Bayar Tanah RM 1.4 Juta,Saifuddin Nasution Dedah Nama Ahli Parlimen Lompat PKR

on Mar 10, 2011





Saifuddin menunjukkan salinan dua cek bernilai RM1.4 juta milik 
Gobakrishnan untuk membayar hutang tanah





CERITA 1...... 10 Mac: PKR menggesa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyiasat kewangan ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan yang didakwa mampu membayar segala hutangnya secara tiba-tiba.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail yang merujuk kepada Gobalakrishnan yang bertindak keluar PKR Januari lalu mempersoal keupayaan kewangannya selepas keluar parti, sedangkan beliau sebelum ini diketahui mempunyai masalah kewangan.

Menurut Saifuddin yang juga ahli Parlimen Machang, Gobalakrishnan secara tiba-tiba dapat menjelaskan bayaran pajakan tanah di antara syarikat miliknya, Embun Megah Sdn Bhd beralamat 1525, Kulim Height 3, Kulim Golf and Country Resort, Kedah dengan Kumpulan Pertanian Kelantan Bhd bernilai RM1,401,250,00.

Katanya, bayaran cek Hong Leong Bank masing-masing bernilai RM700,000 bertarikh 12 Januari 2011 dan RM701,250 bertarikh 15 Mac 2011 jelas menunjukkan kemampuan kewangan Gobalakrishnan yang secara berterusan menyerang PKR.

"PKR menggesa Lembaga hasil Dalam Negeri memulakan tugas 'bertanya khabar' keupayaan kewangan beliau yang membolehkan bayaran berjuta ringgit dibuat terhadap urusniaga ini. Dari mana sumbernya? Siapa yang 'bermurah hati' menolong? Urusniaga apa yang dilakukan beliau yang memungkinkan wang sebanyak ini diperoleh?

"Januari dan Mac 2011 adalah kemuncak tempoh serangan, kecaman dan fitnah ahli Parlimen Padang Serai terhadap PKR. Ketika ini jugalah beliau secara tidak semena-mena mampu membayar RM1,401,250 untuk bayaran tanah ini," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Gobalakrishnan pernah menjual rumahnya sendiri, kedai kek isterinya terpaksa ditutup dan kesukaran menjelaskan pelbagai bil-bil lain.
Beliau tabah dan sabar menghadapi situasi itu sehingga memenangi kerusi Padang Serai dengan tiket PKR.

Namun dakwa Saifuddin, Gobalakrishnan mula berubah apabila tiga tahun bersama PKR akibat masalah kewangan dan beliau mula tidak berpuas hati akibat tidak dilantik menduduki jawatan dalam anak-anak syarikat kerajaan negeri yang difikirkan menjanjikan pulangan lumayan.

PKR tegasnya mengulangi pendirian bahawa pengkhianatan keluar parti sejumlah ahli-ahli Parlimen PKR didorong habuan lumayan yang tidak mungkin diperoleh mereka jika kekal dalam PKR.

"Kerana dorongan inilah ramai tewas. Ralatnya mereka mencipta alasan-alasan yang tidak masuk akal untuk menjustifikasikan tindakan khianat mereka.

"Persoalannya ialah jika ahli Parlimen Padang Serai mampu menjelaskan bayaran tanah RM1.4 juta dalam masa tiga bulan, berapa agaknya habuan yang beliau terima sebagai harga pengkhianatan ini?

"Dan kalau 'nilai' ahli Parlimen Padang Serai sejumlah tersebut, berapa pula habuan yang diterima oleh ahli-ahli parlimen Wangsa Maju, Bagan Serai, Kulim Bandar Baharu, Bayan Baru dan Nibong Tebal, 'rakyat hakim terbaik'," katanya.

Sementara itu, ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam terkejut dengan kemampuan Gobalakrishnan membayar hutangnya dan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara itu.

"Saya terkejut dengan kemampuan Gobala. Saya yakin semua yang keluar parti itu dibeli dan seharusnya SPRM menyiasat bagaimana mereka ini boleh menjadi senang secara tiba-tiba," katanya.








CERITA 2......Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyiasat mengenai kemampuan kewangan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan menjelaskan bayaran pajakan tanah di Kelantan bernilai RM1.4 juta.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution mendakwa, pihaknya mempunyai bukti berupa dua salinan cek Hong Leong Bank masing-masing bernilai RM700,000 bertarikh 12 Januari 2011 dan RM701,250 bertarikh 15 Mac 2011.

Menurut Saifuddin, kedua-dua cek berkenaan bagi menjelaskan bayaran pajakan tanah seluas 40.47 hektar di Lojing, Kelantan di antara syarikat milik Gobalakrishnan iaitu Embun Megah Sdn Bhd dengan Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad.

"Adalah aneh secara tiba-tiba Ahli Parlimen Padang Serai dapat menjelaskan bayaran berkenaan sejurus selepas keluar parti dan berterusan menyerang PKR.
"Dari mana sumbernya, siapa yang bermurah hati menolong, urusniaga apa yang dilakukan beliau hingga memungkinkan wang sebanyak itu diperolehnya?

"Januari dan Mac adalah kemuncak tempoh serangan, kecaman dan fitnah Gobalakrishnan terhadap PKR dan ketika ini jugalah beliau secara tidak semena-mena mampu membayar RM1.4 juta untuk bayaran tanah ini," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Khamis.

Gobalakrishnan mengumumkan keluar daripada PKR dan menjadi Ahli Parlimen Bebas pada 29 Januari lalu kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu yang dianggap gagal menyelesaikan masalah kaum India.

Selain itu Saifuddin mendakwa, PKR mengesyaki pengkhianatan beberapa Ahli Parlimennya yang bertindak keluar parti adalah atas dorongan habuan lumayan.
Sementara itu, pada sidang media berasingan, Gobalakrishnan menafikan menerima wang berjumlah RM1.4 juta seperti yang didakwa Saifuddin.

Malah beliau turut bersedia disiasat oleh pihak berkuasa berhubung dakwaan berkenaan.
"Saya sedia untuk disiasat pada bila-bila masa. Saya tidak pernah menerima apa-apa bayaran berjumlah RM1.4 juta daripada mana-mana pihak seperti yang dikatakan mereka.
"Anda boleh periksa tandatangan saya, malah saya tak ada tunaikan apa-apa cek lagi pada tahun ini," katanya.

Menurutnya lagi, syarikat Embun Megah Sdn Bhd yang dimaksudkan Saifuddin bukan miliknya.

"Syarikat itu bukan milik saya, sebaliknya keluarga saya mempunyai kepentingan di dalamnya, bukan saya," katanya.



0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List