Seorang penoreh getah maut disambar petir ketika berteduh daripada hujan di dalam rumah rakit berhampiran sangkar ikan milik bapa saudaranya di Kampung Batangan, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, mangsa, Mohd Farizuddin Adnan, 27, bersama seorang sepupunya dilaporkan berlindung di rumah rakit tersebut setelah hujan lebat ketika mereka sedang melakukan kerja mengangkat pukat.
Menurut sepupu mangsa, Muhammad Hairi Syahiddin Mohd, 18, ketika kejadian dia dan sepupunya masuk kedalam rumah rakit tersebut untuk berlindung sebelum tiba-tiba kedengaran bunyi petir yang kuat.
"Saya mendengar bunyi dentuman petir yang kuat dan saya berpaling ke belakang melihat badan arwah terbakar, saya bergegas memanggil ayah yang berada di luar rumah ketika itu dan cuba memadam api di badan mangsa."
"Setelah api berjaya dipadamkan kami bergegas membawa arwah ke klinik kesihatan berhampiran namun arwah disahkan meninggal dunia," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.
Sementara itu, ibu mangsa, Zainun Hitam, 52, berkata anak keduanya itu keluar rumah selepas waktu Asar dan dia menyangkakan anaknya pergi menoreh getah.
Namun dia terkejut apabila dimaklumkan anaknya disambar petir dan terus bergegas ke tempat kejadian sebelum menemui anaknya dalam keadaan badan sebelah kiri hangus terbakar.
"Sebelum ini arwah ada menunjukkan sikap pelik apabila pergi makan nasi ke rumah neneknya di mana sebelum ini arwah tidak pernah berbuat demikian," katanya.
Kejadian ribut petang semalam turut menyebabkan beberapa buah rumah di kampung berkenaan rosak dipukul ribut. - Bernama
0 comments:
Post a Comment