Pemimpin UMNO berebut jawatan MB kerana Najib tangguh PRU.....

on Jul 7, 2012




Penangguhan pilihan raya umum (PRU) menyebabkan berlakunya persaingan merebut jawatan menteri besar(MB) bagi pemimpin Barisan Nasional (BN) yang percaya Datuk Seri Najib Razak akan membuat perubahan bagi memastikan program transformasi disokong di setiap peringkat, kata sebuah sumber dari kerajaan pusat.

Ketua Menteri (KM) Melaka, Datuk Seri Ali Rustam dikatakan sudah bersedia untuk berkhidmat di peringkat pusat setelah memimpin negeri kecil itu semenjak 1999.

The Malaysian Insider melaporkan pada bulan Mei lalu mengenai hanya MB Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Datuk Seri Md Isa Sabu dari Perlis, yang sudah terjamin terus bertugas sebagai MB jika BN masih menang di kedua-dua negeri tersebut.

"Perlumbaan menjadi semakin sengit selagi tarikh pilihan raya tidak diumumkan. Ramai yang mahukan jawatan tersebut melobi agar diberikan peluang, kata seorang pemimpin BN .

Dikhabarkan, Najib yang juga pengerusi BN dan presiden Umno, telah bertemu dengan beberapa orang pemimpin Umno yang dilihat layak untuk menggantikan mereka yang telah memimpin negeri semenjak zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad masih menjawat jawatan PM. Dr. Mahathir mengundur pada tahun 2003.

Selain daripada Mohd Ali, menteri besar yang lama seperti Datuk Abdul Ghani Othman yang memimpin Johor semenjak 1995 dan Pahang oleh Datuk Seri Adnan Yaakob yang mengambil alih jawatan pada tahun 1999.

Paling lama memimpin negeri adalah ketua menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang berjaya membawa kemenangan BN dalam pilihan raya negeri Sarawak tahun lalu.

Penggal ini dilihat sebagai penggal terakhir Taib yang telah memegang kuasa semenjak 1981, tahun sama Dr. Mahathir angkat sumpah sebagai PM.

Sumber BN berkata, ahli parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron adalah calon teratas untuk menggantikan Mohd Ali sebagai KM Melaka.

Di lihat sebagai sekutu rapat Mohd Ali, Idris juga adalah pengerusi bagi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), agensi kerajaan yang seringkali ambil alih projek perumahan terbengkalai dan menguruskan projek perumahan kos rendah.

Dizaman Tun Abdullah Badawi, Idris adalah timbalan menteri selepas PRU 2008 tetapi digugurkan dari kabinet selepas Najib ambil alih jawatan pada April, 2009.

Dua lagi calon untuk jadi KM Melaka adalah ahli parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Abu Seman dan exco negeri, Datuk Ghafar Atan. Ketiga-tiga calon merupakan ketua bahagian Umno kata satu sumber.

Di Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dikatakan akan dihantar ke pusat selepas PRU 13. Dr. Zambry ditukarkan dari negeri ke pusat, pusat ke negeri dengan menteri kewangan kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, kata satu lagi sumber BN.

"Perak mempunyai ramai pemimpin 'lama' yang mengintai jawatan tertinggi negeri. Pertukaran antara Zambry dan Ahmad Husni dilihat lebih baik bagi mengelak konflik dalaman" kata sumber itu lagi sambil menjelaskan terdapat beberapa pemimpin yang merasakan mereka boleh melakukan kerja sebagai MB lebih baik daripada Zambry.

Adun Pangkor adalah calon yang tidak disangka-sangka akan dilantik sebagai MB selepas BN ambil kembali Perak pada Febuari 2009, selepas tiga Adun Pakatan Rakyat (PR) melompat parti.

Di Pahang pula, Adun Lanchang, juga pemimpin nombor dua Umno negeri disebut-sebut sebagai pilihan utama untuk menggantikan Adnan yang berpengalaman luas dan dirasakan berguna di Putrajaya.

Sementara di Kedah, spekulasi mengatakan timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Datuk Mukhriz Mahathir boleh menjadi MB jika BN berjaya rampas negeri dari PR yang menang pada tahun 2008.

Ahli parlimen Jerlun itu adalah orang nombor dua Umno Kedah yang tidak pernah memegang apa-apa jawatan di peringkat negeri tersebut.

Sumber BN turut berkata, perlumbaan merebut jawatan tertinggi negeri di Johor, Selangor dan Terangganu menjadi semakin sengit selagi PRU ditangguhkan. Najib mempunyai masa untuk memanggil pilihan raya selewat-lewatnya sehingga April tahun hadapan akan tetapi, terdapat spekulasi pilihan raya akan diadakan bulan ini atau selepas Bajet 2013 yang akan dibentangkan pada 28 September.

Calon utama bagi Selangor adalah timbalan pengerusi Umno negeri, Datuk Seri Noh Omar akan tetapi sumber mengatakan beberapa tokoh korporat turut dimasukkan dalam senarai Najib yang juga pengerusi Umno Selangor.

"Setiap minggu akan ada nama baru tetapi Najib berhati-hati dan akan mengambil masa untuk buat keputusan," kata sumber.

Sumber yang memberitahu The Malaysian Insider pada bulan Mei lalu turut berkata, BN akan mengambil kira pendangan Istana Negeri sebelum mencadangkan mana-mana calon. "Ia haruslah seseorang yang dipersetujui dan di hormati oleh Istana Negeri, jika tidak akan berlaku kekecohan," memberi contoh pertukaran saat akhir di Perlis dan Terengganu selepas pilihan raya 2008.

Selepas 8 Mac 2008, ketua BN pada ketika itu, Datuk Seri Abdullah Badawi mencalonkan datuk Seri Shaidan Kassim untuk terus memimpin Perlis tetapi ditolak oleh Raja Perlis.

Di Terengganu, Istana negeri menolak calon Abdullah, Datuk Seri Idris Jusoh untuk terus berkhidmat sebagai MB sebaliknya menyuruh Datuk Seri Ahmad Said, Adun Kijal untuk mengangkat sumpah sebagai MB walaupun terdapat protes dan tentangan besar dari Umno Terangganu termasuklah pemecatan sementara MB baru dari parti. Isu ini kemudiannya berjaya diselesaikan apabila Abdullah bersetuju dengan pilihan Istana Terengganu.

Najib yang akan menyemak satu persatu calon, berkata keputusan akhir terletak ditangannya termasuklah bagi calon-calon dari 13 parti komponen BN.

Walaupun telah berpengalaman lebih dari 30 tahun dalam kerajaan, ini adalah kali pertama Najib memimpin BN dalam PRU dan beliau turut memerlukan mandat sendiri sebagai PM.

Penganalsis bersetuju bahawa Najib akan terus memenangi PRU 13 cuma yang menjadi persoalan adalah saiz kemenangannya.

Pilihan raya akan datang bakal menyaksikan pertambahan 2.2 juta pengundi baru kepada 12 juta pengundi berdaftar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)telah menerima cadangan untuk menggunakan dakwat kekal dan sekurang-kurangnya 10 hari berkempen dalam pilihan raya akan datang selepas protes menuntut pilihan raya bersih dan adil dilakukan.


The Malaysian Insider


0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List