Setibanya kami di pejabat DAP Kuantan pagi itu, kelibat polis telah kelihatan. Lori lokap polis juga telah bersedia menunggu di situ. Jam 11 pagi, ramai orang termasuk warga emas dan kanak- kanak yang berhimpun untuk menyatakan bantahan terhadap projek Lynas tersebut. Keadaan menjadi sedikit tegang apabila pihak polis mula campur tangan.
Kami bukan degil dan enggan bersurai. Bukan juga untuk berlagak wira. Cuma sedikit diplomasi ditagih. Sebenarnya kami bersedia untuk bersurai jika diberi sedikit kebebasan bersuara. Sebaik sahaja kami berempat mempamerkan kain rentang yang berlogo radiasi lalu berbaring di atasnya untuk membuat satu symbol “X” yang bermaksud bantahan, dalam masa 10 saat polis mengeluarkan arahan dengan berkata: “Angkat empat orang ini”. Kami dibawa naik ke dalam lori lokap. Semasa tiba di balai polis Kuantan, tangan kami digari.
Kami bertanya: ”Kenapa kami digari? Kami bukannya pengganas”. Kemudiannya kami diberitahu bahawa ini adalah prosedur biasa untuk menjaga keselamatan polis sekiranya berlaku cubaan melarikan diri.
Sementara menunggu, polis meminta kami untuk menjalani ujian air kencing. Kami menolak lalu bertanya:”Kenapa nak buat urine test? Kami bukan terlibat dalam kes dadah ”, tetapi polis mendakwa kononnya ia prosedur baru. Mujurlah salah seorang kawan kami adalah peguam menegas bahawa permintaan tersebut adalah tidak munasabah, jadi polis pun mengalah.
Seorang polis yang tidak memakai pakaian seragam datang untuk bermesra. Kami terkejut kerana dia berceramah pula dengan kami seperti mahu ”brain wash” kami.
Antara lain dia berkata: ”Saya rasa pelik, kamu masih muda tetapi kamu semua memilih jalan silap, kenapa nak buat bantahan begini? Negara kita aman… Sini bukannya Jepun. Jepun ada gempa bumi, itu bencana alam… Australia menolak projek tersebut tentu ada alasannya, dan kerajaan kita menerimanya juga mesti ada sebabnya, kenapa nak buat bantahan? Saya tak faham… kehidupan orang Cina pun agak baik di sini, kamu dapat banyak barang di sini, kamu ingat kamu akan dilayan begitu baik di luar negara?.”
Kemudian Ketua Polis Dearah Kuantan OCPD Jasmani Yusoff pula menjemput kami duduk mendengar satu lagi ceramah yang panjang lebar. Yang dia tegaskan ialah polis menerima banyak aduan kerana aksi bantahan kami telah menghalang lalu lintas.
Selepas itu, kami diiringi ke pejabat polis yang berkenaan untuk mengambil kenyataan. Kami meninggalkan balai polis atas jamin mulut kira-kira pukul 4.30 petang dan diminta kembali ke Kuantan pada 15 Jun ini. Saya menelefon ibu dan ayah. Saya bimbang kesihatan mereka kalau-kalau mereka terkejut besar. Sebaliknya, semangat saya naik semula apabila ayat pertama dari ayah dalam telefon adalah: ”Adakah kamu jelaskan kepada polis apa yang kamu buat hari ini adalah demi nyawa dan kesihatan anak-anak mereka? ”
Mengimbas kembali soalan-soalan polis, ada dua soalan yang saya rasa aneh dan pelik. Pertama: ”Adakah anda akan dapat elaun?” dan kedua: ”Adakah anda tolak kemajuan?”
Saya berasa sedih dan resah dengan soalan pertama. Apa yang saya buat adalah secara suka rela. Adakah seorang rakyat prihatin yang rela ditahan mendapat elaun? Ini mengingatkan saya kepada seorang makcik yang memakai T-shirt Barisan Nasional semasa kempen di satu pilihan raya kecil yang bertanya: ”Berapakah bayaran yang kamu dapat daripada pembangkang?”. Nampaknya dalam hati sesetengah orang, apabila kita berbuat sesuatu demi keadilan dan kebaikan masyarakat tanpa dibayar akan dianggap bodoh dan dungu.
Bagi soalan kedua, saya menjawab dengan penuh keyakinan: Kemajuan tidak boleh menggadai nyawa dan kesihatan.
Dalam hal ini, kita perlu mengkritik kerajaan yang sanggup menggadaikan maruah, menjejaskan kesihatan rakyat semata- mata untuk memperolehi keuntungan jangka pendek.
Bagi projek yang terbesar di dunia yang melibatkan bahaya radiasi dengan satu cadangan pengurusan sisa buangan yang besar, (kemudahan) simpanan dan pembuangan, Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) Lynas diluluskan dalam masa tidak sampai satu bulan sahaja. Begitu pantas sekali. Sedangkan rakyat kita yang terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk mendapat kelulusan tanah, hak milik dan sebagainya.
Kita juga perlu mengritik pelabur Australia Lynas yang cuba mengenepikan Basel Convention (persetujuan antarabangsa yang mengharamkan eksport atau import sisa bertoksid). Mereka merancang untuk mengimport bahan mentah untuk diproses secara sah lalu mengambil peluang ini untuk membuang sisa-sisa beradioaktif di luar negara.
Isu ini juga melibatkan ekonomi. Nadir bumi adalah elemen yang penting bagi produk berteknologi tinggi dan senjata moden. Oleh sebab pelombongan nadir bumi sentiasa membawa kesan buruk kepada alam sekitar, kebanyakan negera maju tidak melombongnya. Jadi, jikalau Lynas tidak memilih Malaysia sebagai tapak pelaburan, ia juga mungkin memilih negara kurang maju yang lain. Sedangkan kerajaan selalu kata Malaysia adalah negara wira dunia ketiga.
Dalam gerakan alam sekitar seperti kempen anti-nadir bumi, anti-nuklear dan anti-radiasi, isu yang paling ketara adalah “ketidakadilan alam sekitar” atau environmental injustice; sebahagian orang terpaksa menanggung risiko ancaman alam sekitar manakala sebahagian lagi menikmati pembuatan produk canggih tanpa membiayai kos externalityseperti kos pemulihan dalam pembangunan masyarakat selepas alam sekitar dimusnahkan.
Dalam isu Lynas ini, apa yang kita perlu sedari adalah kerajaan kita dan korporat Lynas telah mencapai satu persetujuan melalui pendekatan yang tidak telus dan tidak demokratik. Janganlah terus memujuk rakyat dengan mengatakan bahawa semua ini adalah ”kemajuan” sedangkan keselamatan nyawa, kesihatan dan kehidupan rakyat telah diabaikan.
Kita perlu tegas bertanya: Mengapakah kepentingan kita sebagai invidu dan rakyat Malaysia perlu dikorbankan? Dan diketepikan untuk siapa?
oleh Thing Siew Shuen
0 comments:
Post a Comment