‘Jangan sentuh isu sensitif’, kata Ku Nan kepada perwakilan Umno

on Nov 24, 2012






Perwakilan yang akan bersidang pada Perhimpunan Agung Umno minggu hadapan dinasihatkan agar tidak menyentuh isu sensitif serta menyakiti perasaan orang lain, kata Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (gambar).

“Ada benda yang boleh dibahaskan, tapi kalau boleh jangan sentuh isu sensitif.

“Kalau boleh jangan sakiti hati orang lain,” kata Tengku Adnan dalam sidang media sempena taklimat untuk Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang ke 66 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari 27 November hingga 1 Disember ini.

Tengku Adnan berkata, perhimpunan kali ini akan memberi fokus kepada pilihan raya umum (PRU) akan datang, memandangkan ini adalah yang terakhir sebelum pilihan raya yang perlu diadakan selewat-lewatnya selepas mandat Barisan Nasional (BN) tamat April tahun hadapan.

“Kita akan fokus kepada pilihan raya seperti perhimpunan MCA dan Gerakan.

“Kita tidak ada isu dalaman dalam parti,” kata Tengku Adnan lagi.

Sebelum itu, Tengku Adnan memberi taklimat media sempena perhimpunan agung ini.

Seramai 4,447 perwakilan akan menghadiri perhimpunan agung kali ini, dimana dijangka 1,322 wartawan akan membuat liputan pada perhimpunan ini.

Tengku Adnan juga berkata, Umno juga menjemput 52 orang delegasi dari 20 buah parti yang melibatkan 18 buah negara sebagai pemerhati perhimpunan kali ini.

Beliau juga menunjukkan pas masuk media dan bip yang perlu dipakai oleh media sepanjang perhimpunan itu.

“Kita adakan kawalan yang ketat pada perhimpunan kali ini supaya tidak ada anasir yang mengganggu perhimpunan kali ini,” katanya lagi




Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List