PETALING JAYA: Penyampai radio Hot FM Sharifah Aleya mengakui sejak mengenakan tudung bermula 1 Ramadan lalu (21 Julai 2011), dia berasa selesa dan tidak kekok dengan penghijrahan tersebut.
Aleya atau Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid Al Yahya berkata, dia enggan berkongsi sebab-sebab perubahan diri itu, namun menyifatkan ia adalah satu transisi normal bagi seorang wanita beragama Islam.
"Alhamdulillah, sepanjang seminggu lebih bertudung, saya tidak berasa kekok, malah selesa dengan penghijrahan ini.
"Cuma kalau boleh saya enggan berkongsi kenapa perubahan ini dilakukan. Ia sangat peribadi buat saya. Cukuplah masyarakat dah tahu yang saya dah bertudung dan doakan saya yang terbaik," katanya.
Tambah Aleya, dia juga bersyukur dan gembira apabila penghijrahannya itu disokong keluarga serta rakan-rakan dan berharap agar imej sebegitu kekal sehingga akhir hayat.
Sementara itu, walaupun Ramadan tahun ini pertama kali dilalui tanpa suami di sisi, Aleya merasakan ia tidak memberi kesan buatnya untuk beribadat kerana sering dikelilingi keluarga serta dua orang anak kembarnya, Aza Ameena dan Asha Ameena yang berusia tiga tahun.
"Bagi saya, Ramadan adalah bulan yang dinanti-nantikan setiap tahun dan ia sangat istimewa untuk kita sebagai umat Islam menjalani ibadat puasa.
"Malah inilah masanya untuk kita mengikat silaturahim dengan menghabiskan masa bersama keluarga," ujarnya.
Dalam pada itu, Aleya berkata, dia juga memastikan segala kerja-kerja pengacaraan yang dibuat selesai sebelum Ramadan agar dapat menikmati saat-saat bersama keluarga bagi setiap ibadat yang dilakukan.
"Ramadan juga membuatkan saya dan adik beradik yang lain berlumba-lumba untuk memasak bagi juadah berbuka puasa. Sampaikan kami cuba untuk mengalahkan ibu kami (Fatimah Abu Bakar) untuk muncul dengan masakan terbaik.
"Bagaimanapun, macam biasa, ibu kamilah yang menjadi juara dalam hal-hal masakan," selorohnya yang gemar memasak lauk daging kicap.
0 comments:
Post a Comment