Dalam tempoh kurang setahun, Sekolah Harapan di Melaka memberikan perlindungan kepada 80 gadis remaja hamil di luar nikah dan 59 bayi selamat dilahirkan.
Itu antara fakta dicatatkan dalam laporan akhbar Kosmo hari ini.
Wow!
Melihat statistik itu, pelbagai perkara spontan berlegar di fikiran.
Adakah fakta itu dilihat sebagai satu kejayaan?
Lazimnya remaja perempuan terlanjur kerap kali bertindak di luar dugaan. Zuriat mereka berkebarangkalian cuba dilupuskan, bertujuan mengelak diri dan keluarga dicerca oleh masyarakat. Justeru tidak hairanlah jika sebelum ini, bayi samada hidup atau mati antaranya ditemui di dalam longkang, terapung di kolam, terperosok di dalam mangkuk tandas, berbungkus kain pelikat di ruang legar masjid, diurung semut di dalam tong sampah dan kesejukan di halaman rumah.
Sebaik terbaca paparan akhbar terbabit, secara automatik saya teringatkan peristiwa berlaku pada 15 Ogos tahun lalu.
"Jumpa mayat bayi dekat Segi College," ujar kenalan, anggota polis berpangkat Sarjan.
Maklumat awal berhubung kes itu, saya kongsikan di sini.
Beberapa bulan kemudian saya cuba mencungkil maklumat berhubung kes terbabit. Difahamkan, ayah kepada bayi cuba dicampakkan ke dalam longkang besar buatan manusia itu dikatakan warga asing. Manakala ibunya, gadis tempatan berasal dari Felda di Pahang. Namun hingga ke saat ini saya tidak dapat mengesahkan status kebenaran dakwaan itu.
Jika mempunyai waktu terluang, sila baca tampalan lain berhubung kes pembuangan bayi, di sini dan di sini.
Hemat saya, bilangan remaja hamil dimasukkan ke Sekolah Harapan berkadar terus dengan tahap keruntuhan moral generasi muda masa kini namun segelintir mereka teperangkap, berstatus mangsa.
Tanpa pergaulan bebas sekalipun, mereka tidak terhindar hamil anak luar nikah. Di rumah, mereka menjadi mangsa haruan makan anak. Mangsa kerakusan nafsu serakah ayah, ayah tiri atau adik beradik lelaki mereka sendiri. Kes terbabit berulang kali dilaporkan oleh media sebelum ini. Malahan lebih haram jadah, lelaki bergelar datuk, berjalan terhinggut hinggut juga didapati turut melampiaskan nafsu, sanggup merogol cucu sendiri sehingga melahirkan anak.
Ringkasnya, jika di rumah keselamatan sebilangan gadis remaja didapati tidak terjamin apatah lagi seandainya mereka dibiarkan bebas bergaul tanpa batasan di luar rumah.
Setakat ini kita melihat pihak berkuasa bertindak secara reaktif bukan proaktif. Jabatan Kebajikan Masyarakat contohnya, sekian lama memberikan khidmat perlindungan kepada remaja hamil di luar nikah. Kelompok sama juga dimasukkan ke rumah perlindungan, sementara menunggu anak di dalam kandungan dilahirkan. Dalam tempoh beberapa bulan, remaja terbabit tidak berpeluang meneruskan pendidikan berbanding jika mereka dihantar ke Sekolah Harapan.
Hemat saya, perasaan malu dan gangguan emosi tidak begitu ketara jika mereka ditempatkan di sekolah terbabit kerana kesemua pelajar berkongsi status sama, ibu anak luar nikah.
Saya bersyukur berikutan tindakan pihak kerajaan negeri Melaka mewujudkan Sekolah Harapan, sekolah memberikan peluang kedua kepada remaja terbabit meneruskan kehidupan dalam keadaan lebih selesa sekaligus memberikan mereka ruang untuk menginsafi keterlanjuran masa lalu.
Apapun, itu tidak bermakna ibu bapa harus bersikap lepas tangan dalam usaha mengekang gejala sosial sentiasa mengintai peluang untuk menjerumuskan anak remaja kita.
kredit :- http://www.mazidulakmal.com
0 comments:
Post a Comment