12 JUN 2012 -
TS Muhy mengakui yang BN sedang menghadapi masalah persepsi atau tanggapan buruk dari rakyat. Inilah masalah yang paling rumit untuk diselesaikan oleh BN khususnya UMNO Baru sekarang ini. Pengakuan Muhy ini membuktikan bahawa BN telah mengaku secara ‘indirect’ yang BN telah tewas dalam peperangan mental politik negara.
Peperangan politik bukannya seperti peperangan bersenjata secara terbuka. Ia adalah peperangan mental dan persepsi. Ia adalah peperangan psikologi dan sesiapa yang memenangi peperangan ini akan mendapat sokongan majoriti dari rakyat yang mengundi. Di sinilah masalah besar yang dihadapi oleh UMNO Baru dan BN.
Tetapi Muhy seperti biasa menyalahkan pembangkang yang membuatkan BN tewas dalam peperangan persepsi ini. Kita tidak nampak kenapa BN bermasalah dengan persepsi rakyat ini, kerana selalunya persepsi ini terbentuk oleh kekuatan media yang menyokong sesuatu pihak itu. Dalam kes di negara ini UMNO Baru mempunyai sokongan media yang hebat dan yang terkuat ialah akhbar milik UMNO Baru, Utusan Malaysia dan saluran TV ‘cari makan’ TV3.
Penulisan dan pena itu lebih tajam dari pedang dan selalunya apa yang dikatakan oleh media perdana itu akan diyakini oleh rakyat jelata. UMNO Baru mendapat sokongan padu dari Utusan dan TV3 dan kedua-dua saluran media perdana ini menambah kekuatan sokongan terhadap parti pemerintah dengan melakukan ‘spin’ yang tidak ada batasnya setiap hari dan waktu.
Tetapi persoalannya kenapa kedua-dua media ini tidak lagi sehebat dulu dalam tindakan memberikan sokongan terhadap BN khususnya UMNO Baru? Jawapan kepada persoalan ini mudah sahaja.
Pertamanya segala apa yang dituduh dilakukan oleh UMNO Baru dan BN itu adalah benar dan ‘real’. Misalnya kaitan UMNO Baru dan pemimpin-pemimpin mereka dengan rasuah itu adalah benar belaka. Rasuah yang keterlaluan tanpa had itu telah dengan sendirinya membentuk persepsi buruk terhadap UMNO Baru sehinggakan rasuah dan UMNO Baru itu dianggap seperti ‘aur dengan tebing’, saling menyandar di antara satu dengan lain.
Hampir kesemua pemimpin terkenal dan besar UMNO Baru dipersepsikan sebagai perasuah dan salahguna kuasa dan rakyat melihatnya sebagai isu yang ‘real’. Oleh kerana kejelasan yang dikatakan ‘real’ itulah yang menyebabkan media-media perdana elektronik dan cetak tidak terdaya untuk menafikan persepsi buruk ini walaupun mereka (media) melakukan segala-galanya untuk membenamkan persepsi buruk terhadap parti pemerintah itu.
Utusan Malaysia sudah kehilangan pembacanya dengan begitu banyak dan akhbar yang suatu ketika dahulu merupakan akhbar yang dihormati sekarang sudah menjadi bahan ejekan oleh semua pihak. Tidak ramai lagi pembaca yang mempercayai apa yang ditulis oleh Utusan terutamanya rencana pengarangnya.
Ada pihak yang menganggap berita yang benar dalam Utusan itu hanya keputusan loteri empat nombor ekor dan catatan waktu solat lima waktu sahaja. Begitulah buruknya persepsi orang ramai terhadap Utusan sekarang ini.
Persepsi buruk terhadap BN yang dikatakan oleh Muhy itu merupakan isu yang terbesar yang dihadapi oleh UMNO Baru yang tidak mungkin dapat diatasi selama-lamanya. Baik parti mahu pun pemimpin-pemimpinnya, persepsi buruk ini sudah menjadi ‘stigma’ dan mustahil untuk diperbaiki dengan hanya memberikan wang sogokan seperti ‘BR1M’ dan cokelat-cokelat yang diberikan kepada rakyat.
Berikanlah ‘BR1M’ setiap bulan, persepsi rasuah dan salahguna kuasa dan krisis keyakinan ini tidak akan hilang dari benak dan pemikiran rakyat. Bukannya tidak ada usaha di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO Baru untuk memperbetulkan keadaan ini semasa isu rasuah tegar ini belum berleluasa dahulu. Apabila kepimpinan Mahathir dilihat sudah memulakan budaya pemimpin-pemimpin mencari kekayaan besar-besaran di dalam parti dan kerajaan dahulu, UMNO Baru telah bertindak tegas dengan meminta Tengku Razaleigh Hamzah semasa itu untuk menentang Mahathir dalam Perhimpunan Agong UMNO ke-37 pada tahun 1987 dahulu.
Pertandingan itu telah diselaputi oleh kekotoran pihak yang mempertahankan jawatan dengan penipuan dan akhirnya membunuh UMNO walaupun pihaknya adalah pihak yang menang. Hancurnya segala budaya Melayu dalam UMNO itu bermula dari saat itu dan kekeruhan itu berlanjutan sampai ke hari ini.
Walaupun UMNO itu diganti dengan parti baru yang menggunakan nama ‘UMNO’ itu, kematian UMNO asal itu dan digantikan dengan UMNO tiruan itu tidak dapat membendung perubahan pemikiran dan lanskap politik orang Melayu dan rakyat keseluruhannya.
TS Muhy meminta semua pemimpin UMNO Baru di peringkat bahagian untuk memberikan penerangan jelas kepada orang ramai kerana kononnya orang ramai telah diselewengkan pemikiran mereka oleh pembangkang. Persoalannya mampukah pemimpin-pemimpin bahagian untuk melakukan tindakan penerangan ini sedangkan pemimpin-pemimpin UMNO Baru itu sendiri memerlukan penerangan yang ‘extensive’ sebelum mereka berhadapan dengan orang ramai?
Persoalan lagi benarkah pembangkang yang melakukan penyelewengan fakta dan melakukan ‘deceptions’ kepada orang ramai? Bukankah persepsi buruk yang dialami oleh UMNO Baru itu adalah oleh salahlaku UMNO Baru dan pemimpinnya sendiri? Bagaimana orang ramai boleh mempercayai kata-kata pembangkang jika UMNO Baru sendiri beriya-iya untuk menunjukkan kebobrokan mereka sendiri.
Yang melakukan rasuah itu UMNO Baru dan itu nyata kebenarannya. Itu bukan tohmahan pembangkang. Yang menghancurkan semua sistem demokrasi di negara ini dilakukan oleh parti dan pemimpin yang memerintah. Itu bukan kerja pembangkang. Yang menghancurkan bidang kehakiman negara adalah kerja UMNO Baru dan yang mengekalkan ‘Attorney General’ yang sudah tidak diyakini oleh orang ramai itu adalah kerja parti pemerintah dan bukannya dilakukan oleh DAP, parti yang baru saya sertai itu.
Pemimpin-pemimpin UMNO Baru sepatutnya berkeliaran memberikan penerangan yang jika Sharizat Jalil itu seorang bidan kampung sahaja, suaminya tidak mungkin mendapat pinjaman mudah RM250 juta untuk memelihara lembu yang digunakan untuk membeli kondominium.
Yang disebut oleh pembangkang tentang rasuah dalam pembelian Scorpene itu bukannya fitnah dan jumlah setengah billion ringgit yang diterima sebagai komisyen oleh Paramekar Sdn Bhd itu bukannya fitnah. Malahan isu ini telah dijelaskan oleh pihak berkuasa Perancis.
Mengaitkan pembunuhan Altantuya dengan kepimpinan UMNO Baru itu bukannya fitnah tetapi ‘real’ dan Altantuya benar-benar mati diletupkan oleh bom C4 di Shah Alam. Memindahkan sejumlah wang sebanyak RM10 juta melalui pengurup wang yang ‘dubious’ yang dilakukan oleh seorang Menteri Besar itu adalah benar dan itu bukannya kerja pembangkang.
Jika pun UMNO Baru hendak membuat penerangan menafikannya kepada orang ramai, penafian semua isu ini terpaksa dilakukan dengan berbohong lagi. UMNO Baru terpaksa berbohong untuk mengalihkan pandangan orang ramai terhadap isu itu. Kata pepatah ‘UMNO Baru terpaksa berbohong seribu kali untuk menutupi satu pembohongan yang mereka lakukan’.
Bayangkan berbuat bohong yang telah dilakukan oleh UMNO Baru, maka parti itu terpaksa berbohong beratus ribu kali untuk menutup pembohongan yang telah dilakukan puluhan tahun dahulu. Akhirnya semua tindakan pemimpin UMNO Baru itu adalah pembohongan yang tidak dapat dibuang lagi. Berbohong itu sudah menjadi ‘attribute’ yang ‘basic’ bagi UMNO Baru. UMNO Baru itu bohong, bohong itu UMNO Baru.
Jadi tidak salah sesiapa kenapa persepsi terhadap UMNO Baru itu sangat buruk? Bagi ahli-ahli UMNO Baru, untuk menutupi pembohongan pemimpin mereka bukannya kerja mudah, kerana mereka terpaksa berkongsi pembohongan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin mereka. Ahli-ahli yang cuba menutup pembohongan itu tidak akan efektif kerana pembohongan yang dilakukan itu bukannya oleh mereka tetapi pemimpin-pemimpin mereka.
Hanya yang berbohong sahaja yang mungkin boleh membalikkan cerita kepada rakyat seperti yang dilakukan oleh Utusan Malaysia. Utusan beriya-iya untuk menyambung pembohongan pemimpin-pemimpin parti yang mempunyai saham di dalam syarikat percetakan itu tetapi apa yang ditulis oleh Utusan sudah tidak dihiraukan oleh orang ramai. DAN Utusan sudah tidak dibaca lagi oleh ramai orang kerana akhbar itu seperti organ UMNO Baru.
Apabila rakyat sudah hilang keyakinan, apa pun penerangan yang diberikan oleh parti itu tidak akan diyakini oleh orang ramai lagi. Keyakinan orang ramai terhadap kepimpinan UMNO Baru sangat menyeluruh dan mereka (rakyat) sudah hilang rasa hormat kepada pimpinan kita.
Contoh yang terbaru ialah kes gambar Najib di tin minuman 100 plus semasa himpunan belia di Putrajaya baru-baru ini. Banyak pihak telah menyeru supaya kita ‘boycott’ sahaja minuman 100 plus kerana ada gambar PM Najib di tin minuman itu. Kempen memboikot itu sangat efektif hinggakan F&N terpaksa membuat kenyataan bahawa gambar PM Najib yang melekat pada tin 100 plus itu hanya digunakan semasa himpunan itu dan tidak menyeluruh.
Jika gambar PM Najib di tin 100 plus itu menyebabkan kerugian kepada F&N, itu menunjukkan yang gambar seorang PM pun tidak mempunyai nilai ‘commercial’ langsung. Jika Najib mempunyai kewibawaan dan dihormati ramai sepatutnya gambar beliau di tin minuman itu membawa keuntungan, tetapi sebaliknya apa yang berlaku F&N menghadapi risiko diboikot oleh pengguna minuman itu.
Semuanya ini salah pembangkang lagi? DAN bukannya salah UMNO Baru itu sendiri? Fikir-fikirkanlah…. Sebenarnya persepsi buruk yang dialami oleh UMNO Baru itu adalah disebabkan oleh UMNO Baru dan pemimpin mereka sendiri. Jangan salahkan orang lain.
Tetapi pengakuan Muhy yang UMNO Baru menghadapi persepsi yang buruk itu adalah benar dan meyakinkan, tetapi beliau seperti pemimpin BN yag lain, tidak mengaku yang semua penyebab yang memburukkan persepsi orang ramai itu adalah kerana pemimpin UMNO Baru itu sendiri.
0 comments:
Post a Comment