Seburuk-buruk Pakatan Rakyat, ia jauh lebih baik dari BN

on Feb 15, 2012







Untuk mentadbir dan menjaga serta mengurus sebuah negara ia memerlukan sebuah kerajaan yang berkemampuan untuk membawa rakyat hidup dalam keadaan aman dan sentosa. Bagi sesebuah negara yang majmuk seperti Malaysia ini ia memerlukan lebih usaha untuk menjamin rakyat yang menghuni dan mendiami negara ini tidak berpecah belah dan bermusuh-musuhan, sebaliknya bersatu dalam erti kata yang sebenarnya.

Maksudnya rakyat harus dan sentiasa ikhlas dan menghormati diantara satu dengan lain, memahami kehendak dan perasaan jiran tetangga yang terdiri dari kaum yang berbilang-bilang dan cara hidup yang berbeza-beza di antara satu dengan yang lain.

Kerajaan wajar menghormati setiap gulungan dan jangan menganggap ada pihak-pihak yang dianggap tidak mampu berfikir dan mempunyai perasaan dan terus sahaja melakukan perkara-perkara yang tidak digemari mereka.

Kita telah memilih untuk mempraktikan kerajaan sistem demokrasi. Sistem yang mana kerajaan yang dipilih oleh rakyat, untuk rakyat dan kita bersetuju untuk menerima mana-mana pihak yang berada di dalam hati rakyat. Semua pihak juga patut menerima mana-mana pihak yang menggantikan parti atau pimpinan yang menyandang jika rakyat memikirkan ia patut dialih dan dianjak.

Rakyat boleh menukar kerajaan jika rakyat merasakan yang kerajaan telah dipilih itu sudah tidak lagi sesuai untuk diberi mandat dan itu pun asas demokrasi yang mana-mana negara amalkan termasuk bagi negara kita ini. Adalah tidak wajar dan bertentangan dengan semangat dan amalan demokrasi jika pihak yang memerintah itu menganggap yang kuasa dan mandat itu hanya untuk satu pihak sahaja semata-mata kerana mereka telah diberikan mandat sebegitu lama.

Semasa saya masih bersekolah salah seorang dari saudara yang dianggap dekat bertanyakan kepada saya apakah cita-cita saya setelah besar. Saya menjawab jika ada pilihan saya mahu menjadi seorang guru walaupun akhirnya saya tidak menjadi apa-apa. Saudara saya itu menasihatkan saya jika saya menjadi guru dan menjadi guru besar, jangan tunggu di satu sekolah itu lama-lama, nanti saya akan menganggap sekolah itu saya yang punya dan saya akan menganggap orang lain tidak ada hak untuk mengetuai sekolah itu.

Itulah sebabnya setengah pihak berfikir yang negara ini hanya mereka yang punya, dan pihak lain tidak ada hak ke atas negara ini semata-mata kerana mereka berfikir negara ini sudah kepunyaan mereka. Mereka ini telah memerintah negara sebegitu lama sehinggakan orang lain tidak ada hak untuk bersama menawarkan perkhidmatan dan pentadbiran yang lebih baik. Pihak lain dianggap sebagai penumpang dan tidak boleh berbuat apa-apa yang mereka tidak gemari sedangkan sikap angkuh dan sombong mereka itu merupakan sikap yang tidak digemari oleh pihak lain.

Dalam mempertahankan kuasa yang mereka anggap hak mutlak mereka, mereka sanggup melakukan apa sahaja secara ‘high handed’ dan akan membentuk persepsi buruk melalui agensi-agensi dibawah mereka yang berkuasa untuk memomokan pihak yang lain. Mereka boleh melakukan apa sahaja yang salah dengan sewenang-wenangnya tanpa segan silu.

Disebaliknya mereka akan mencari segala kesalahan dan kesilapan kecil pihak yang menentang mereka seperti mencari kutu dalam rambut. Bagi mereka ini hanya mereka sahaja yang berhak untuk melakukan kesalahan tanpa had dan pihak lain hanya diminta untuk berdiam diri dan menganggukkan kepala seperti burung balam.

UMNO mempunyai sikap yang saya sebutkan ini yang menebal. Dengan menggunakan Utusan akhbar kepunyaannya, sering melemparkan tuduhan-tuduhan yang amat jahat yang tidak masuk akal terhadap pihak lain khususnya terhadap parti-parti pembangkang. Utusan telah memainkan isu rasis dengan penuh kejayaan selama ini sehinggkan rakyat termakan dan menerima apa yang dikatakan oleh Utusan itu sebagai betul dan benar.

Tetapi Alhamdulillah, sekarang ini akbar itu telah dianggap hanya sebagai sebuah ‘party organ’ untuk UMNO dan apa yang diperkatakan oleh Utusan itu sudah tidak diterima oleh rakyat secara bulat-bulat lagi. Dengan perkembangan minda dan pemikiran rakyat terutamanya dibandar-bandar dan pinggiran bandar, rakyat sudah mula mempunyai persepsi yang buruk terhadap akbar ini. Akhbar ini sudah menjadi ‘musuh’ kepada mereka yang berfikir yang mempunyai pemikiran dan pandangan terhadap sesuatu isu yang berbangkit secara objektf.

Utusan sudah dipersepsikan oleh rakyat sebagai sebuah organ UMNO yang ditugaskan untuk memainkan isu rasis dan menakut-nakutkan orang Melayu untuk berbaik-baik dengan pihak lain terutamanya terhadap bangsa bukan Melayu. Utusan tahu yang orang kuat UMNO (OKU) hanya akan mampu untuk bertahan jika ada perselisihan faham di antara kaum. Lebih bergolak perhubungan di antara kaum lebih mudah untuk UMNO terus menggunakan isu untuk mendapatkan kuasa yang berterusan. Tektik pecah dan perintah itu merupakan makanan UMNO sejak berdekad-dekad yang lalu. Selama ini jika tidak ada perpecahan UMNO susah lama terkubur.

UMNO yang didukung oleh Utusan tidak suka kepada kebaikan lebih-lebih lagi jika kebaikan itu dilakukan oleh pihak lain khususnya parti yang mereka musuhi. UMNO sudah tidak mengenali lagi yang mana yang baik dan yang buruk. UMNO sudah mengidap penyakit rasuah tegar. Hampir kesemua pemimpin UMNO adalah orang kaya raya yang tidak ada hadnya.

Hampir kesemua projek dibawah pimpinan dan kementerian yang mereka ketuai mesti ada elemen atau bahagian untuk kepentingan pemimpinnya. Jika tidak dapat menerima rasuah, tidak senang hidup mereka. Mereka menganggap kegagalan untuk mendapat habuan sampingan dari projek-projek pembangunan negara itu, mereka akan dianggap sebagai pemimpin yang gagal. Rasuah dan UMNO itu sudah dianggap sebagai ‘aur dengan tebing’, saling menyandar di antara satu dengan lain. Rasuah tidak akan berkembang tanpa UMNO dan UMNO tidak akan kuat tanpa rasuah. Begitulah keadaan sekarang.

UMNO begitu cemas apabila parti-parti lain yang memerintah beberapa buah negeri telah menunjukkan prestasi yang menggalakkan. UMNO sudah ‘kantoi’ apabila rakyat telah dapat membuktikan yang kerajaan-kerajaan di bawah PR telah menujukkan prestasi yang secara relatifnya jauh lebih baik dari pentadbira UMNO dan BN. UMNO begitu meluat melihat kejayaan Lim Guan Eng mentadbir Pulau Pinang dengan bersih, cekap dan amanah. Selama ini bersih, cekap dan amanah itu hanyalah nyanyian retorik pimpinan UMNO sahaja tanpa membuahkan apa-apa kejayaan. DAP pula terpaksa menjayakan segala slogan anjuran Dr Mahathir dahulu.

Begitu juga kerajaan pimpinan TS Khalid Ibrahim yang telah berjaya untuk membentangkan bajet yang ‘surplus’ dan tidak ada pemimpin Selangor PR Selangor yang terlibat dengan pembinaan rumah puluhan juta ringgit dan melakukan skandal besar seperti PKFZ yang merugikan rakyat sebanyak RM12 billion itu. TS Khalid mungkin kurang pandai untuk berpolitiking, tetapi pentadbiran Selangor jauh lebih kemas sekarang jika dibandingkan dengan pentadbiran BN dahulu. Jarang kita mendengar TS Khalid membuat kenyataan politik kerana beliau sibuk membersihkan kekhilafan yang dilakukan oleh kerajaan BN dahulu.

Tetapi ini semua kejayaan kerajaan PR ini dinafikan oleh pihak UMNO yang telah gagal mempraktikkan apa yang mereka slogankan sendiri. Bermacam-macam dilakukan oleh media perdana cetak dan letronik untuk memburukkan kerajaan Negeri Selangor. UMNO dan pimpinannya tidak suka kepada ketelusan yang dipraktikKan oleh kerajaan PR. Utusan dan media perdana yang lain akan memperbesarkan kesilapan kecil-kecilan PR.

Takkanlah kita hendak memberikan kepercayaan kepada Noh Omar pula untuk membawa kepimpinan untuk rakyat Selangor. Kalau rakyat Selangor ingin melihat negeri terkaya ini menjadi bubur, elok kita cadangkan untuk mengikut Noh Omar dan rakan-rakannya dalam UMNO Selangor. Tetapi jika rakyat Selangor ingin melihat kemajuan dalam pentadbiran Selangor teruskan sahaja mandat itu diberikan kepada TS Khalid Ibrahim. TS Khalid bukan aulia untuk kita harapkan ‘perfection’.

Tetapi saya selalu bercakap di mana-mana yang, ‘the worse of PR is lot better than the best of BN’

Aspan Alias


Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List