Anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali mengumumkan akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 ini namun belum menetapkan kawasan yang akan ditandinginya.
Beliau berkata sama ada dirinya akan mewakili mana-mana parti, atau terus kekal sebagai calon bebas, juga akan ditentukan kemudian.
"Mungkin juga akan bertanding di Pasir Mas (untuk mempertahankan kerusi) dan itu nanti akan diumumkan kemudian," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan masyarakat Cina di Pasir Mas malam tadi.
Dalam pilihan raya umum 2008, beliau memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas sebagai calon bebas menggunakan tiket PAS setelah menewaskan calon BN, Datuk Ahmad Rosdi Mahmad dengan majoriti 8,991 undi.
Ibrahim yakin sokongan masyarakat terhadapnya tidak susut, terutama bukan Melayu, walaupun beliau kini menerajui Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang dilihat sesetengah pihak sebagai mewakili satu bangsa sahaja.
"Anda boleh lihat sokongan masyarakat Cina di sini dan saya rasa faktor sokongan ini juga antara faktor untuk saya bertanding," katanya. Bernama
0 comments:
Post a Comment