiputera semata-mata, bahkan keseluruhan kaum yang tertindas dan hidup dalam kemiskinan. Tidak kira siapa, asalkan ianya memerlukan, PAS akan perjuangkannya.

Jadi kenapa Muhyiddin hanya mengulas sebahagian sahaja kenyataan presiden PAS itu dan cuba menghilangkan maksud sebenar Ustaz Hadi?

Itu menunjukkan pujian yang dilakukan Muhyiddin terhadap presiden ada udang di sebalik batu dan dipertikai keikhlasannya. Beliau dilihat cuba melaga-laga Ustaz Hadi dan PAS dengan kaum Cina dan India yang semakin meminati PAS.

Jadi betullah apa yang Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad sifatkan Muhyiddin sebagai 'batu api' yang cuba melaga-lagakan PAS dan DAP kerana cuba memutar belitkan kenyataan presiden PAS.

Apakah Muhyiddin ‘pekak badak’ atau buat-buat pekak dengan kenyataan penuh Ustaz Hadi?

Sumber :- Warkah Daily

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List