PRK Galas: BN diramal menang dengan majoriti 2,300 undi.......???

on Nov 4, 2010

GUA MUSANG: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pahang meramalkan Barisan Nasional (BN) akan merampas kembali Galas dari PAS dengan majoriti 2,300 undi.

Dalam ramalannya, Mohd Ariff Sabri Aziz berkata biar sesiapa pun yang menang di Galas, ia merupakan "kemenangan bagi PAS".

"Dengan menyamar diri, saya mendengar perbualan di kalangan orang-orang PAS di sini dan agak menyakinkan. Mereka kata jika Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) menang, ia juga dilihat sebagai kemenangan buat PAS," kata bekas Adun Pulau Manis itu.

Beliau berkata, para penyokong PAS melihat Ku Li sebagai seorang yang bersimpati dengan aspirasi rakyat Kelantan. Mereka percaya Ku Li tidak berkira sangat dengan orang PAS. Beliau dilihat sebagai salah seorang daripada mereka.

Ini bermakna PAS akan kehilangan sebahagian daripada para penyokongnya kepada BN pada hari pengundian yang dijadualkan berlangsung esok.

Galas bekas kubu kuat BN

Galas mempunyai 11,553 pengundi, di mana mereka harus memilih di antara Abdul Aziz Yusof dari Umno atau Dr Zulkefli Mohamad dari PAS.

Dalam pilihan raya umum 2008, PAS memecah kubu kuat BN di Galas dan merampas kerusi itu dengan majoriti 646 undi, kebanyakan undi datang dari Sungai Terah, kubu kuat PAS.

"Tapi pada masa itu, beberapa isu telah dapat diatasi. Isu terbesar pada masa itu ialah perumahan.

Kali ini, masalah perumahan sebahagian besarnya diselesaikan oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak yang mengumumkan pembinaan sebanyak 1,500 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Orang Cina dan India akan menerima 750 unit rumah dan selebihnya untuk orang-orang Melayu.

Isu sekolah Cina di Desa Pulai sudah pun ditangani. Mulai sekarang, sekolah itu akan menerima peruntukan kewangan dari kerajaan pusat.

Harta warisan

Untuk masyarakat India di Desa Pulai dengan patung berusia 600 tahun diklasifikasikan sebagai harta warisan, akan menerima peruntukan kewangan dari kerajaan persekutuan," katanya dalam blog sakmongkolAK47.

Mohd Ariff, yang pernah menjadi Ketua Penerangan Umno Bahagian Pekan, kawasan Najib, yakin dengan ramalannya dengan menyatakan bahawa beliau hanya pernah silap sekali sahaja dalam ramalan berhubung keputusan pilihan raya kecil.

"Ramalan itu berhubung keputusan pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor. Pada masa itu, saya meramalkan Zaid Ibrahim akan menang tetapi sebaliknya BN yang menang."

Bagaimanapun ramalan beliau ini tidak menepati pendapat ramai yang merasakan kedua-dua pihak mempunyai peluang 50-50 untuk menang.

Di Galas terdapat seramai 11,553 pengundi berdaftar dengan 127 pengundi pos. Berdasarkan pecahan kaum, terdapat 7,125 Melayu, 2,317 Cina dan 1,889 Orang Asli dan 185 India. Masyarakat Thai di sekitar 10 orang.

Ujar beliau, "saya yakin majoriti masyarakat Cina akan mengundi BN, sekurang-kurang 65% atau 1,500 pengundi. Besar kemungkinan masyarakat India akan mengundi BN, pada sekitar 160 undi.

55% Melayu akan undi BN

"Buat masa ini di sekitar 55% Melayu akan mengundi BN, iaitu 3,900 undi. Kebanyakan Orang Asli, sekurang-kurangnya 75% akan mengundi BN kerana mereka melihat Ku Li sebagai seorang ahli politik yang ikhlas. Ini melibatkan 1,400 undi," tambahnya.

Beliau berkata secara keseluruhannya, BN akan mendapat di sekitar 6,960 undi manakala PAS akan mendapat di sekitar 4,500 undi.

"Berdasarkan pengiraan saya, BN akan memenangi pilihan raya ini dengan majoriti di sekitar 2,300 hingga 2,400 undi," katanya.

Beliau mengunjurkan majoriti 2,000 undi datang dari "Melayu bandar" di sekitar Bandar Baru Gua Musang di Taman Wangi dan penjawat awam.

"Ini termasuk ahli-ahli Umno sendiri yang dahulunya menyokong PAS pada pilihan raya umum 2008," katanya.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List