BN dibayangi ‘dilema’, Pakatan mula raih sokongan

on Apr 11, 2011




KUCHING, 11 April — Sementara kempen pilihan raya negeri sudah pun melepasi pertengahan jalan, kehadiran pengikut dan penyokong dalam jumlah berbeza pada majlis dihadiri kedua-dua Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan Barisan Nasional (BN) alami “dilemma” menuju hari penentuan Sabtu ini. Jumlah kehadiran jelas memperlihatkan BN, yang memerintah negeri ini sejak lebih empat dekad lalu, seolah-olah berada dalam “mood” yang berbeza.

Lebih 900,000 pemilih akan keluar mengundi Sabtu ini sempena pilihan raya negeri kali ke-10.
Pengundi Sarawak yang lazimnya dilihat sebagai konservatif berduyung-duyung hadir untuk mendengar ceramah pada perhimpunan dihadiri Anwar dan beberapa pemimpin utama Pakatan Rakyat, antaranya Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di kerusi DUN Batu Kawah, yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari pusat bandar Kuching.
Menurut pemerhati sekitar 8,000 orang hadir pada majlis ceramah itu, menyebabkan kesesakan teruk kira-kira dua jam.

Pada masa yang sama, Najib hadir pada majlis bertemu pemimpin 1 Malaysia di Kuching.



Meskipun penganjur majlis itu menggunakan bas untuk membawa orang ramai dari luar kawasan Kuching ke stadium tertutup Majlis Bandaraya Kuching Selatan, hanya sekitar 1,000 pengikut dan penyokong hadir. Setiap hadirin majlis itu diberikan kemeja-T 1 Malaysia dan bendera untik dikibarkan ketika pemimpin-pemimpin kerajaan BN memasuki stadium.

Mengiringi Najib selaku Pengerusi BN ialah lima calon Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), dan pemimpin-pemimpin parti komponen, antaranya Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Selepas Perdana Menteri dibawa masuk ke dewan dengan sambutan permaidani merah, sebahagian pengikut dan penyokong yang dibawa meninggalkan stadium untuk ‘bersiar’siar’ di kawasan stadium. Malah sebahagian lagi hadirin masih berada dalam kenderaan yang digunakan untuk membawa mereka.
Apabila Perdana Menteri mula berucap, hadirin dalam jumlah besar, yang memakai kemeja-T 1 Malaysia mula keluar sedikit demi sedikit dari stadium.

Mereka yang berada di dalam dewan pula memperlihatkan wajah bosan tetapi sekali sekali bertepuk apabila Najib menyampaikan poin-poin yang ‘bersemangat’ dan menarik perhatian.
Sementara Pengerusi BN itu berusaha untuk meredakan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Tan Sri Abdul Taib Mahmud dengan menegaskan bahawa Ketua Menteri Sarawak itu akan melepaskan jawatannya segera selepas pilihan raya, beribu-ribu hadirin yang berkumpul di Batu Kawah bersorak gembira apabila pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat memberitahu penyokongnya supaya percaya bahawa pemimpin itu tidak akan berbuat demikian.

Menurut pemberita yang membuat liputan ceramah di Batu Kawah, Anwar menerima sokongan besar daripada hadirin.

Dalam ucapannya, Ketua Pembangkang itu meminta rakyat negeri Sarawak supaya percaya pada Pakatan Rakyat dan pemimpin-pemimpinnya sambil menambah bahawa “Pek Moh”, istilah Hokkien yang digunakan untuk menggambarkan Taib dan pemimpin dalam kerajaan, supaya belajar daripada kepimpinan Lim, Nik Aziz dan pemimpin-pemimpin yang lain.

“Mereka tidak pernah mencuri tanah rakyat,” kata beliau.

Anwar membawa pengalaman kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang dengan mengatakan bahawa di “Selangor, anda mendapat air percuma tetapi di Sarawak, hanya air hujan yang percuma.”
Rakyat Sarawak akan keluar mengundi Sabtu ini, persekitaran yang cukup getir bagi BN manakala Pakatan Rakyat memperlihatkan peningkatan sokongan.

Sementara pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mengakui bahawa BN akan mempertahankan negeri bumi Kenyalang ini, tetapi ramai juga berpandangan bahawa pihaknya akan mengurangkan jumlah kerusi dimenangi perikatan itu.

Kini, BN mempunyai 63 kerusi di Dewan Undangan Negeri manakala DAP enam, PKR dan Parti Cinta Malaysia masing-masing satu.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List