Terkini! Proses Pengundian Setakat Jam 12 Tengah Hari!

on Nov 4, 2010

Peratusan keluar mengundi di Galas pada pilihan raya kecil hari ini meningkat mendadak antara 9 hingga 10 pagi selepas agak ‘dingin’ sepanjang satu jam pertama.

Seramai 24.02 peratus ataupun 2,775 orang keluar mengundi sehingga pukul 10 pagi, demikian menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang maklumatnya dikeluarkan menerusi Jabatan Penerangan.


Bagaimanapun peratusan itu tidak mengambil kira status pusat pengundian Pos Brooke, Hendrop, Belatim, Balar, Bihai dan Ladoi - yang melibatkan masyarakat Orang Asli ekoran masalah komunikasi.

Dalam pada itu, di Batu Sapi seramai 23.05 peratus atau 5,897 orang keluar mengundi sehingga 10 pagi.

Hampir 10 peratus keluar mengundi di DUN Galas antara 8 dan 9 pagi tadi.

Mengikut maklumat SPR, seramai 9.93 peratus keluar mengundi di Gala sehingga 9 pagi.

Menurut SPR, seramai 14.68 peratus ataupun 3,756 orang telah keluar mengundi antara 8 dan 9 pagi di Batu Sapi.

Proses pengundian bagi pilihan raya kecil DUN Galas di Gua Musang, Kelantan dan Parlimen Batu Sapi di Sandakan, Sabah bermula sebaik sahaja pusat pengundian dibuka pada 8 pagi.

Pertandingan di DUN Galas membabitkan calon Barisan Nasional (BN) Abdul Aziz Yusoff dan calon PAS Dr Zulkefli Mohamed manakala di Batu Sapi pula menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Datin Linda Tsen Thau Lin, Datuk Yong Teck Lee daripada Parti Maju Sabah (SAPP) dan Ansari Abdullah daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Proses pengundian akan berakhir pada pukul 5 petang.

Di DUN Galas, pengundi sudah mula berbaris di pusat-pusat pengundian, dan antara mereka ialah pengundi Orang Asli yang tinggal sejauh sempadan Pahang-Kelantan di Lojing bersebelahan Cameron Highlands.

DUN Galas mempunyai 11,553 pengundi berdaftar. Penjumlahan undi akan dilakukan Pusat Sivik Gua Musang, di sini dan keputusan dijangka diumumkan pada 8 malam.

Sebanyak 13 pusat pengundian dibuka bagi pilihan raya kecil itu.

Sementara itu, bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, 10 pusat pengundian dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang, manakala dua lagi pusat pengundian masing-masing ditutup pada pukul 3 petang dan 4 petang.

Dua pusat pengundian itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Timbang yang mempunyai 984 pemilih dan ditutup pada 3 petang serta SK Segaliud dengan 785 pemilih dan ditutup pada 4 petang.

Seramai 24,047 pemilih biasa dijangka mengundi hari ini setelah pengundian pos diadakan pada Selasa dan semalam.

Sepuluh lagi pusat mengundi adalah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sandakan, SK Gas, SMK Batu Sapi, SK Kampung Bahagia, SJK (C) Pei Ying, SK Bandar Sandakan, SJK (C) Cheng Min, SK Karamunting, SK Bandar Dua dan Perpustakaan Sandakan.

Batu Sapi mempunyai 25,582 pengundi, di mana 15,099 atau 59.02 peratus adalah Bumiputera Islam, 689 atau 2.69 peratus adalah Bumiputera bukan Islam, 9,737 atau 38.06 peratus ialah pengundi Cina dan 57 atau 0.22 pengundi kaum lain.


0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List