MUNGKINKAH Batu Sapi yang menjadi mercutanda Parlimen Batu Sapi akan menjadi ‘Batu Nisan’ DAP dalam persada politik Sabah setelah mereka berjuang selama lebih tiga dekad di Sabah dan hanya berjaya memperoleh dua kerusi (DUN Sri Tanjung dan Parlimen Kota Kinabalu) pada pilihanraya umum lalu.
Jika tidak kenapa DAP menjadikan SAPP sebagai ‘sasaran peluru’ kempen sebelum penamaan calon yang dilakukan pada hari ini, sesuatu yang luar biasa kerana baru pertama kali DAP berkampung di Batu Sapi dan menubuhkan bilik operasi mereka sendiri?
Jelaslah bahawa DAP beriya-iya benar mahu memastikan Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee kalah bagi memberikan mereka peluang untuk terus bertapak di Sabah dan menawan beberapa bandar pada pilihanraya umum akan datang.
Setelah memenangi kerusi parlimen pertama, Sandakan di Sabah pada 1978 melalui Fung Ket Wing yang berjaya mempertahankan kerusi tersebut selama tiga penggal dan melebarkan kejayaan pada pilihanraya umum 1986 dengan tiga kerusi ADUN iaitu Gaya, Tanjung Aru dan Tawau; DAP terus terkubur pada pilihanraya umum selanjutnya sehinggalah kembali dengan memenangi kerusi Sri Tanjung dan Kota Kinabalu.
DAP terpaksa ‘berkerat rotan, berpatah arang’ dengan SAPP yang belum menyatakan pendirian mereka untuk menyertai Pakatan Rakyat setelah keluar daripada Gagasan Barisan Nasional pada 17 September 2008, kini menunjukkan sikap ‘keras kepala’ dengan menentang calon Pakatan Rakyat di pilihanraya kecil Parlimen Batu Sapi; setelah rundingan antara PKR dengan SAPP menemui jalan buntu.
Bagi Dr Hiew King Cheu, jika SAPP menang pada pilihanraya kecil ini, maka memang tepatlah Batu Sapi akan menjadi batu nisan partinya pada pilihanraya umum akan datang kerana sudah pastinya rakyat akan menolak DAP kerana telah mempunyai SAPP yang benar-benar memperjuangkan hak rakyat Sabah.
Pilihanraya kecil Batu Sapi sebenarnya adalah pertarungan di antara SAPP dan DAP kerana Pakatan Rakyat yang mempersetujui calon mereka daripada PKR hanya perlu ‘mencelah’ dan menangguk di air keruh untuk memenangi pilihanraya kecil tersebut dengan penuh bergaya jika undi Melayu dan Cina dapat dipecahkan oleh SAPP.
Sehubungan itu, DAP telah mengerahkan jenteranya ke Batu Sapi dengan bantuan Pakatan Rakyat untuk menggempur calon SAPP yang bakal menentukan nasib dan masa hadapan DAP di Sabah kerana selama ini hanya SAPP yang sering menjadi ‘batu penghalang’ DAP melakukan penetrasi terhadap masyarakat Cina.
Cabaran getir ini menyebabkan DAP terpaksa memastikan calon SAPP dan BN tumbang bagi membolehkan calon Pakatan Rakyat, Haji Ansari Abdullah menambah satu lagi kerusi di parlimen untuk menggamatkan Dewan Rakyat dengan pelbagai hujah yang mampu menenggelamkan keangkuhan Ahli Parlimen BN.
Lebih penting, misi tersirat DAP ialah Yong kecundang dalam politik ‘Kucing Buta’ yang gagal menangkap ‘Tikus Mati’ disebabkan kedegilannya memberikan laluan kepada Pakatan Rakyat untuk satu lawan satu dengan BN.
0 comments:
Post a Comment