Sejak 1511 negara kita sudah dijajah oleh Portugis, Belanda, British, Jepun dan British lagi sehingga negara kita mencapai kemerdekaan pada 1957. Selama rakyat kita tertakluk kepada penindasan dan pemerasan penjajah, maka selama itulah akan wujudnya gerakan antipenjajah oleh pejuang-pejuang negara kita.
Tiada penjajah yang akan melepaskan kepentingannya dalam tanah jajahannya secara suka rela dan aman. Justeru, dalam perjuangan menentang penjajah, tiada kemenangan yang akan dicapai tanpa pengorbanan. Demikian jugalah halnya dengan pencapaian kemerdekaan negara kita.
Pemimpin Umno sering suka menggembar-gemburkan bagaimana kemerdekaan negara kita telah dicapai tanpa mengalir setitik darah pun.
Padahal banyak pengorbanan (termasuk darah dan nyawa) telah ditanggung oleh wira-wira anti-British kita seperti Mat Kilau, Tok Gajah, Datuk Bahaman di Pahang, Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Tok Janggut di Kelantan, Datuk Maharajalela dan Si Puntong di Perak, Dol Said di Negeri Sembilan/Melaka dan puluhan pimpinan yang lain yang kini lenyap dari sejarah seperti disebut oleh Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Lebih dekat lagi, perjuangan anti-Jepun dan anti-British yang dilancarkan oleh Parti Komunis Malaya (PKM), Pusat Tenaga Rakyat yang terdiri daripada Parti Kebangsaan Melayu Malaya, Angkatan Pemuda Insaf, Angkatan Wanita Sedar dan Hizbul Muslimin, serta All Malayan Council of Joint Action (AMCJA) yang merupakan gabungan yang diterajui Malayan Demokratic Union dan lain-lain.
Bila Dr. Burhanuddin, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Mohammad, Moktaruddin Lasso, Abdullah C.D., Rashid Maidin dan lain berjuang menentang penjajah British pada 1930-an dan 1940-an. Begitu juga, ketika PKM melancarkan perjuangan anti-British pada masa yang sama dan selanjutnya memimpin perang antipencerobohan Jepun pada 1942-45, Umno masih belum lahir lagi.
Memang benar perjuangan Umno tidak melibatkan pengaliran darah walau setitik pun. Namun ratusan ribu pejuang dan rakyat biasa yang tidak berdosa telah berkorban dalam proses perjuangan anti-British dan perang anti-Jepun.
British kembali ke Tanah Melayu selepas Jepun menyerah diri dan tamatnya Perang Dunia Kedua. Cadangan Malayan Union telah dikemukakan untuk tujuan memindahkan kuasa menjalankan undang-undang oleh sultan kepada pihak penjajah British, memisahkan Singapura daripada Semenanjung Tanah Melayu serta memberi kerakyatan kepada bukan Melayu.
Di satu pihak, gabungan PUTERA-AMCJA yang merupakan gerakan perjuangan rakyat telah mengemukakan cadangan Perlembagaan Rakyat untuk menggantikan cadangan Malayan Union yang menimbulkan kontroversi hebat pada 1946.
Perlembagaan ini merupakan hasil perbincangan antara Dr. Burhanuddin, Ishak Muhammad, Tan Cheng Lock. J.A. Thivy, Ahmad Boestamam, Chan Loo dan Gerald de Cruz, yang bisa diterima oleh semua bangsa.
Prinsip-prinsip utama Perlembagaan Rakyat adalah seperti berikut:
— Singapura hendaklah disatukan dengan Tanah Melayu
— Satu kerajaan pusat dan majlis-majlis negeri yang dipilih
— Raja-raja Melayu akan mempunyai kuasa yang sebenar bertanggungjawab kepada rakyat melalui Majlis Mesyuarat
— Satu perlembagaan baru bagi Tanah Melayu, menyediakan keistimewaan tertentu bagi kemajuan orang Melayu dari segi politik dan ekonomi
— Adat istiadat Melayu dan agama Islam dikawal sepenuhnya oleh orang Melayu melalui Majlis Khas
— Kerakyatan yang serata bagi semua orang yang menganggap Tanah Melayu sebagai tempat tinggal tetap dan sanggup merubahkan kesetiaannya tanpa berbelah bahagi
— Bahasa Melayu haruslah menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal bagi Tanah Melayu
— Pertahanan dan hal ehwal luar negeri haruslah menjadi tanggungjawab bersama kerajaan Tanah Melayu dan kerajaan British
— Kerakyatan Tanah Melayu haruslah dinamakan Melayu
— Merah putih haruslah dimasukkan sebagai latar belakang bendera kebangsaan Tanah Melayu
Maklumlah cadangan Perlembagaan Rakyat telah pun ditolak oleh penjajah British, yang sedia bekerjasama dengan Umno melalui cadangan Perlembagaan Persekutuan demi menjaga kepentingan British.
Bila British menguatkuasakan Akta Darurat 1948, dianggarkan sejumlah 5,362 orang pejuang anti-British telah ditangkap dan dipenjarakan di kem-kem tahanan politik penjajah.
Malah statistik yang diperoleh dari Pejabat Tanah Jajahan menunjukkan bahawa jumlah tahanan darurat sepanjang 1948 hingga 1960 mencecah 29,857 orang.
Tidak dapat dinafikan bahawa Umno telah bersekongkol dan mewarisi dasar-dasar penjajah British yang tidak demokratik dan antirakyat terutamanya dalam perkara-perkara berikut:
— Menyokong penguatkuasaan Akta Darurat 1948 untuk menindas perjuangan menuntut kemerdekaan yang dipelopori oleh PKM dan gabungan PUTERA-AMCJA
— Bersubahat dengan penjajah British untuk menggagalkan Rundingan Damai Baling pada 1955
— Mewarisi dan melaksanakan undang-undang zalim untuk menindas parti-parti pembangkang amnya, dan khasnya parti-parti berfahaman kiri, termasuk Parti Buruh Malaya, Parti Rakyat Malaya dan Parti Sosialis Malaysia
— Tidak mengaku sumbangan gerakan perjuangan politik kiri yang telah banyak berkorban dalam perjuangan mereka
— Terus merupakan kuasa reaksioner yang merintangi proses pendemokrasian dan reformasi politik negara kita
Demi menafikan perjuangan menentang penjajah British dan sumbangan politik kiri, Prof Dr Zainal Kling dengan alasan teknikal cuba menegakkan benang basah — Tanah Melayu tidak pernah terjajah oleh British.
Majlis Profesor malah menegaskan bahawa perjuangan gerakan politik kiri, termasuk komunis bukan perjuangan kemerdekaan di Tanah Melayu.
Sebaliknya dianggap “penderhakaan” kerana kononnya mahu menghapuskan kuasa-kuasa Melayu di Tanah Melayu dan mahu menubuhkan kerajaan republik. Bukankah kuasa-kuasa dan kedudukan istimewa Melayu telah pun terjamin oleh Perkara-Perkara 3,4,5 dan 7 cadangan Perlembagaan Rakyat itu.
Padahal sumbangan PKM dalam mempercepatkan proses pencapaian kemerdekaan negara kita telah pun diakui kerajaan Malaysia melalui ketua delegasi perunding, Rahim Noor di Phuket menjelang penandatanganan Perjanjian Haadyai 1989.
Kata Rahim Noor: “Malaysia tidak menafi atau mempertikaikan sumbangan PKM dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Sedangkan sekadar mana sumbangan ini, tak payahlah berbahas dalam forum ini. Isu ini boleh ditinggalkan bagi ahli-ahli sejarah.”
Jika kerajaan Malaysia tidak menafi dan mempertikaikan sumbangan PKM dalam perjuangan menuntut kemerdekaan negara, kenapa mengeksploitasikan ulasan Mat Sabu mengenai Mat Indera untuk melancarkan kempen anti-PKM secara besar-besaran dan sepihak, tanpa diberi peluang yang adil bagi pihak PKM membela diri?
Malah disiarkan karikatur dan keterangan yang amat melampau untuk membakar sentimen kaum dan agama agar menimbulkan perasaan dendam terhadap PKM.
Adakah Perjanjian Haadyai sudah dicampak ke dalam jamban? Tidakkah kempen antikomunis yang kegila-gilaan ini akan menjejaskan hubungan baik antara negara kita dengan komunis China, negara komunis yang dianggap oleh Perdana Menteri kita sebagai komunis yang baik?
Di bawah pemerintahan lebih setengah abad oleh Umno-BN yang mewarisi dasar-dasar menindas dan antirakyat penjajah British, yang hingga sekarang masih terus memusuhi pejuang-pejuang tulen yang telah pun banyak berkorban dan memberi sumbangan kepada pencapaian kemerdekaan negara kita, jelas sekali membuktikan kemerdekaan seperti ini masih belum dimiliki rakyat jelata.
Dalam konteks ini, proses kemerdekaan negara kita pada hal masih belum selesai lagi.
0 comments:
Post a Comment