Makna Silatur Rahim

on May 30, 2012






Makna silatur rahim ialah berlaku ihsan kepada kaum kerabat. 

Pendapat yang lebih tepat berkaitan dengan maksud silatur rahim ialah hubungan di antara kerabat atau keluarga sahaja.

Hubungan selain daripada ahli keluarga, bukan disebut silatur rahim, ia disebut sebagai ukhuwah Islamiah (persaudaraan sesama Islam). 

Silah bermaksud hubungan dan ar-Rahim bermaksud pertalian manusia dari segi keturunan dan disebut juga kerabat atau keluarga.

Imam Ibnul Atsir berkata, "Silatur rahim adalah suatu ungkapan berkaitan dengan menjalinkan perbuatan baik terhadap kaum kerabat yang memiliki hubungan senasab atau perkahwinan, berlemah lembut kepada mereka, menyayangi mereka, memerhatikan keadaan mereka, walaupun mereka jauh dan berbuat jahat. 
Manakala memutuskan silatur rahim adalah suatu perbuatan yang berlawanan dengannya"

Kaum kerabat terdiri daripada kedua ibu dan bapa, adik beradik, pakcik, makcik, sepupu, nenek, datuk dan anak yang memiliki hubungan kekeluargaan yang dekat. Adapun hubungan yang dinisbahkan kepada selain ahli keluarga, maka ia disebut sebagai ukhuwah Islamiah (persaudaraan sesama Islam). 

Al-Hafizh Ibnu Hajar berkata "Ar-rahim secara umum adalah dimaksudkan untuk para kerabat dekat. Antara mereka terdapat garis nasab (keturunan), sama ada berhak mewarisi atau tidak, samada mahram atau tidak".

Kaum kerabat yang wajib dieratkan ikatan silatur rahim itu termasuklah kerabat mahram dan yang bukan mahram. Dalam Kitab az-Zawajir karangan Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullahu Ta‘ala ada menyebutkan bahawa kaum kerabat itu terbahagi kepada dua iaitu kaum kerabat mahram dan yang bukan mahram:

1. Kaum kerabat mahram ialah saudara yang haram bernikah dengannya seperti bapa, ibu, adik beradik lelaki dan perempuan dan anak-anak mereka, bapa saudara dan emak saudara sebelah bapa dan emak.

2. Kaum kerabat dari bukan mahram ialah saudara yang halal bernikah dengannya seperti anak bapa saudara dan emak saudara sebelah bapa dan anak-anak mereka, anak bapa dan emak saudara sebelah emak dan anak-anak mereka.


Firman Allah SWT. “Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silatur rahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati kamu.” (an-Nisaa’: Ayat 1)

Nabi saw. bersabda, "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah dia menjalinkan silatur rahim.” (HR Bukhari)

Nabi saw. bersabda, "Sesiapa yang suka agar diperluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menghubungkan silatur rahim.” (HR Bukhari)

Nabi saw. bersabda, "Tidak masuk Syurga, mereka yang memutuskan silatur rahim.” (HR Bukhari dan Muslim)

Moga ada manfaat




sumber

Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List