Putrajaya itu Kerajaan Persekutuan, bukannya Kerajaan Pusat

on Sep 19, 2012






Sudah lama saya hendak menyebut secara khusus tentang apa yang saya hendak perkatakan ini walaupun saya pernah menulis tentangnya secara rambang dan tidak khusus kepada sesiapa yang hendak bercakap tentang kenegaraan dan politik. Tetapi oleh kerana kita dapati kesilapan ini masih terlalu jelas dan tidak di perbaiki saya ingin menyebutnya kali ini.

Saya ingin mengingatkan pemimpin-pemimpin kita dan semua yang mahu mendengarnya bahawa negara kita ini adalah sebuah negara persekutuan. Di negara kita tidak ada kerajaan pusat. Di Putrajaya itu adalah pusat pentadbiran kerajaan persekutuan (federal government), bukan kerajaan pusat (central government).

Negara yang mempunyaai kerajaan pusat adalah negara-negara ‘unitary’ seperti Thailand, Indonesia dan banyak negara-negara lain  Negara kita terbentuk di atas persetujuan kerajaan-kerajaan negeri yang berdaulat untuk membentuk bersama sebuah gabungan persekutuan. Harus di ingat yang negeri-negeri yang berada di dalam persekutuan ini hanya wujud pada 2hb Feb 1948 apabila negeri-negeri yang berada di dalam semenanjung ini menandatangani perjanjian persekutuan itu.

Maka terbentuklah sebuah negara persekutuan yang di namakan Persekutuan Tanah Melayu yang akhirnya mencapai kemerdekaan pada 1957 dahulu. Pada tahun 1963 tanggal 16 september persekutuan ini di sertai oleh Sabah dan Sarawak maka persekutuan ini dinamakan Persekutuan Malaysia. Hari kelahiran Malaysia itu baru sahaja di rayakan buat kali yang ke 49 dua hari yang lepas.

Isu ini penting untuk di fahami dan diperbetulkan supaya kita mengenal negara kita yang sebenarnya. Dato Rais Yatim patut menggunakan istilah ini melalui media perdana kita kerana terlalu ramai dikalangan rakyat yang menganggap Putrajaya itu sebagai pusat pentadbiran kerajaan pusat, walhal ia adalah pusat pentadbiran kerajaan persekutuan.

Kalau di Thailand, kotaraya Bangkok itu adalah pusat pentadbiran kerajaan pusat kerana Thailand adalah sebuah negara ‘unitary’ dan negara gajah putih itu tidak ada kerajaan negeri di bawah naungannya.  Itu sebabnya kerajaan pusat Thailand secara moralnya  berkuasa sepenuhnya keatas setiap inci negara itu.

Nampaknya pemimpin besar kita di Putrajaya selalu bersikap seperti pemimpin sebuah negara ‘unitary’ kerana banyak perkara yang menunjukan mereka tidak menghormati kedaulatan kerajaan dan rakyat negeri-negeri yang tertentu. Mereka mungkin terlupa yang Malaysia ini adalah gabungan negeri-negeri yang berdaulat yang telah bersetuju dan bersepakat untuk berada di dalam sebuah negara persekutuan.

Jika begitu keadaannya maka Putrajaya tidak boleh bertindak dengan sewenang-wenangnya terhadap negeri-negeri yang berada di dalam persekutuan ini seperti yang sedang mereka lakukan sekarang ini. Putrajaya wajar ingat yang negeri-negeri di dalam persekutuan ini adalah negeri-negeri yang berdaulat dan Putrajaya wajar mempunyai perhubungan dengan negeri-negeri di dalam persekutuan dengan berhemah seperti kita menghormati mana-mana negara yang berdaulat yang lain. Putrajaya juga mesti menerima hakikat yang negeri-negeri itu semuanya mempunyai kerajaan yang beraja (kecuali Melaka. P Pinang Sabah dan Sarawak) dan negeri-negeri ini juga mempunyai Dewan Lagisltif mereka sendiri.

Tetapi mungkin isu ini tidak di ambil berat oleh pihak pemerintah, itulah agaknya kenapa kerajaan BN di Putrajaya itu selalu tidak menghormati kerajaan-kerajaan setengah negeri terutamanya kerajaan yang di tadbir oleh Pakatan Rakyat. Agaknya inilah sebabnya Putrajaya telah mencemari semangat persekutuan itu dengan menyekat pembayaran royalti minyak kepada rakyat Kelantan semata-mata kerana rakyat Kelantan memilih kerajaan yang tidak sebulu dengan Putrajaya.

Dalam ucapan Najib akhir-akhir ini menunjukan kesombongannya yang berkata kerajaan ‘pusat’ telah memberikan pembangunan di negeri itu sebanyak ini dan di negeri ini sebanyak ini seolah-olah itu bukan tanggungjawab Putrajaya tetapi sebagai satu ‘favor’ yang besar dari Putrajaya . Semuanya itu sememangnya tanggungjawab kerajaan persekutuan. Najib sendiri mesti menggunakan istilah ‘kerajaan persekutuan’ kepada kerajaan yang beliau pimpin dan bukannya ‘kerajaan pusat’.

Sebelum kita dapat membetulkan perkara-perkara yang lain elok kita memahami dahulu asas kewujudan negara kita. Jika boleh gunakanlah istilah yang betul tentang perkara ini. Kerajaan yang di ketuai oleh Najib di Putrajaya itu adalah kerajaan persekutuan, bukannya kerajaan pusat.

Pihak yang ingin mewujudkan kerajaan ‘unitary’ yang berpusat di Kuala Lumpur dahulu ialah gagasan Malayan Union yang hendak di bawa oleh British dahulu dan telah ditentang oleh rakyat Malaya dahulu. British telah cuba untuk menghilangkan sempadan-sempadan negeri-negeri di dalam semenanjung ini dan merampas kuasa Raja-Raja Melayu dan dan menggantikan tugas Raja-Raja itu dengan tugas-tugas ceremonial sahaja. Mengikut perancang British Kuala Lumpur adalah ibu negara Malayan Union itu….tidak ada kerajaan negeri dan Dewan Legislatif nya lagi.

Kepada Najib dan semua pemimpin kerajaan pada hari ini elok dibezakan di antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan pusat. Kalau kerajaan kita adalah kerajaan pusat tidak ada Majlis Raja-Raja yang mewakili setiap negeri yang berdaulat itu dan mewakili salah seorang dari baginda untuk mengambil giliran menjadi Yang Di Pertuan Agong setiap lima tahun seorang di peringkat persekutan.

Di negara ini tidak ada kerajaan pusat. Yang kita ada ini adalah kerajaan persekutuan, walaupun dalam banyak hal putrajaya bertindak seperti kerajaan ‘unitary’ yang ingin di bawa oleh Malayan Union dahulu terutamnya kepada negeri-negeri yang partinya sudah hilang kuasa.

Itulah saya selalu sebutkan dalam tulisan saya, jika Malayan Union dahulu ditentang kewujudannya oleh kita tetapi semangat Malayan Union itu bertambah kuat akhir-akhir ini, tetapi dilakukan oleh bangsa dan rakyat kita sendiri.



ASPAN ALIAS


Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List