KUALA LUMPUR, 14 FEB: Beranikah Datuk Seri Najib Razak menurut kata-kata dari dua Menterinya sendiri supaya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengembalikan RM250 juta dari wang yang digunakan dalam skandal lembu dan kondo Pusat Fidlot Nasional (NFC)?
Dalam masa sama beranikah Perdana Menteri menjadikan bantuan kewangan RM100 kepada pelajar sekolah dan RM500 Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai program tahunan, dan bukan gula-gula politik menjelang piliha raya umum sahaja?
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, Barisan Nasional patut peka bahawa RM250 juta digunakan Shahrizat dan keluarganya untuk perbelanjaan peribadi itu adalah dari dana umum duit rakyat.
Katanya, mengembalikan duit sahaja tidak mencukupi, malah perlu diambil segera tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab, selain Shahrizat sendiri patut sedar diri untuk letak jawatan.
MengulaBeliau mengulas Datuk Seri Nazri Abdul Aziz yang mendesak Shahrizat membayar balik wang RM250 juta itu. Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dipetik oleh media sebagai berkata:
“Beliau tak perlu letak jawatan. Apa yang paling utama, kembalikan semula wang itu kepada kerajaan… Tetapi selepas ini, adalah lebih baik dijalankan secara tender terbuka bagi mengelak masalah hal yang tidak diingini.”
Namun, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menjelaskan bahawa kenyataan Nazri hanya separuh berani kerana kerajaan UMNO-BN masih takut untuk melaksanakan sistem tender terbuka, sebagaimana yang diamalkan di negeri-negeri Pakatan Rakyat.
Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut menempelak pemberian wang RM100 dan RM500 kepada pelajar sekolah dan keluarga miskin kerana ia hanya melaksanakan inisiatif itu menjelang musim pilihan raya sahaja, dan bukan diberi setiap tahun.
Menurutnya, tidak kira sama ada pengurusan dan prestasi ekonomi lemah, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan memastikan golongan miskin terpelihara.
Tambah beliau, kegagalan untuk Najib bertindak dalam skandal ini menunjukkan betapa gagalnya Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) membasmi rasuah di bawah Program Transformasi Kerajaan.
“Ini bukan sahaja tidak boleh diterima tetapi merupakan penghinaan kepada standard kebiasaan kewangan, amanah dan kebertanggungjawaban. Rakyat Malaysia menuntut supaya tindakan diambil serta merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Guan Eng menjelaskan bahawa walau pun bajet negeri Pulau Pinang 200 kali ganda lebih kecil daripada bajet kerajaan persekutuan BN, ia masih mampu memberi jaminan bantuan kewangan tahunan kepada golongan yang memerlukannya.
“Tidak ada sebab kenapa BN tidak berani membuat komitmen tahunan yang serupa,” katanya menjawab kenyataan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal yang sebelum ini menyatakan bahawa bantuan kewangan kerajaan BN hanya boleh diteruskan jika ekonomi terus berkembang.
Roketkini.com
0 comments:
Post a Comment