Saya tidak tahu bagaimana ada pemimpin peringkat tertinggi BN percaya yang BN akan mendapat sedikit lebih kerusi parlimen dari apa yang didapati dalam PRU yang ke-12 dahulu. Di samping mengakui akan kehilangan beberapa kerusi yang sekarang dipegang oleh BN di Sabah dan Sarawak, BN masih berkeyakinan boleh mendapat lebih daripada 140 kerusi dari jumlah 222 kerusi parlimen keseluruhannya.
Nampaknya UMNO dan BN mempunyai formula ilmu kira-kira yang baru. BN mengakui yang enam atau tujuh kerusi di Sabah akan kalah dan jumlah yang sama juga akan kalah di Sarawak. Tetapi dengan berkurangan jumlah kemenangan BN di kedua-dua buah negeri ini ia menambahkan kemenangan BN melebihi 140 kerusi.
Tetapi dalam ilmu kira-kira apabila sesuatu angka itu ditolak, angka itu akan menjadi kurang. Jadi kalau hendak tahu ilmu kira-kira (belum lagi matematik) yang baru di mana menolak jumlah angka itu akan menambah bilangan jumlah angka tersebut, elok belajar dari BN bagaimana menolak jumlah sesuatu angka itu boleh menambah bilangan angka itu. Selalunya angka itu akan bertambah jika dicampur bukannya ditolak.
Tetapi kita tahu kenapa BN merasakan ia akan mendapat lebih daripada 140 kerusi dan fenomena kekeliruan ini memang biasa berlaku di dalam BN. Semasa Abdullah Badawi membubarkan parlimen dahulu pun, tentunya beliau membuat perkiraan yang BN akan memenangi jumlah kerusi yang besar sebagaimana yang beliau perolehi semasa PRU tahun 2004 dahulu. Dalam hal membuat kira-kira ini, BN memang selalu salah dan kesalahan ini akan berlaku lagi di dalam pilihanraya yang akan datang ini.
BN membuat perkiraan yang di Semenanjung mereka yakin yang pengundi India akan kembali ke pangkuan BN, dan beberapa kerusi yang dipegang oleh PKR akan jatuh ke tangan mereka. Jika itu perkiraannya mereka sepatutnya menolak sejumlah sokongan dari kaum Cina yang sekarang ini sedang menambah bilangan sokongan kepada PR melalui DAP kali ini. Jika dahulu hanya 65% sahaja orang Cina memberikan sokongan kepada PR, kali ini jumlahnya akan bertambah kepada 80%. 15% tambahan ini adalah satu angka yang besar dan boleh memberikan impak negatif kepada BN dalam PRU ini.
BN meletakkan harapan untuk mendapatkan pertambahan kerusi kali ini melalui pemberian BR1M kedua tidak berapa lama lagi. BN yakin dengan pembelian undi ini mereka akan mendapat sokongan yang lebih besar kerana BN merasakan jumlah RM500 atau RM1000 itu amat besar kepada rakyat yang miskin. BN masih memainkan isu kemiskinan yang mereka wujudkan untuk mendapatkan sokongan semasa terdesak dengan membayar jiwa dan raga mereka (orang miskin).
Sekarang baru kita yakin yang BN akan tetap mengekalkan tahap kemiskinan rakyat di tahap yang ada sekarang ini agar dapat dipergunakan dalam setiap PRU yang bakal diadakan dengan membeli mereka yang BN anggap sebagai kelompok miskin ini. Pendeknya BN menaruh harapan kepada undi dari mereka yang dianggap miskin. Pimpinan kita beranggapan RM500 melalui pemberian BR1M ini sudah memadai untuk rakyat sedangkan jumlah sejemput itu hanya boleh menyelesaikan masalah untuk sehari sahaja.
Tetapi benarkah BR1M itu membawa keuntungan kepada BN kerana rata-rata saya dapati ramai rakyat yang tersinggung dengan tindakan Najib membeli undi ini, terutamanya di kalangan anak muda yang berpendapatan tetap. Ramai orang-orang yang berumur ini menerima BR1M ini tidak akan mengundi BN kerana anak-anak mereka memberi lebih dari apa yang BN berikan kepada mereka. Mereka ini akhirnya akan mendengar nasihat anak-anak mereka dari mendengar nasihat pemimpin UMNO di mana-mana.
Seperkara yang UMNO tidak mengambil kira ialah parti itu akan menghadapi masalah dalaman yang besar dalam PRU yang akan datang ini. Bagi pendapat ramai perebutan menjadi calon lebih buruk lagi di masa ini. UMNO akan menghadapi sabotaj dari ahli-ahli dan pemimpinnya sendiri dan ini akan hanya menyerlah sebaik sahaja nama-nama calon diumumkan. Apa yang berlaku di dalam pilihanraya yang lalu akan berlaku dalam kadar yang lebih teruk lagi di pilihanraya kali ini.
Saya telah mendapat maklumat yang diberikan oleh ahli-ahli UMNO dan pimpinan pertengahan yang mereka akan melakukan apa sahaja untuk memboikot mana-mana calon yang tidak sehaluan dengan mereka dan perkara ini jelas dirancang dari atas sehingga ke bawah dalam parti pemerintah selama dekad itu. Ramai pimpinan di peringkat bahagian telah jatuh semangatnya kerana masalahnya bukan menghadapi pembangkang yang sudah sedia mendapat perhatian ramai, tetapi menghadapi masalah ‘chah keting’ sesama sendiri.
Sesungguhnya UMNO tidak akan mampu diperbaiki selagi barisan sekarang ini masih berkeliaran di majlis tertinggi serta kabinet negara pada hari ini. Ini cadangan yang mustahil diterima oleh pimpinan UMNO hari ini. Cadangan itu ialah untuk pimpinan yang ada pada hari ini bersara dan berikan kepada ahli-ahli yang tidak mahu masuk dalam acuan yang dibentuk oleh Dr Mahathir dahulu. Jika acuan ini tidak ditukar rakyat tahu siapa pun di kalangan barisan MKT yang ada pada hari ini mengambil alih imej UMNO itu tidak akan dapat dipulihkan.
Siapa pun yang mengambil alih di kalangan mereka ini UMNO tidak akan berubah. Imej UMNO sudah begitu berkecai dan dilihat oleh ramai penganalisis politik yang berwibawa menyatakan yang kali ini adalah masa yang tergenting sekali yang dialami oleh UMNO. UMNO perlu menukar acuannya kerana acuan yang ada hari ini sudah tidak boleh dipakai dan tidak relevan lagi.
UMNO sudah sampai ke tahap tidak bpleh meletakkan calon kerana kalau digantikan mereka yang ada dengan calon yang baru, kerosakan sudah terlalu teruk dan siapa pun calon itu akan kecundang dan tidak bermaya untuk menahan kebangkitan rakyat di merata-rata tempat dan wilayah di dalam negara ini.
Walaupun Tengku Adnan, Setiausaha Agong UMNO, berkeyakinan untuk meraih lebih daripada 140 kerusi parlimen tetapi itu semuanya merupakan ‘wishful thinking’ beliau sahaja. Tengku Adnan hanya bercakap dengan memberikan pandangan yang beliau ingin dengar sahaja.
UMNO pusat tidak akan berani menukar calon-calon yang baru apatah lagi jika penyandang pada hari ini adalah dari ketua atau pemimpin atasan di bahagian masing-masing. Ditukar akan membawa kekalahan dan jika tidak ditukar juga akan menjadi masalah besar juga. UMNO dan ahli-ahlinya tidak ada kebersamaan di antara mereka lagi. Ini merupakan akibat kelalaian pimpinan yang tidak mengambil tahu hal parti yang telah mula rapuh sejak tiga puluh tahun yang lalu.
Sekarang ini UMNO terpaksa menubuhkan bermacam-macam Jawatankuasa untuk mengelakkan sabotaj-mensabotaj parti. Parti ini menghadapi masalah yang dilakukan oleh ahli-ahlinya sendiri bukannya oleh rakyat yang ramai. Jika parti itu bermasalah dalam sebegini serius bagaimana ia boleh diyakini dan diberikan mandat lagi. Maka UMNO patut diketepikan dahulu dan biarkan parti itu menyelesaikan masalah mereka dahulu. Sementara itu biarlah pihak alternatif menjaga rakyat dan negara dalam tempoh dan penggal yang akan datang ini.
Buat masa ini UMNO terpaksa berbelanja berlipat kali ganda kali ini untuk membiayai kos pekerja pilihanraya yang lebih mementingkan wang ringgit yang besar sebelum melaksanakan tugas dalam pilihanraya nanti. UMNO ibarat kereta yang sudah terlalu tua dan kos penyelenggaraannya amat tinggi. Apabila kurang penyelenggaraan UMNO akan tidak berfungsi dan akan seperti kereta tua yang rosak: terbengkalai di tepi-tepi jalan.
Itu sebabnya orang ramai memilih untuk memandu kereta baru yang masih berbau wangi di dalamnya. Kereta lama ini mempunyai bermacam-macam masalah. Lepas diperbaiki, enjin rosak pula dan sistem penghawa dinginnya. Sekarang apabila kereta itu diyakini boleh berjalan dengan baik, lampu pula padam dan tidak boleh dipandu pada waktu malam. Susah memandu kereta tua ini. UMNO perlu dihantar ke bengkel dan diperbaiki sebelum ia boleh digunakan lagi.
Oleh itu kita mesti terima hakikat apabila sampai masa UMNO itu jatuh ia akan jatuh bergelimpangan. Ia seperti nyawa kita, apabila sampai waktunya untuk pulang ke Penciptanya, ia tidak boleh ditangguh walaupun sesaat. Ada sahaja jalannya untuk kembali ke asal. Setengahnya mati kerana kemalangan, setengahnya kerana serangan jantung dan angin ahmar, ada yang mati kerana C4 dan berbagai-bagai lagi cara manusia melalui jalan kematian.
Parti politik pun begitu. Ada yang gugur kerana peperangan dan ada yang jatuh kerana rasuah yang keterlaluan dan salahguna kuasa seperti yang berlaku di negara kita ini.
http://www.aspanaliasnet.blogspot.com/
1 comments:
mati kena C4 ya kekeke...
Post a Comment