BN HILANG 2/3 MAJORITI DI SARAWAK.......???

on Apr 16, 2011






"MUSIBAH bakal menimpa SUPP. BN akan tumpas di kesemua 5 kerusi (BN) di Kuching. Dua kerusi di Sibu akan jatuh. (Wong) Soon Koh (bertanding di Bawang Assan) hampir tenggelam hari demi hari. Hanya Thai King (Tiong Thai King - Dudong) nampak selamat. Di Miri, hanya Lee Kim Shin (bertanding di kerusi Senadin) boleh selamat, Andy (Chia Chu Fatt - kerusi Pujut) dan George (Chan - Piasau) akan ke tali gantung. Repok (David Teng) akan turut jatuh. Meradong BN akan menang. Ngemah BN akan tewas." 

Itulah SMS yang Jelapang terima hari ini dari orang kuat PBB di Sarawak. Hayat SUPP akan berakhir di Sarawak sepertimana berakhirnya hayat Gerakan di Pulau Pinang.

Kalau mengikut firasat BN Sarawak, BN akan tewas di 15 kerusi (Padungan, Ngemah, Pending, Batu Kawa, Bawang Assan, Kota Sentosa, Batu Lintang, Telang Usan, Kidurong, Ba'kelalan, Repok, Meradong, Bukit Assek, Pelawan dan Dudong).

Sementara BN dan Pakatan Rakyat mempunyai peluang 50-50 di 15 kerusi lain (Engkili, Beting Maru, Saribas, Piasau, Pujut, Batang Ai, Pelagus, Semariang, Belaga, Batu Danau, Bengoh, Kedup, Sadong Jaya, Jemoreng dan Nangka).

BN yakin menang di 41 kerusi selebih. Seperti kata Najib Razak, pilihanraya negeri kali ini paling sengit dalam sejarah politik Sarawak.

Malah Najib tidak merasa segan untuk menyatakan sasaran BN sekadar untuk mendapat majoriti mudah dan sekiranya BN mendapat majoriti 2/3, ianya satu bonus buat BN. Mustahil Pakatan Rakyat boleh merampas Sarawak. Tetapi tidak mustahil, BN hilang 2/3 majoriti dalam pilihanraya kali ini.

Liabiliti paling besar ialah Taib Mahmud yang menjangkau 30 tahun sebagai Ketua Menteri. Isu pembangunan cukup sensitif di Sarawak.

BN menghadapi masalah menyakinkan pengundi dengan modal pembangunan. Mudah buat pembangkang untuk mematah modal pembangunan.

Yang selama ini tinggal di rumah panjang, taraf kehidupan masih tidak berubah, mereka masih lagi tinggal di rumah panjang. Kalau pun ada pembangunan, kontrak menjadi rebutan hak pembesar negeri tertentu. 

Pertama kali dalam sejarah, kalau kita ke pekan-pekan, pengundi tidak segan silu mengherdik Ketua Menteri dan pemimpin-pemimpin parti pemerintah.

Suasana yang sama berlaku di Kelantan dan Terengganu dulu dan akhirnya kedua-dua negeri jatuh ke tangan pembangkang. Begitu juga di Pulau Pinang dan Selangor.

Tetapi keputusan Sarawak kali ini akan lebih getir buat Najib. Selama ini Najib dihidangkan dengan berita-berita indah oleh orang-orang di sekeliling beliau. Keputusan Sarawak pasti akan menjadi igauan Najib dan Umno.

Tanda-tanda sudah kelihatan bahawa Pakatan Rakyat akan menang lebih dari 15 kerusi - satu jumlah yang satu ketika dulu tidak mungkin menjadi satu kenyataan. Ia akan menjadi igauan Najib kerana sekiranya diadakan pilihanraya umum sekarang, BN tidak boleh lagi menaruh harapan dari kerusi Parlimen di Sarawak sebagai fixed deposit untuk terus berkuasa di Parlimen.

Salah siapa? Salah Taib Mahmud? Tidak.

Najib? Ya, salah Najib.

Seharusnya Najib lebih bertegas dalam menangani isu Ketua Menteri Sarawak. Tun Dr Mahathir semalam menyatakan kebimbangan takut-takut apa yang berlaku di Terengganu akan berlaku di Sarawak disebabkan oleh keengganan Menteri Besar Terengganu Wan Mokhtar Ahmad pada masa itu untuk mengundurkan diri.

Masalah dengan Mahathir ialah, sepertimana beliau menulis di dalam memoir beliau, beliau hanya menulis separuh benar sementara yang separuh disembunyikan beliau.

Di kalangan pemimpin Umno, ramai mengetahui bahawa keputusan mengekalkan Wan Mokhtar di Terengganu adalah keputusan Mahathir selepas Wan Mokhtar merayu kepada beliau. Hatta, kekalahan Umno di Terengganu bukan hanya berpunca dari Wan Mokhtar, malah Mahathir perlu juga bertanggungjawab dengan kekalahan Terengganu di bawah pentadbiran beliau.

Bagi negeri Sarawak, kita tak perlu menangis sekiranya BN kehilangan banyak kerusi esok. Kalau dulu Umno di bawah Pak Lah dikatakan angkuh dan bongkak, Taib Mahmud berkali ganda lebih pada itu. 

Kita masih lupa bahawa hak menentukan siapa Kerajaan kini milik rakyat. Untuk mereka yang mudah lupa, kita ingin ingatkan bahawa hari ini bukan lagi sama seperti di tahun 70an. Hari ini, kuasa adalah di tangan rakyat.

Kalau rakyat mahukan BN, BN akan memegang kuasa. Kalau rakyat mahukan orang lain, orang lain akan memerintah. Sesiapa yang memenuhi kehendak rakyat, maka dia lah akan terpilih.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List